Penambahan bilangan kemasukan ke matrikulasi akhirnya akan menyingkirkan STPM

Kami berpendapat bahawa keputusan Jemaah Menteri pada hari Rabu yang meningkatkan jumlah bilangan kemasukan ke Matrikulasi dari 25,000 ke 40,000 tempat, dan pada masa yang sama, mengekalkan kuota 90% untuk pelajar bumiputera dan 10% untuk bukan bumiputera hanya akan terus merosotkan sistem pengambilan mahasiswa yang sudah tidak adil pada masa sekarang.

1. Peluang Pelajar STPM untuk Memasuki IPTA Menjadi Semakin Nipis

Di bawah mekanisme pengambilan mahasiswa yang tidak telus, pelajar Matrikulasi mempunyai peluang untuk memasuki IPTA yang jauh lebih tinggi berbanding dengan STPM, terutamanya dari segi pemilihan kursus popular di universiti. Sekiranya pengambilan pelajar ke Matrikulasi dipertingkatkan lagi sebanyak 15000 tempat, tindakan tersebut akan terus menjejaskan peluang pelajar STPM untuk memasuki IPTA yang sememangnya sudah nipis.

2. Merobohkan Tahap Pengiktirafan dan Kredibiliti Sijil STPM

Walaupun sijil Matrikulasi kurang diiktiraf oleh universiti-universiti di seluruh dunia sekiranya berbanding dengan sijil STPM, namun ramai lagi pelajar bukan Bumiputera berebut-rebut untuk memasuki Matrikulasi demi memperolehi “tiket masuk” ke IPTA. Hal ini demikian kerana pelajar Matrikulasi mempunyai kelebihan dari segi lebih mudah mendapat gred tinggi dalam penilaian peperiksaan dan penilaian kokurikulum berbanding STPM. Disebabkan kelebihan tersebut, pelajar Matrikulasi akan diberi keutamaan untuk memperoleh kursus-kursus popular di universiti utama.

Dengan mengambil kira faktor-faktor tersebut, jumlah pelajar yang memilih sijil STPM akan semakin berkurangan. Akibatnya, tahap kredibiliti dan pengiktirafan STPM yang tinggi dan telah dibina di arena national dan antarabangsa selama berpuluh-puluh tahun ini akan semakin terjejas.

3. Menjejaskan Pencapaian Akademik Universiti

Setelah bilangan kemasukan pelajar ke Matrikulasi ditambah, universiti akan turut mengambil lebih ramai pelajar Matrikulasi. STPM pula akan semakin tersingkir kerana tidak lagi diminati oleh para pelajar. Dalam keadaaan di mana kemasukan universiti memihak kepada pelajar Matrikulasi tetapi tahap kredibiliti sijil Matrikulasi tidak setaraf STPM, tahap pencapaian akademik universiti awam akan terancam manakala usaha universiti untuk meningkatkan kedudukan universiti di dunia akan turut terjejas.

4. Penambahan Bilangan Kemasukan ke Matrikulasi Tidak Selaras Dengan Kepentingan Ekonomi

Penambahan bilangan pelajar Matrikulasi sebanyak 15,000 tempat akan menambah beban kewangan negara kerana Program Matrikulasi dipelajari dalam sebuah institusi khas seperti kolej dan bukannya seperti STPM yang dipelajari di sekolah menengah.

Buat masa ini, seramai 25,000 orang pelajar Matrikulasi belajar di 17 buah kolej Matrikulasi, maka secara puratanya satu kolej perlu menampung 1470 orang pelajar. Dengan penambahan 15000 tempat yang baharu, kita memerlukan skala bersamaan dengan 10 buah bangunan kolej baharu untuk tujuan menampung penambahan tersebut.

Walaupun dalam kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia, premis Institut Pendidikan Guru (IPG) mungkin digunakan bagi tujuan menjalani program Matrikulasi, tetapi nescayanya pelbagai kelengkapan juga perlu ditambah.
Malahan, kerajaan juga akan menanggung perbelanjaan RM37.50 juta setahun untuk membiayai subsidi bagi 15,000 pelajar Matrikulasi yang ditambah (RM250 sebulan dan perlu dibiayai selama 10 bulan bagi 2 semester). Pada waktu kritikal ini di mana negara kita menghadapi kekangan kewangan, kos tambahan ini akan membebankan lagi keadaan kewangan kerajaan.

Sebaliknya, kelas-kelas STPM sedia ada di sekolah menengah yang dilengkapi pelbagai kemudahan terpaksa ditutup kerana kurang mendapat sambutan daripada pelajar. Maka, ini merupakan satu pembaziran sumber yang tidak selaras dengan kepentingan ekonomi.

Empat Cadangan Jangka Masa Pendek untuk Menyelesaikan Kontroversi Kemasukan Universiti

Dalam jangka masa pendek, demi mengelakkan sesetengah ahli politik daripada mengapi-apikan sentiment perkauman, kami berpendapat kabinet boleh melaksanakan beberapa cadangan berjangka masa pendek untuk menyelesaikan kontroversi program matrikulasi:

  1. Mengarahkan UPU untuk menggunapakai kaedah pengambilan nisbah iaitu 50% pelajar matrikulasi dan 50% pelajar STPM untuk mengimbangkan kedua-dua jenis peperiksaan dan bukan semata-matanya memihak kepada pelajar matrikulasi dan meminggirkan pelajar STPM.
  2. Mengumumkan CGPA minimum dan markah yang diperlukan (matrikulasi & STPM) bagi kemasukan ke pelbagai kursus di setiap universiti. Polisi ini mampu membekalkan garis panduan yang jelas kepada para pelajar sewaktu memilih kursus yang diminati. Ini juga akan mengurangkan insiden di mana pelajar cemerlang tidak memperoleh kursus yang diidami disebabkan kesalahan teknikal.
  3. Mengkaji semula sistem pemarkahan matrikulasi dan meneluskan markah dan syarat bagi setiap kursus di setiap varsiti, meningkatkan nilai ambang (threshold) pelajar matrikulasi untuk memperoleh gred 4.0, dan memberhentikan tindakan memanipulasikan sistem pemarkahan yang menjadikan program matrikulasi sebagai “jalan belakang” untuk memasuki universiti.
  4. Mengkaji semula sistem pemarkahan kokurikulum pelajar matrikulasi. Kini sebarang aktiviti kokurikulum matrikulasi adalah bertaraf negeri tetapi aktiviti kokurikulum STPM pula bertaraf peringkat sekolah sahaja. Ketidakadilan ini menyebabkan pelajar STPM selalu ketinggalan lebih kurang 10 markah daripada pelajar matrikulasi, yang hakikatnya menjadi perbezaan yang kritikal dalam pemilihan memasuki universiti.

Kesimpulan

Sebagai solusi jangka masa pendek, sekiranya cadangan-cadangan yang disebut di atas dilaksanakan, bilangan kemasukan pelajar Matrikulasi ke universiti serta kuota 10% bukan bumiputera di Matrikulasi akan berkekalan. Pada masa yang sama, isu pelajar cemerlang STPM gagal memasuki universiti dan/atau gagal ditawarkan pilihan kursus mereka dapat dikurangkan. Ini juga akan mengelakkan berlakunya keadaan di mana semua pelajar berebut-rebut untuk memasuki program matrikulasi manakala jumlah pelajar memilih STPM semakin berkurangan.

Dalam jangka masa panjang, kabinet tidak seharusnya menambah bilangan pelajar program matrikulasi, sebaliknya harus mengurangkan bilangan pelajar program matrikulasi secara beransur-ansur dan melangkah ke arah menyatukan sistem peperiksaan kemasukan IPTA. Matlamat utama seharusnya adalah menggantikan peperiksaan program matrikulasi dengan peperiksaan STPM yang diiktiraf dan diterima seluruh dunia kerana kredibiliti dan tahap akademik sijil STPM cukup tinggi. Kesemua kumpulan etnik boleh bermula di atas garis permulaan yang adil untuk memasuki universiti tempatan. Sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan tindakan afirmatif, polisi tersebut mestilah berdasarkan kepada “keperluan” dan bukan berdasarkan “warna kulit”.

Kami amat berharap agar kabinet akan sudi menerima cadangan dan bermula dari perdekatan jangka masa pendek demi mencapai kesaksamaan dalam sistem kemasukan universiti tanpa mengira kaum secara beransur-ansur, dan seterusnya membina satu negera yang adil dan saksama. Usahlah mengecewakan lagi pelajar yang cemerlang kerana kita perlu sentiasa ingat bahawa rakyat memilih Pakatan Harapan bukannya untuk meneruskan dasar bekas kerajaan yang korupt dan penuh dengan diskrimininasi, tetapi demi merealisasikan impian untuk membina masa depan yang cerah kepada generasi yang akan datang.

Pemimpin DAP pelbagai peringkat
Kenyataan media bersama oleh Chan Foong Hin, Chow Yu Hui, Leong Yu Sheng, Eric Teh Hoong Keat, Leong Yu Man, Chiong Yoke Kong, Lee Chin Chen, Tab Tiong Yih, Woo Kah Leong, Lee Wei Seang, Lee Bing Hong, Koo Jeng Tung, Tan Hong Pin, Ong Boon Piow, Yeo Tung Siong, NG Yak Howe, Dickson Tan, Gan Peck Cheng, Satees A/L Muniandy dan Ronnie Liu di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 25 April 2019