Kegagalan Wee Ka Siong menyahut cabaran tawaran harga pembelian bangunan Malaysia di Hong Kong adalah setinggi RM1.68 bilion dan bukannya HK$ 1.6 bilion, membuktikan MCA menerima pakai budaya bohong, tipu dan fitnah UMNO dan PAS

PAS dan UMNO memang pakar dengan budaya bohong, tipu dan fitnah dalam permainan politik perkauman dan ekstremis, khususnya terhadap bukan Islam dan bukan Melayu. Kini Ahli Parlimen Ayer Hitam dan Presiden Malaysian Chinese Association (MCA), Dr Wee Ka Siong telah menjadi penganut baru budaya ini selepas bekerjasama dengan PAS dan UMNO.

Kegagalan Wee Ka Siong menyahut cabaran tawaran harga pembelian Bangunan Malaysia di Hong Kong adalah setinggi RM 1.6 bilion dan bukannya HK$ 1.6 bilion membuktikan MCA menerima pakai budaya bohong, tipu dan fitnah UMNO dan PAS. Pada 3hb April, Wee telah mempersoalkan di Parlimen kenyataan saya bahawa terdapat tawaran harga pembelian bangunan Bangunan Malaysia di Hong Kong yang lebih tinggi sehingga RM1.6 bilion berbanding dengan harga rundingan terus sebanyak RM1.1 bilion yang telah dipersetujukan oleh pentadbiran BN terdahulu.

Sungguhpun menerima tawaran harga pembelian setinggi RM1.6 bilion, saya menyatakan bahawa pihak Kerajaan PH mahu meneruskan penjualan bangunan ini secara tender terbuka dan bukanlah secara rundingan terus, agar dapat memperolehi harga lebih tinggi yang menguntungkan rakyat Malaysia. Jelas sekali sistem rundingan terus ala BN merugikan rakyat Malaysia. Kini proses penjualan secara tender terbuka sedang dijalankan.

Sebaliknya Wee telah membuat fitnah bahawa saya keliru dan tidak faham dengan perbezaan di antara RM dan HK$, kerana harga tawaran yang diterima bukanlah RM1.6 bilion tetapi hanya HK$1.6 bilion(RM830 juta) atau lebih rendah daripada harga rundingan terus RM1.1 bilion yang dipersetujui oleh BN. Wee telah mencabar saya letak jawatan sebagai Menteri Kewangan sekiranya tidak dapat membuktikan bahawa tawaran harga pembelian yang diterima oleh kerajaan PH ialah RM1.6 bilion dan bukannya HK$1.6 bilion.

Saya telah menerima cabaran beliau dengan serta-merta dan meminta beliau letak jawatan sebagai Ahli Parlimen sekiranya dapat mendedahkan surat tawaran harga pembelian sebanyak RM1.6 bilion. Pada 5hb April saya telah mendedahkan sepucuk surat daripada Hong Kong yang menawarkan tawaran harga pembelian sebanyak RM1.68 bilion.

Bila berdepan dengan bukti surat bertulis ini, Wee telah berdolak-dalih dan cuba menegakkan benang yang basah, apabila dihadapkan dengan bukti kukuh nilai Bangunan Malaysia sebenarnya jauh melebihi nilai tawaran harga rundingan terus terdahulu. Harga sebenarnya Bangunan Malaysia di Hong Kong baru boleh diketahui bila tender terbuka dijalankan.

Keputusan kabinet untuk menjual tanah dan bangunan tersebut secara tender terbuka juga mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dalam mentadbir. Sekiranya Wee seorang yang ada maruah dan harga diri, Wee Ka Siong harus akui kesilapannya dan letak jawatan. Kita tunggu dan lihat samada Wee akan cakap serupa bikin.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 6 April 2019