PAS dilanda krisis dalaman, guna 13Mei untuk alih perhatian

Apabila satu demi satu skandal kewangan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO era Najib Razak didedahkan, ia turut mengaitkan PAS; apa lagi PAS kini merupakan juara membela UMNO.

Apabila barisan kepimpinan muda PAS mula tuduh-menuduh tentang siapa makan duit UMNO, pucuk pimpinan dengan kerasnya mengeluarkan perintah tutup mulut (gag order) kepada semua ahlinya.

Yang merembat duit rakyat adalah UMNO-BN tetapi rupa-rupanya ada pimpinan PAS yang dapat habuannya, justeru PAS kini bermati-matian mahu alihkan perhatian. Mereka mahu menutup bangkai gajah yang semakin berbau busuk.

Kebetulan tahun ini adalah ulang tahun ke-50 peristiwa 13 Mei 1969. Maka PAS yang terdesak ini telah mengambil kesempatan untuk menangguk di air kerush dengan membuat dakwaan palsu yang penuh auta dan berniat jahat, demi menutup pekung di dada sendiri.

Peristiwa 13 Mei merupakan titik hitam yang mencemaskan dalam lipatan sejarah negara. Kejadian-kejadian menyayat hati ini sepatutnya diambil iktibar oleh semua dalam merencana perpaduan nasional dan kembali membina kerukunan hidup berbilang bangsa dan agama di negara bertuah Malaysia ini.

Dukacitanya, masih ada pemimpin PAS yang minda mereka di takuk lama. Mereka menuduh DAP sebagai dalang peristiwa 13 Mei sedangkan Kertas Putih kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) pada Oktober 1969 telah mencatatkanya sebagai satu tragedi dan mendedahkan bahawa dalangnya adalah Parti Komunis Malaya.

Pergaduhan antara kaum pula merupakan kesan kepada kegagalan mengawal diri, dan ia melibatkan banyak pihak di kedua-dua kaum utama – Melayu dan Cina. Ia bukan berpunca daripada DAP. Tidak perlu kita memanjangkan tuduh-menuduh kerana kita semua berhasrat mahu hidup berharmoni secara aman dan Sentosa.

Tatkala pimpinan PAS hari ini terpalit dengan skandal penerimaan wang daripada parti kleptokrat UMNO, ada pemimpin mereka yang malas membaca, cepat lupa sejarah, dan mencipta fitnah baru pula. Yang terbaru adalah fitnah daripada Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat yang menyalahkan DAP berhubung peristiwa 13 Mei.

Laman web rasmi PAS https://pas.org.my/sejarah-parti-islam-se-malaysia-pas/ telah mencatatkan bahawa:

“PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara.”

Dua hal besar di sini, iaitu PAS menentang pembentukan Malaysia seolah-olah ia menyokong dasar Ganyang Malaysia yang mahu menghancurkan Malaysia seperti yang dianjurkan oleh Presiden Sukarno, dan PAS menuduh UMNO menjadi dalang perkauman yang telah mencetuskan tragedi 13 Mei 1969.

Apakah begitu dangkal pemikiran pemimpin PAS hari ini sehingga lupa asal-usul dan sejarah parti mereka sendiri?

Sejarah telah merakam bagaimana Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri kerajaan Perikatan ketika itu telah pun meramal dan memberi amaran seawal 30 April 1969 bahawa konfrantasi antara kaum akan berlaku selepas 10 Mei 1969 jika orang Cina tidak lagi menyokong MCA dan mengundi DAP, manakala orang Melayu menolak UMNO dan mengundi PAS. Perarakan kemenangan masih dibenarkan oleh polis dan akhirnya tercetuslah peristiwa-peristiwa hitam itu.

DAP telah lama memohon agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kejadian 13 Mei 1969. Hanya dengan siasatan telus dapat menyelidiki fakta supaya sebab dan dalang di sebalik peristiwa hitam itu dapat dikenal pasti serta dihukum sewajarnya.

Politik fitnah demi memesongkan rakyat dari skandal politik wang pimpinan PAS ini mesti ditolak oleh seluruh rakyat Malaysia pasca 9 Mei 2018. Saya sesungguhnya yakin dam percaya bahawa rakyat Malaysia akan terus kekal bersatu-padu biarpun ada pihak seperti PAS yang sengaja mahu memecah-belahkannya kerukunan ini atas kedangkalan mereka yang tidak mampu untuk berpolitik dengan matang.

Jatuhnya rejim UMNO-BN dan tumpasnya jentera PAS pada 9 Mei 2018 adalah mesej rakyat bahawa rakyat sudah muak dan menolak taktik-taktik ekstrem sebegini.

Rakyat mahu Malaysia bergerak ke hadapan menuju wawasan negara maju dan adil untuk semua warganya. Jika UMNO dan PAS masih gagal dan degil untuk mendengar suara rakyat, maka bersedialah untuk ditalkinkan dalam PRU akan datang.

Mungkin Parti Sosialis Malaysia atau parti-parti lain yang membuka keahlian untuk semua kaum serta berjuang untuk kepentingan semua rakyat tanpa mengira warna kulit, agama atau wilayah akan muncul mengambil alih peranan sebagai pembangkang terbesar negara.

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Kenyataan media oleh Howard Lee Chuan How di Ipoh pada hari Jumaat, 17 Mei 2019