Menggesa kerajaan mengkaji semula polisi semasa tidak akan melaksanakan pemutihan pekerja asing tanpa izin di Malaysia

Saya menggesa Kerajaan Persekutuan mengkaji semula polisi semasa tidak akan melaksanakan pemutihan ke atas pekerja asing tanpa izin (PATI) di Malaysia.

Pada masa kini, kerajaan mengambil pendirian yang tegas terhadap PATI di Malaysia. Pada 5hb Jun 2018, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran telah memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap majikan yang menggaji PATI dan akan menguatkuasakan undang-undang imigresen secara tegas.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapannya di Parlimen pada 30hb Oktober 2018 telah menyatakan bahawa kerajaan tidak akan lagi melaksanakan pemutihan ke atas PATI di Malaysia atas alasan kerajaan telah melaksanakan banyak program pemutihan pada masa yang lampau dan kerajaan hendak meyampaikan satu isyarat tegas dan jelas bahawa kerajaan tidak akan lagi membenarkan penggajian PATI.

Dasar semasa kerajaan ini telah menyebabkan ramai PATI meninggalkan Malaysia atau dihantar pulang ke negara asal mereka. Ramai PATI yang masih di Malaysia akan meninggalkan Malaysia tidak lama lagi. Hal ini menyebabkan banyak sektor yang bergantung kepada PATI ini mengalami kekurangan tenaga buruh.

Baru-baru ini Menteri Sumber Manusia mengaku bahawa Malaysia kekurangan tenaga kerja yang serius termasuk sektor pertanian hinggakan beliau sudi mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari Afrika. Oleh itu, saya menggesa kerajaan untuk menimbang semula pendirian semasa kerajaan tentang PATI.

Saya membantah kemasukan orang asing ke Malaysia tanpa izin, tetapi Negara kita telah mewarisi satu masalah kira-kira empat (4.0) juta PATI daripada kerajaan BN yang lepas. Negara kita sudah lama menggunakan tenaga PATI untuk bekerja dalam sektor 3D (kerja-kerja yang kotor, bahaya dan susah) yang tidak diminati oleh rakyat tempatan.

Program-program pemutihan yang lepas tidak cukup menyeluruh untuk memutihkan semua PATI kerana majikan hanya boleh mengemukakan permohonan pemutihan pekerja mereka di Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya sahaja. Ramai majikan terpaksa beratur seawal jam 3 pagi untuk mengemukakan permohonan-permohonan mereka. Ramai daripada mereka kecewa dan pulang dengan tangan kosong kerana KDN tidak dapat menampung jumlah pemohon yang begitu ramai. Pejabatpejabat yang dibuka untuk menerima permohonan-permohonan ini hendaklah mudah diakses oleh majikan bagi menjayakan proses pemutihan PATI. Oleh itu, saya menyarankan supaya semua pejabat imigresen di seluruh negara dibenarkan untuk memproses permohonan-permohonan ini.

Pemutihan PATI mempunyai banyak kesan positif. Pertama, kerajaan boleh mendapat pendapatan tambahan berbilion ringgit melalui hasil kutipan levi. Kedua, kejadian rasuah yang berleluasa dimana pegawai polis atau imigresen menerima wang rasuah supaya tidak menangkap PATI atau melepaskan PATI yang telah ditahan dapat dihentikan. Ketiga, pekerja asing ini dapat hidup dalam keadaan yang bebas daripada ketakutan dan mereka yang menganiayi mereka.

Harga diri pekerja asing sebagai seorang manusia hendaklah dihormati. Keempat, pengambilan pekerja asing baru akan menyebabkan kos tambahan bagi majikan dan pekerja asing baru yang akan datang. Akhir dan yang terpenting sekali, masalah kekurangan tenaga kerja dalam kerjakerja 3D yang tidak diminati oleh rakyat Malaysia dapat diatasi.

Ekonomi negara-negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand telah bertambah baik. Negara-negara ini sekarang mempunyai banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang agak selesa kepada rakyat mereka. Oleh itu adalah sukar sekarang untuk Malaysia menarik minat pekerja asing untuk mengisi kerja-kerja 3D. Selain itu, Ringgit Malaysia telah menyusut nilai kira-kira 25% dalam tempoh enam tahun yang lalu dan menyebabkan upah pekerja asing yang boleh dikirim balik menurun dengan mendadak. Oleh itu, pemutihan PATI merupakan jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua iaitu negara kita dan PATI berkenaan.

Ngeh Koo Ham
Ahli Parlimen Beruas
Kenyataan media oleh Ngeh Koo Ham di Parlimen pada hari Khamis, 4 Julai 2019