Pendirian DAPSY: Merit sahaja tidak cukup, pendapatan keluarga dan jurang kaya-miskin mesti diambil kira

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang telah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum 2018, kini cuba menjadi wira kaum dalam isu Matrikulasi dan STPM dengan memutarbelitkan pendirian DAP.

Kata Naib Presiden UMNO itu dalam tulisannya yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 26 Mei 2019, “program matrikulasi bukan tentang merit akademik secara mutlak dan jumlah A semata-mata”. Tentu dia berharap orang Melayu akan marahkan DAP kerana menganggap DAP hanya mementingkan merit semata-mata.

Sebenarnya DAP berpegang kepada prinsip menolong orang susah dan golongan memerlukan tanpa mengira kaum, agama atau wilayah. Dalam hal meritokrasi, DAP menegaskan bahawa bahawa meritokrasi memang penting untuk menentukan kelayakan akademik tetapi ia tidak cukup jika tidak mengambil kira latar belakang dan pendapatan keluarga pelajar.

Ia juga melibatkan keputusan berasaskan jurang di antara kaya dan miskin. memerlukan gabungan kesemua faktor tersebut untuk menentukan kelayakan masuk ke pusat pengajian tinggi.

Malah, Khaled sendiri berkata: “Benar, merit dan kecemerlangan mesti menjadi nadi pendidikan. Tetapi peluang membetulkan jurang dan memperbaiki diri serta susun atur masyarakat adalah perkara yang tidak boleh diketepikan sama sekali.”

Memang inilah prinsip DAP. Tak kan itu pun Khaled sampai sekarang tak faham? Atau sekadar mahu melemparkan fitnah untuk mencari publisiti murah?

Rakyat tahu dasar DAP dan Pakatan Harapan untuk mengutamakan golongan terbawah iaitu B40. Ini menuntut kepada perubahan dan reformasi dan pastinya bukan hanya retorik kosong semata-mata seperti yang didakwa oleh Khaled.

Kementerian Pendidikan telahpun memulakan usaha untuk mengutamakan golongan B40 di dalam pengambilan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Tiada lagi sebarang surat sokongan yang mampu membawa anak-anak kroni yang tidak layak untuk masuk ke SBP. Ini jelas menunjukkan dasar berasaskan keperluan akan terus menjadi tunjang kepada dasar-dasar di bawah kerajaan.

Sedangkan pada zaman Khaled dan rakan-rakan UMNO serta BN menguasai kerajaan, mereka hanya menjaga kepentingan kelompok elit dan kaya. Orang-orang Melayu B40 dan rakyat kebanyakan yang tidak mempunyai kabel dan kroni tidak menikmati dasar-dasar yang sepatutnya membela golongan berpendapatan rendah.

Untuk persediaan masa hadapan, kita perlu bertanya sekarang: Apakah STPM dan Matrikulasi bersedia membawa golongan mahasiswa kita ke alam yang baharu? Ekonomi global tidak peduli tentang warna kulit, kepercayaan, adat resam kita. Jika kita tidak bersedia untuk berubah dalam era Revolusi Perindustrian Ke-4, kita akan jauh ketinggalan.

Kita perlu bersedia, berinovasi dan pantas menerima serta membuat perubahan. Tidak ada makna untuk kita bertegang urat tentang kaum dan bangsa jika Malaysia tertinggal jauh di belakang pentas dunia.

Perbahasan tentang Matrikulasi ini adalah permulaan kepada transisi Malaysia Baharu kepada wacana dasar yang lebih segar. Perselisihan pendapat adalah perkara biasa. Ia juga bermakna kerajaan Pakatan Harapan prihatan kepada perubahan- kita tidak pernah dan tidak akan menyembunyikan yang hakikat yang hodoh dan membisukan suara benar yang kurang sedap didengar. Kita tidak akan secara semberono menjalankan dasar yang separuh masak. Itu cara BN dahulu yang kita tidak mahu ulang lagi.

Cadangan tentang Matrikulasi dan STPM yang dikemukakan oleh DAPSY sebelum ini telah disambut baik boleh YB Menteri Pendidikan. Alangkah baiknya sekiranya Khaled selaku mantan Menteri Besar turut sama memberikan pandangan bernas, dan bukannya memesongkan wacana segar yang telah pun dibincangkan sebelum ini.

Era Malaysia Baharu meraikan rakyat dan kerajaan untuk memberikan hujah-hujah dan memperdebatkan soal dasar. Berhujahlah dengan idea-idea yang lebih membina untuk kepentingan rakyat. Hentikanlah hasutan perkauman.

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Kenyataan media oleh Howard Lee Chuan How di Ipoh pada hari Khamis, 30 Mei 2019