Pengajaran daripada kehebohan pelantikan Latheefa Koya — pentingnya untuk kita terus menguatkan kepercayaan di antara pemimpin Pakatan Harapan dan perlunya untuk Pimpinan PH memperkuatkan komitmen untuk menjadikan Manifesto PH sebagai panduan pembentukan Malaysia Baharu

Dua pengajaran penting yang dapat kita belajar daripada kekecohan mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah:

  • Pentingnya untuk pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan untuk terus-menerus meningkatkan kepercayaan di antara mereka, dan
  • keperluan untuk Pimpinan Pakatan Harapan kekal komited dengan Manifesto Pakatan Harapan sebagai panduan dalam membina sebuah Malaysia yang Baharu.

Seperti yang telah diperakui ramai, pelantikan Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM adalah terletak di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri dan ianya selari dengan peruntukan undang-undang.

Pelantikan Latheefa juga tidak dipersoalkan daripada segi kelayakannya.

Isu utama yang timbul berkaitan pelantikan ini adalah percanggahan dengan Janji ke-14 Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan yang menyatakan: “…menaikkan taraf SPRM kepada sebuah suruhanjaya yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu sama seperti kedudukan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia”; “SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri”; menambah bilangan pesuruhjaya SPRM dan seorang daripada mereka akan dilantik menjadi pengerusi, dan “Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen”.

Mereka yang mengatakan cara pelantikan Latheefa sebagai Pengerusi SPRM bertentangan dengan semangat Janji ke-14 Manifesto PH ini tidaklah salah dan saya yakin, jika pelantikan ini tidak melibatkan Latheefa, beliau akan menjadi individu terawal yang akan mengkritik pelantikan seperti ini.

Mengikut logik ini, pelantikan Mohd Shukri Abdull pada 18 Mei 2018 semestinya bertentangan dengan Janji ke-14 tersebut.

Peruntukan Perlembagaan bagi melaksanakan Janji ke-14 ini belum lagi disediakan dan hal ini mewujudkan satu keadaan di mana Perdana Menteri berhak dari segi peruntukan undang-undang tapi tidak betul daripada segi politik untuk menggunakan kuasanya dalam melantik Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM.

Seperti yang kita lihat dalam sesi Parlimen April yang lepas, di mana Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan kerajaan ditolak, reformasi undang-undang dan perlembagaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Adakah Ketua Pembangkang di Parlimen dan parti-parti pembangkang akan menyokong pindaan perlembagaan bagi melaksanakan Janji ke-14 Manifesto Pakatan Harapan ini?

Kerajaan Pakatan Harapan perlulah meningkatkan usaha membina Malaysia Baharu dalam tahun kedua ini berbanding dengan tahun pertama yang telah digunakan untuk memeriksa dan menyemak keparahan dan kerosakan yang ditinggalkan oleh rejim yang lepas.

Perperangan menentang rasuah adalah salah satu matlamat terutama Pakatan Harapan.

SPRM dan semua rakyat Malaysia haruslah sedar, walaupun kesalahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa orang kanan rejim yang lepas sedang dibicarakan di mahkamah, perjalanan negara untuk menjadi negara terunggul yang berintegriti masih lagi panjang dan berliku.

Ujian terbesar untuk Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM adalah untuk beliau memastikan tahun kedua kerajaan PH dengan SPRM di bawah pimpinan beliau, berjaya dalam memerangi rasuah dan menjayakan transformasi Malaysia daripada sebuah negara yang dipenuhi rasuah kepada sebuah negara yang berintegriti.

Kita mahukan visi Malaysia Baharu Pakatan Harapan berjaya — dan untuk ini kita perlukan Latheefa Koya untuk berjaya dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Ahad, 9 Jun 2019