5 pengajaran utama untuk pembangkang daripada kemenangan besar mengejut DAP di Sandakan

Terdapat 5 pengajaran utama untuk pembangkang daripada kemenangan besar mengejut DAP di Sandakan, dengan majoriti 11,521 undi, jauh lebih besar daripada majoriti undi 10,098 pada Pilihanraya Umum 2018, walaupun peratusan keluar mengundi turun sebanyak 18% daripada 72% kepada 54%.

Pertama, ahli parlimen pembangkang telah melakukan kesilapan strategi apabila menolak usaha Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen awal tahun ini, untuk mengembalikan status Sabah dan Sarak kepada kedudukan tahun 1963, dengan meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang pada tahun 1976 telah menurunkan Sabah dan Sarawak kepada taraf sama dengan 11 negeri semenanjung. Ini telah berkali-kali dinyatakan oleh kedua-dua Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal dan DAP ketika berkempen, bahawa ahli parlimen pembangkang pimpinan UMNO dan PAS tidak berhak untuk bercakap mengenai hak Sabah dan Sarawak, jika mereka menolak untuk menyokong pindaan perlembagaan untuk mengembalikan Sabah dan Sarawak kepada kedudukan tahun 1963 sebagai 3 entiti bersama dengan Semenanjung Malaysia yang telah membentuk Persekutuan Malaysia.

Kedua, propaganda parti pembangkang, bahawa mereka mampu memenangi kuasa peringkat Persekutuan dengan mengapi-apikan politik perkauman dan ekstremisme agama yang memecah-belahkan dan merosakkan secara terang-terangan, sudah tentu gagal tanpa sokongan daripada Sabah dan Sarawak. Usaha untuk melaga-lagakan antara orang Melayu dan bukan Melayu, dan orang Islam dengan bukan Islam tidak menerima sambutan di Sabah, malah menolak para pengundi untuk berpaling kepada DAP, Warisan dan PH. DAP menang buat kali pertama di semua daerah pengundian di Sandakan, termasuk kubu BN iaitu undi pos, Pulau Berhala, dan Kampung Sim Sim, yang sebahagian besar mereka merupakan pengundi Muslim.

Ketiga, menyampaikan penipuan melalui segelintir akhbar dan media sosial bawah kawalan mereka hanya berkesan dalam jangka masa pendek, tetapi tidak dalam jangka masa panjang. Apabila sentimen dan emosi telah surut, kebenaran pasti akan jelas. Seperti kata pepatah, “Anda boleh menipu sesetengah orang sesetengah masa, anda boleh menipu semua orang sesetengah masa, tetapi anda tidak boleh menipu semua orang setiap masa.” PH mempunyai 4 tahun untuk menjelaskan dan mendedahkan penipuan dan fitnah pembangkang.

Keempat, rekod pencapaian ekonomi yang terbukti, kerajaan anti-rasuah dan bersih masih penting. Usaha untuk memenangi hati pengundi ketika mana ahli parlimen pembangkang yang berkempen masih terpalit dengan korupsi, atau apabila mereka telah mengurus negeri-negeri mereka dengan begitu buruk sehingga perbendaharaan negeri mereka bankrap ke tahap mereka perlu meminta bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan untuk membayar gaji penjawat awam mereka, tidak memberikan keyakinan.

Kelima, kepimpinan itu penting. Siapakah alternatif daripada pembangkang untuk menggantikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal atau Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad? Kebanyakan pemimpin pembangkang sama ada sudah hilang kepercayaan rakyat kerana prestasi yang lemah, atau tersangkut dengan skandal rasuah.

Para pengundi mahukan kerajaan bersih yang boleh membawa pembangunan yang berpaksikan rakyat. Tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh pengundi kepada anak-anak mereka sekiranya mereka memberikan undi kepada ahli politik korup. Tidak ada apa yang boleh dibanggakan kepada anak-anak mereka jika mereka memberikan undi kepada rasis dan ekstremis agama. Tidak ada apa yang boleh dibanggakan kepada anak-anak mereka jika mereka mengundi untuk ahli politik yang tidak berkebolehan yang menyebabkan negeri menjadi bankrap. Tidak ada apa yang boleh dibanggakan kepada anak-anak mereka apabila mengundi untuk masa hadapan yang kelam untuk anak-anak sedangkan sebilangan kecil kroni mendapat masa hadapan yang cerah dan mewah.

Semoga, pembangkang tidak akan mengambil iktibar daripada 5 pengajaran utama ini supaya mereka kekal dalam pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 13 Mei 2019