Perutusan Hari Raya Aidilfitri DAP daripada Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng

Memang rakyat mengharapkan akan ada hadiah istimewa menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun 1440 Hijrah ini, dengan tersebarnya khabar mengatakan salah seorang penyangak utama dalam skandal maha besar 1MDB, Jho Low, telahpun ditahan dan akan dibawa pulang ke tanahair untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Sungguhpun hampa apabila didapati berita ini tidak benar, kita percaya dengan Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang yakin bahawa Jho Low akan ditangkap tidak lama lagi, supaya rakyat boleh mendapat balik sebahagian daripada kerugian RM52 bilion yang ditanggung negara ekoran skandal 1MDB.

Namun demikian, Kerajaan Persekutuan telah menambahkan peruntukan untuk hal ehwal Islam sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2019 kepada RM1.2 bilion daripada RM1.1 bilion untuk Belanjawan 2018, selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Di samping itu, sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk sekolah pondok dan RM25 juta lagi untuk sekolah agama rakyat, yang tidak diberikan dalam Belanjawan 2018 di bawah kerajaan lama.

Kebersihan adalah keimanan. Itulah sebab mengapa untuk menjadi maju dan berjaya, Malaysia perlu menjadi negara yang bersih, hijau, sihat dan selamat. Melindungi alam sekitar adalah penting, dan atas dasar ini, DAP tidak menyokong pembinaan dua jana kuasa nuklear yang dicadangkan oleh kerajaan lama. Bantahan ini berdasarkan kesedaran bahayanya bahan radioaktif, dan ketiadaan kepakaran yang dimiliki Malaysia yang boleh menjaminkan ia selamat. Adalah dipersetujui agar program pembinaan jana kuasa nuklear ini tidak diteruskan dalam negara ini, demi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.

Itulah sebabnya juga sisa buangan plastik dan toksik tidak dibenarkan masuk ke negara kita, dan sebaliknya harus dihantar pulang ke negara asal yang mengeluarkannya. Prinsip sama ini yang memerlukan sisa buangan keluaran nadir bumi oleh Lynas Corporation Ltd (Lynas) dihantar balik ke Australia, lebih-lebih lagi apabila sisa buangan keluaran nadir bumi Lynas ini adalah radioaktif. Penghantaran balik sisa buangan ke negara asal, ataupun mana-mana negara tidak dibenarkan mengeksport sisa buangan ke negara lain, merupakan amalan menurut peraturan atau konvensyen antarabangsa.

Kebersihan bukanlah setakat fizikal tetapi juga dalam aspek urus tadbir kerajaan yang baik agar pentadbiran tidak terbabit dengan amalan rasuah dan penyelewengan kewangan: “Amar makruf nahi mungkar”.

DAP mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1440H kepada semua umat Islam, maaf zahir dan batin.

Sayangi Malaysiaku!

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Perutusan Hari Raya Aidilfitri DAP oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 3 Jun 2019