Seruan untuk menyemak semula dan meningkatkan elaun perumahan anggota polis di Johor Bahru dan bandar-bandar besar lain bagi mengimbangi kos sara hidup yang tinggi

Semasa melawat anggota PDRM Johor Baru Utara bersama dengan beberapa petugas saya dan selepas diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Johor Baru ACP Mohd Taib Ahmad dan ketua-ketua polis lain daripada daerah JB Utara, saya terkejut dengan keadaan kuarters perumahan polis yang teruk di kawasan ini.

Saya teringat kepada salah satu daripada 11 cadangan Suruhanjaya Diraja PDRM yang dibentangkan 14 tahun lepas — yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis dan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Tun Mohamad Dzaiddin dan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar — untuk menambah baik taraf kebajikan anggota polis.

Salah satu daripada cadangan ini adalah untuk pemberian satu elaun khas untuk anggota polis yang ditempatkan di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Johor Bahru, dan Georgetown untuk mengimbangi kos sara hidup yang lebih tinggi yang dihadapi mereka.

Di Johor Bahru, kos perumahan di pasaran perumahan adalah tiga kali lebih tinggi daripada elaun perumahan yang diberikan oleh PDRM. Tidak cukup dengan kekurangan perumahan untuk anggota polis di kawasan ini, kuarters polis yang sedia ada juga kini berada dalam keadaan yang usang dan memerlukan penambahbaikan yang bernilai berpuluh juta ringgit.

Sebagai langkah segera, saya menyeru tiga tindakan segara:

  • Semakan dan kenaikan elaun perumahan anggota polis di Johor Bahru dan bandar-bandar besar lain untuk mengimbangi kos sara hidup yang tinggi;
  • Membaiki dan menambah baik kuarters polis sedia ada yang telah rosak; dan
  • Pembinaan perumahan anggota polis yang mencukupi untuk semua anggota polis, bukan hanya di Johor Bahru tapi di seluruh negara.

Satu komuniti yang selamat, bebas daripada jenayah dan ancaman jenayah sepatutnya menjadi satu hak asasi yang boleh dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Dalam Malaysia Baharu, kita mahukan Malaysia untuk menjadi negara bertaraf dunia — termasuklah mempunyai satu pasukan polis yang bertaraf dunia.

Saya percaya ini adalah matlamat bersama semua rakyat Malaysia yang kita boleh berikan sokongan sepenuh hati.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan sidang media oleh Lim Kit Siang selepas melawat Pasukan Polis Johor Baru Utara di Ibupejabat Polis Skudai pada hari Ahad, 2 Jun 2019