Adakah Najib bersetuju, dengan merancang Selasa Hitam 28 Julai 2015 dan Minggu Pemecatan Besar-besaran, beliau bertanggungjawab dalam melakukan satu perbuatan yang paling merosakkan kepada demokrasi berparlimen dalam sejarah Malaysia?

Mantan Perdana Menteri Najib Razak berasa tidak senang apabila saya menggelarkan beliau sebagai seorang penakut.

Berikut adalah apa yang saya katakan semalam:

“Najib berkata semalam bahawa saya tidak mempunyai sebarang kredibiliti langsung selepas menolak jemputan berdebat dengannya.

“Mengikut logik Najib, dia tidak berhak langsung untuk membuka mulut selepas kehilangan semua kredibilitinya setelah melarikan diri daripada perdebatan “Nothing-to-Hide” dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan skandal 1MDB, memalukan dirinya di persada dunia dengan menarik diri dari memberikan ucapan pembukaan Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACC) pada September 2015 yang dihadiri oleh ribuan delegasi daripada lebih 130 negara, dan bertidak untuk keluar daripada wawancara bersama dengan Mary Ann Jolley yang disiarkan Al-Jazeera pada Oktober tahun lepas, suatu insiden yang amat memalukan.

Adakah Najib bersetuju, dalam kesemua empat situasi ini, beliau adalah penakut yang sebenarnya? Jika tidak, mengapa?

Sedangkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Najib sendiri yang telah mengumumkan kepada delegasi IACC pada 16 September 2015 bahawa Najib telah menarik diri daripada persidangan tersebut atas nasihat menterinya kerana beliau takut ditanya soalan sukar daripada 1000 delegasi yang hadir.

Adakah Paul Low menipu?

Mana-mana individu yang mempunyai kebolehan untuk membezakan baik dan buruk tidak akan membuat kenyataan di Facebook seperti yang dibuat oleh Najib.

Jika Najib mempunyai masalah pemahaman, itu bukanlah masalah saya.

Walau bagaimanapun, saya bersedia untuk mengabaikan kesilapannya, kerana saya tidak pernah berminat pun dengan kepelikan peribadi seseorang itu, biarlah semasa dia masih seorang Perdana Menteri ataupun sebagai mantan Perdana Menteri.

Apa yang lebih utama yang berkaitan dengan kepentingan negara adalah sama ada Najib bersetuju bahawa berikutan tindakannya dalam merancang Hari Selasa Hitam 28 Julai dan Minggu Pemecatan Besar-besaran, beliau telah melakukan perbuatan yang paling merosakkan dalam sejarah demokrasi berparlimen negara ini, di mana prinsip demokrasi berperlembagaan, bersama dengan kebebasan dan profesionalisme pelbagai institusi penting negara — termasuklah Parlimen, Kabinet Menteri, Pejabat Peguam Negara, PDRM, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara, dan media massa — diserang bertubi-tubi?



Jika Najib tidak bersetuju, bolehkah beliau memberikan contoh lain di mana pernah berlaku kerosakan yang jauh lebih teruk daripada yang dilakukan beliau dalam sejarah negara ini?



Saya tertarik dengan satu persoalan iaitu mengapakah Minggu Pemecatan Besar-besaran ini dilancarkan pada hari selasa 28 Julai 2015 dan bukan hari Isnin sebelumnya. Minggu Pemecatan Besar-besaran ini telah merekodkan kudeta Najib yang termasuk pemecatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal; Peguam Negara Tan Sri Gani Patail; pelantikan Apandi Ali sebagai peguam negara yang bertentangan dengan perlembagaan, pelantikan pak turut ke dalam Kabinet Najib untuk mencuci bersih peranan Najib dalam skandal 1MDB, serta penundukan institusi negara untuk menyebarkan naratif 1MDB Najib.



Pada minggu yang sebelumnya, antara 24-26 Julai 2015, ibu kota telah dibanjiri dengan khabar angin bahawa bekas Peguam Negara, Gani Patail, dengan sokongan Pengerusi SPRM, Abu Kassim Mohamad telah bersedia untuk menangkap Najib di atas tuduhan rasuah.



Saya sendiri ada terdengar khabar angin ini, tetapi saya rasa tidak mungkin seseorang seperti Najib, dengan jaringan dan peralatan perintipannya yang begitu meluas, tidak terdengar khabar angin tersebut. 



Tidak ada apa-apa yang berlaku pada hari Isnin, 27 haribulan. Tetapi, pada 28 haribulan, “Selasa Hitam”, Najib lancarkan serangannya.



Mengapakah berlakunya kelewatan tersebut?



Apandi mengaku pada 29 Julai 2015 yang beliau diberitahu mengenai pelantikannya sebagai Peguam Negara pada hari Ahad 26 Julai 2015, lantas membuatkan beliau meletakkan jawatan Hakim Mahkamah Persekutuannya secara tergesa-gesa. 



Inilah sebabnya kenapa Minggu Pemecatan Besar-besaran ini tidak bermula pada hari Isnin 26 Julai, kerana ianya sangatlah ganjil untuk memecat Gani tanpa pengganti yang bersedia untuk mengambil alih, sungguhpun pemecatan itu secara zahirnya tidak berperlembagaan — Apandi perlu memberikan notis 24 jam untuk peletakan jawatannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. 



Adalah jelas sekarang, bahawa sepanjang hujung minggu sebelum Minggu Pemecatan Besar-besaran, semasa ibu kota dibanjiri khabar angin yang Gani bersedia untuk mendakwa Najib atas tuduhan rasuah, Najib sedang bersiap sedia membuat rancangan untuk menyelamatkan diri, mengelakkan diri dari ditangkap seorang Peguam Negara yang telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri, dan melancarkan kudeta mengukuhkan kuasanya sebagai “pemerintah kleptokratik yang terunggul”. 



Jika Apandi telah diberitahu pada malam 26 Julai mengenai rancangan pelantikannya sebagai Peguam Negara untuk menggantikan Gani, tidakkah terdetik untuk beliau bertanya mengapa Gani dipecat tanpa mengikut perlembagaan?



Bilakah Najib mula merancang kudeta ini dan siapakah yang bersubahat dengannya dalam merancang Minggu Pemecatan Besar-besaran ini?



Secara kebetulan, dilaporkan semalam bahawa Apandi kini bebas untuk pergi ke United Kingdom bagi menghadiri majlis penerimaan masuk anak tirinya sebagai peguam bertauliah. 



Beliau telah dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh 8 Mei daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen bahawa larangan perjalanan beliau telah ditarik balik. 



Negara ini telah mempunyai 10 Peguam Negara sejak Hari Merdeka 1957 (termasuklah Peguam Negara semasa, Tommy Thomas), tetapi Apandi mempunyai suatu tempat yang istimewa di kalangan semua Peguam Negara atas pelbagai sebab, antaranya:

  • Dilantik selepas pemecatan tidak berperlembagaan Peguam Negara sebelumnya, yang merupakan satu pencabulan terhadap komitmen Malaysia terhadap semangat berperlembagaan dan keluhuran undang-undang;
  • Peranan beliau sebagai orang suruhan Najib bagi membawa era kegelapan, di mana rakyat dan institusi negara yang sepatutnya menjadi pelindung kepada Malaysia yang demokratik diserang secara bertubi-tubi;
  • Peranan beliau dalam menutup kisahbenar kleptokrasi Najib dan skandal 1MDB dan menghalang kerjasama dengan 10 negara lain dalam usaha menyiasat jenayah skandal 1MDB;
  • Halangan dan keengganan beliau untuk meletak jawatan secara bermaruah selepas berlakunya peralihan kuasa dalam Kerajaan Persekutuan pada 9 Mei 2018, dan sekatan perjalanan yang dikenakan pada beliau selama hampir setahun selepas beliau meletakkan jawatan.

Apandi haruslah menjawab semua persoalan mengenai peranan buruk beliau sebagai Peguam Negara kesembilan sebelum beliau keluar negara untuk menghadiri majlis pelantikan anak tirinya sebagai peguam bertauliah di United Kingdom. 



Bagi rakyat Malaysia, kita tidak harus melupai sejarah gelap ini dan sentiasa beringat kepada amaran Santayana yang berbunyi “Mereka yang melupakan sejarahnya akan mengulanginya”.



Kempen Malu Apa Bossku akan menjadi satu ujian bagi rakyat Malaysia, sama ada kita akan mengulangi kesilapan kita dalam membiarkan kerosakan dan kleptokrasi berleluasa atau belajar daripada kesilapan ini untuk masa hadapan. 



AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Jumaat, 31 Mei 2019