Ucapan Perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin

Tuan Yang dipertua,

Terima Kasih saya ucapkan atas peluang diberikan untuk menyertai bersama perbahasan usul Junjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bagi pembukaan parlimen bagi sesi yang pertama pada tahun 2019.

Akta Suruhanjaya Perpaduan dan Keharmonian Negara

Persidangan kali ini amat dinanti-nantikan oleh Urang Sabah kerana pindaan perlembagaan Artikel 1(2) yang bakal dibentang dalam sesi persidangan ini, akan mengembalikan status “equal partner” kepada Sabah dan Sarawak.

Sabah bersama Sarawak, Malaya membentuk Malaysia dan kita amat pentingkan perpaduan negara. Orang Sabah amat khuatir tentang perkembangan politik semasa di Semenanjung, di mana isu politik sering dimainkan berdasarkan sentimen agama dan kaum. Orang Sabah amat sensitif tentang harmoni, dan mungkin inilah sebabnya bekas wakil rakyat UMNO memilih keluar parti, dan UMNO Sabah tidak mahu berkerjasama dengan PAS.

Baginda bertitah, “tindakan tegas hendaklah diamnbil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara”. Saya menggesa Rang Undang-undang Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian diawalkan pembentangannya di parlimen tahun ini. Akta ini amat penning untuk memastikan isu keharmonian diberikan perhatian khusus dan bukan menumpang dalam akta-akta lain.

Good Governance Persekutuan terhadap Sabah

Kerajaan Pakatan Harapan membawa banyak reformasi tentang hubungan Sabah – Persekutuan, seperti berikut.

90% daripada subsidi pengangkutan tujuh “essential goods” termasuk diesel, petrol, LPG, gula, beras, taping dan minyak masak, berjumlah RM140 juta mensasarkan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak. Syabas kepada KPDNHEP kerana mengkaji semula cara perolehan agar ketirisan tidak berlaku. Seperti contoh, subsidi untuk silinder LPG sekeluarga telah meningkat dari 7 silinder ke 12 silinder.

Tiket kapar terbang di antara lapangan terbang utama Sabah, Sarawak dan KLIA menjelang musim perayaan dikawal pada aras yang berpatutan, seperti Tahun Baru Cina yang baru berlalu ini.

Pembaharuan cara perkiraan fi Lesen Kenderaan Motor (LKM), daripada menggunakan Berat Dengan Muatan (BDM) sebagai asas, kepada Berat Tanpa Muatan (BTM) sebagai asas, mulai 1 April. Kejatuhan fi mendadak berlaku, dari RM2478 turun ke RM718. Pengerusi Persatuan Lori Sabah berkata, walaupun beliau sudah jumpa lima enam Menteri Pengangkutan dulu yang dipegang oleh MCA, tetapi satu pun tidak dapat melakukan pembaharuan ini.

Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsip untuk menyerahkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 19 Disember 2018, yang selaras dengan aspirasi Rakyat Sabah, “Sabah Kita Punya, Sabah Kita Ubah.”

Visa On Arrival

Seperti yang diketahui umum, kawasan saya Kota Kinabalu merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular di kalangan pelancong asing, terutamanya dari negara China dan Korea. Kawasan saya juga telahpun mendapat manfaat dari segi keuntungan kewangan apabila pelancong-pelancong asing datang dan belanja di kedai-kedai tempatan. Sebagai contoh, seminggu terdapat 125 direct flight dari China ke KKIA. Tahun lalu Sabah mencatat rekod sejarah tertinggi untuk kedatangan pelancong, 3.879 juta pelancong yang membawa tourism receipt RM8.342 billion.

Pada 2 Mac yang lalu, surat khabar Berita Harian telahpun melaporkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telahpun secara dasarnya bersetuju Visa Ketibaan ataupun, dengan izin, Visa-on-arrival (VOA) dilaksanakan di kawasan beliau di Pulau Langkawi.

Di sini, saya ingin membuat cadangan kepada pihak kerajaan, terutamanya kepada Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri agar VOA juga dapatlah dipanjangkan di KKIA, supaya lebih banyak pelancong asing akan tertarik untuk dapat datang ke Kota Kinabalu dan berbelanja di sini.

Untuk makluman, sektor industri dan pembuatan cuma menyumbang 7.5% KPDN Sabah. Dalam masa terdekat, Sabah tiada cara pantas untuk mengejar paras kemajuan industri yang telah tercapai di Semenanjung. Dengan demikian, Sabah amat bergantung kepada aktiviti pelancongan, dan VOA tetap akan merancakkan industri pelancongan negeri ini.

Jalan Raya Bandaraya Kota Kinabalu

Baginda Yang dipertuan Agong telahpun bertitah bahawa kerajaan harus terus berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar, orang asal Sabah dan Sarawak serta masyarakat orang asli dengan mengambil pendekatan yang menyeluruh meliputi pembangunan ekonomi, modal insan dan infrastruktur. Di samping itu, pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif juga akan diberi tumpuan agar dapat mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri serta kawasan bandar dan luar bandar.

Dalam hal ini, saya ingin berterima kasih terhadap Kerajaan Persekutuan bahawa empat projek sudah diluluskan samaada projek naiktaraf atau pembinaan baru dengan kos RM3 billion untuk Bandaraya Kota Kinabalu, seperti:

  • Jalan UMS, Kuala Menggatal
  • Jalan Tun Fuad Stephen dan Yayasan 3rd Bridge, Teluk Likas
  • KK outer ring road
  • Jalan Lintas, Fasa 1 dan 2

Saya berharap, RM1 billion ditambah untuk meluluskan projek-projek tersebut:

  • Jalan Kolam, Luyang
  • Jalan Rampayan, Kuala Menggatal
  • Jalan Donggongon Tambunan, Penampang
  • Jalan Tuaran Bypas, Kuala Menggatal

Ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas Bandaraya Kota Kinabalu menjelang tahun 2025, sebelum kita memperkenalkan system pengangkutan awam Bus Rapid Transit (BRT).

Perdagangan Antarabangsa

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memuji Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) yang diterajui oleh Yang Berhormat Penampang, rakan dari sebelah kawasan saya.

Saya mendapati bahawa terdapatnya peningkatan Prestasi Perdagangan pada tahun 2018 di mana jumlah dagangan Malaysia pada tahun 2018 kekal berdaya saing, berkembang sebanyak 5.9% kepada RM1.876 trilion, berbanding dengan RM1.771 trilion pada 2017.

Selain itu, eksport meningkat sebanyak 6.7% untuk mencapai nilai RM998.01 bilion, melepasi ramalan pertumbuhan eksport sebanyak 4.4% dalam Tinjauan Ekonomi 2019. Manakala Import meningkat 4.9% kepada RM877.74 bilion.

Dalam hal ini, perdagangan Malaysia dengan China pada tahun 2018 telahpun meningkat 8.1% kepada RM313.81 bilion dan merupakan 16.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Saya juga difahami bahawa lebihan perdagangan Malaysia melebar sebanyak 22.1% kepada RM120.27 bilion, mencatatkan kadar terpantas dalam 10 tahun dan lebihan dagangan terbesar sejak 2012. Ini adalah lebihan perdagangan ke 21 tahun berturut-turut sejak tahun 1998.

Peningkatan dalam perdagangan ini dicapai walaupun terdapat ketidakpastian dalam persekitaran global, Ini menunjukkan orang Sabah juga adalah berkemampuan untuk memimpin dan layak memegang portfolio yang penting; Kerajaan Pakatan Harapan juga berkemampuan memajukan negara dan membawa Malaysia ke era baru.

Ini sahaja ucapan saya, dan saya mohon sokong usul junjung titah Yang-Dipertuan Agong. Terima Kasih Tuan yang dipertua.

Chan Foong Hin
Ahli Parlimen Kota Kinabalu
Ucapan Perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong oleh Chan Foong Hin pada hari Rabu, 13 Mac 2019