Tahniah di atas lantikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan jumpa anda di mahkamah, Datuk Razlan

Semalam, dua hari selepas kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik lima orang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baharu, termasuklah Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Sebenarnya, pada tanggal 17 Jun 2019 yang lalu, saya telah menerima sepucuk surat tuntutan (letter of demand) daripada Tetuan The Law Chambers Of Fauzi & Nasser mewakili Datuk Mohd Razlan Bin Muhammad Rafii. Menerusi surat tersebut, saya dikatakan telah memfitnah Datuk Mohd Razlan atas kenyataan yang telah saya keluarkan di laman Facebook saya bertarikh 23 Mac 2019.

Jelas sekali, pada 15 Mac 2019 melalui akaun Twitter beliau @razlanrafii beliau telah mengulang Tweet dari Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi pada hari yang sama dengan komen:

“.. elok tembak puak2 DAP ni !!!”

Sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih melalui proses demokrasi, saya mengambil tanggungjawab untuk memberikan respons terhadap kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Ini termasuklah tweet Datuk Mohd Razlan yang jelas sekali mampu mencetuskan kebimbangan kepada ahli-ahli dan pengikut-pengikut Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang Malaysia. Saya berdiri teguh dengan kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini.

Sepanjang penglibatan politik saya selama dua dekad, ini adalah kali pertama saya menerima surat tuntutan seperti ini. Saya berharap semua pimpinan politik, baik kerajaan atau pembangkang, untuk berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan provokasi seperti ini.

Saya telah mengarahkan peguam saya, Saudara Ramkarpal Singh dari Tetuan Karpal Singh & Company untuk menjawab surat tuntutan tersebut. Saya juga berharap agar pihak Datuk Mohd Razlan meneruskan niat beliau untuk membawa kes ini ke mahkamah. Bak kata pepatah, “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Kenyataan media oleh Howard Lee Chuan How di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 5 Julai 2019