Perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Salam Sejahtera dan Salam Aidilfitri.

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri dengan penuh kesyukuran ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Pulau Pinang khususnya yang akan meraikan hari kemenangan ini pada 5 Jun 2019 setelah sebulan mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Saban hari di sepanjang bulan Ramadan ini, golongan kurang berkemampuan sentiasa dibantu dan diraikan, baik daripada pihak kerajaan, swasta, individu perseorangan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Maka, diharapkan agar bulan Syawal dan bulan-bulan yang akan datang menjadi medan terbaik kepada kita semua untuk meneruskan segala amalan baik yang telah dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan ini. Saya percaya bahawa setiap individu di dalam negeri yang tercinta ini memiliki tanggungjawab serta peranan yang tersendiri dalam mewujudkan sebuah negeri yang harmoni.

Sebagai sebuah kerajaan yang memiliki visi berteraskan keluarga melalui Penang2030 : A Family-Focused, Green and Smart State that Inspires the Nation, Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan sumbangan yang telah diberikan dalam membantu mengurangkan beban golongan yang memerlukan terutama menjelang musim perayaan. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama melalui program-program kebajikan yang telah dimulakan sejak tahun 2008 lagi. Semoga bantuan-bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan membantu rakyat mengharungi detik-detik sukar dalam kehidupan mereka.

Sejajar dengan semangat perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni di antara semua kaum. Justeru, Kerajaan Negeri amat komited ke arah melahirkan masyarakat harmoni berteraskan semangat Malaysia Baharu yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi. Melangkaui 11 tahun menerajui tampuk pemerintahan, Pulau Pinang sudahpun mempunyai teras yang stabil serta rekod yang boleh dibanggakan dalam aspek pelaburan, pelancongan, penyediaan infrastruktur serta kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Kerajaan Negeri akan terus bekerja keras untuk memastikan iklim pelaburan negeri ini kekal unggul dan berkembang pesat.

Pada masa ini, secara purata, pelaburan baru yang bertapak di negeri ini adalah bernilai RM5 bilion setiap tahun dan telah mencipta 10,000 peluang pekerjaan khusus kepada generasi muda negeri ini. Hasilnya, negeri ini mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 2.1% sahaja pada tahun 2017 dan merupakan yang kedua terendah di antara negeri-negeri di Malaysia. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan memberi perhatian dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi dan jalur lebar berkelajuan tinggi yang mana akan menarik lebih banyak lagi pelaburan Industri 4.0.

Pada masa ini, fokus Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan 1.77 rakyat negeri ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dalam 10 tahun akan datang. Justeru, tata kelola dan pentadbiran berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus akan terus dimantapkan seiring dengan Visi Penang2030.

Visi Penang2030 yang diwujudkan akan menjadi panduan dan hala tuju Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dalam tempoh 10 tahun akan datang. Perincian dasar dan inisiatif strategik akan diberikan perhatian yang sewajarnya bagi memastikan segala perancangan dan pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan di bahagian Seberang Perai mahupun pulau. Selain itu, agenda hijau (green agenda) akan terus diberikan perhatian dan diselaraskan dengan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar.

Kita sungguh bertuah kerana negeri ini terus mampu mengekalkan keharmonian agama dan perpaduan yang telah terbina kukuh sejak sekian lama. Tidak dinafikan dalam masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, sudah tentu wujud perbalahan dan perbezaan pendapat. Walau bagaimanapun, perbezaan ini masih dapat dikendalikan secara rasional dan tidak pernah menjadi benteng pemisah antara kita semua.

Justeru, saya menyeru agar kita semua dapat menyemai rasa syukur di atas keharmonian yang dikecapi selama ini dan memperkasakan ikatan persaudaraan dengan penuh kasih sayang dalam suasana yang muhibah. Kepada yang akan memandu pulang ke kampung halaman, berhati-hati di jalan raya. Rancanglah perjalanan dengan baik dan patuhilah undang-undang lalu lintas, pandu dengan cermat dan waspada. Semoga perjalanan anda semua selamat dan ceria. Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Semoga Syawal ini membawa keberkatan dan rahmat kepada kita semua.

Maaf Zahir dan Batin.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Sabtu, 1 Jun 2019