Perletakan jawatan Menteri Besar Johor

DAP Johor mengucapkan penghargaan kepada Dato’ Osman Sapian atas sumbangan beliau kepada negeri Johor dan permuafakatan dengan rakan-rakan pemimpin Pakatan Harapan sejak dua tahun lepas.

Secara peribadi, saya telah bekerjasama dengan Dato’ Osman Sapian dalam banyak perkara, terutama sekali ketika menyelaraskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan parti asal Pakatan Harapan.

Semasa berkhidmat sebagai Setiausaha dan Pemangku Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Dato’ Osman Sapian telah menumpukan masa dan tenaga untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan di Johor. Sebagai Menteri Besar, beliau sering berunding dan fokus kepada penyelesaian masalah.

DAP Johor berharap bahawa peralihan kuasa secara demokrasi, daripada Dato’ Osman kepada Menteri Besar baharu berjalan lancar dan diterima rakyat Johor. Malaysia perlu menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan sistem demokrasi berparlimen secara praktikal.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Johor mematuhi keputusan yang dibuat oleh kepimpinan pusat DAP dalam tempoh peralihan ini, dengan perbincangan bersama rakan-rakan Pakatan Harapan.

Perlu saya ingatkan bahawa Johor sebagai medan persaingan politik yang penting di Semenanjung Malaysia, memerlukan semua pemimpin politik untuk menunjukkan kepimpinan dan tanggungjawab bagi memastikan pengukuhan kerajaan rakyat, daripada rakyat, untuk rakyat.

Pengerusi DAP Johor
Kenyataan media oleh Liew Chin Tong di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 10 April 2019