Semua rakyat Malaysia harus mempertahankan perpaduan nasional dan mengecam berita palsu dan ucapan kebencian yang direka untuk mencetuskan prasangka antara kaum dan agama, rasa curiga, permusuhan, ketakutan dan kebencian

Sejak dua bulan lalu, “media sosial Malaysia” seolah-olah membentuk rohnya yang tersendiri – memberikan sebuah gambaran yang salah bahawa kononnya daya pemisah dan pemecah-belah sedang bermaharajalela dan giat memporak-perandakan Malaysia — disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama yang terburuk dalam sejarah negara.

Bagaimanapun, ini adalah gambaran yang salah tentang keadaan sebenar di Malaysia.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 pada 13 Ogos lalu bukan sahaja disambut dengan begitu meriah di ibu negara dan ibu negeri di negara ini, malah, untuk pertama kali sejak beberapa ketika, turut disambut dengan penuh warna-warni di pekan-pekan dan kampung-kampung di seluruh negara.

Di kawasan Parlimen Iskandar Puteri, sebagai contoh, saya telah merasmikan beberapa acara antaranya sambutan Hari Hari Kemerdekaan ke-62 di Kangkar Pulai yang disertai kira-kira 2,000 penduduk, pertandingan debat, Konvoi Bermotorsikal Hari Kemerdekaan ke-62, dan Pesta Bola Hari Kemerdekaan ke-62 yang disertai 32 kumpulan dari beberapa kampung Melayu.

Saya tidak menemukan sebarang sentimen yang diadu-dombakan “media sosial Malaysia” seperti perasaan curiga antara kaum dan agama, prasangka, sangsi, kemarahan, ketakutan dan kebencian, sebaliknya saya merasakan suasana ketika itu dipenuhi dengan semangat muhibah, persefahaman, harmoni dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, tak kira orang Melayu, Cina atau India.

Saya menyeru rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama, untuk membuktikan bahawa “media sosial Malaysia” adalah salah — bahawa ia salah dalam memberikan gambaran bahawa kononnya daya pemisah dan pemecah-belah sedang bermaharajalela dan giat memporak-perandakan Malaysia — disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama yang terburuk dalam sejarah negara.

Saya menerima dua pucuk surat, semalam. Ia mengandungi kata-kata nista dan kecaman yang membawa nada yang sama seperti ucapan-ucapan kebencian dan berita palsu yang kini sedang tular dan beredar dengan pantas di “media sosial Malaysia”.

Salah satunya dikarang dalam bahasa Cina, menuduh saya antara lain sebagai “anjing suruhan”, “penipu” dan “pembohong politik tak tahu malu” sementara yang satu lagi dikarang dalam bahasa Inggeris, memanggil saya dengan gelaran YB Ular “Osama Lim KS bin Abdullah”, menuduh saya sebagai “anjing suruhan”, “pengkhianat orang Cina”, “penipu” dan “Parasit Dr. M yang paling jijik”.

Nada tuduhan ini ketara berbeza, kerana sejak separuh abad yang lalu, saya telah dituduh kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan seorang penganut agama Kristian, malah dituduh sebagai seorang komunis yang mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng! Saya juga dituduh kononnya menjadikan Mahathir sebagai “boneka”. Kini, saya telah dituduh menjadi “anjing suruhan” dan “penipu” yang mengkhianati orang Cina serta kepentingan dan hak orang bukan Islam.

Pun begitu, ini semua hanyalah perkakas yang digunakan tidak bertanggungjawab untuk mencipta berita palsu dan ucapan kebencian bagi menimbulkan prasangka antara kaum dan agama, curiga, permusuhan, ketakutan dan kebencian di Malaysia.

Beberapa hari lalu, khabar angin tidak berasas bertiup kencang di Facebook:

“Dikatakan Lim Kit Siang lahir di Fujian dan datang ke Tanah Melayu dalam usia 16 tahun. Namun Lim Kit Siang mengatakan dia lahir di Batu Pahat, Johor;

“Tetapi tak pernah menunjukkan bukti di lahir di Tanah Melayu.”

Ini adalah salah satu contoh berita palsu dan ucapan kebencian yang kini sedang menguasai media sosial sejak dua bulan lalu. Semua ini dilakukan semata-mata untuk meniupkan rasa curiga, prasangka, permusuhan dan kebencian dalam Malaysia yang pelbagai kaum, dengan melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama, sehingga membangkitkan situasi mengarut di mana setiap kumpulan etnik percaya bahawa mereka kini kononnya berdepan krisis eksistensial etnik, agama dan budaya.

Jika penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian ini tidak dibendung, kesannya hanya satu — kemusnahan fabrik sosial di negara ini.

Salah satu contoh terbaharu adalah seruan untuk memboikot produk buatan bukan Muslim di media sosial.

Sebagai sebuah negara yang menjadi tempat tertumpunya empat tamadun agung dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat – kita haruslah memanfaatkan nilai-nilai terbaik daripada setiap tamadun ini untuk membina sebuah bangsa dan negara Malaysia — yang boleh dijadikan contoh kepada dunia sebagai bukti kejayaan Perikatan Peradaban.

Rakyat Malaysia harus bersatu dan bersaing dengan seluruh dunia, daripada terus bertelagah sesama sendiri.

Kita kini sedang terlibat dalam perjuangan mencari jiwa Malaysia, sama ada komited dengan objektif sebuah Malaysia Baharu bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti atau sama ada membenarkan berita palsu dan ucapan kebencian melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama, memaksa setiap rakyat Malaysia kembali ke dalam kepompong etnik masing-masing dan menjadikan Malaysia sebuah negara penyangak dan gagal serta berteraskan klepto-teokrasi.

Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak serta Sultan Selangor dalam titahnya menekankan kepentingan perpaduan nasional dan risiko penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian.

Semua rakyat Malaysia harus mempertahankan perpaduan nasional dan mengecam berita palsu dan ucapan kebencian.

Sepertimana peristiwa bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 — yang mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan dunia — menyerlahkan keberanian rakyat Malaysia, saya optimis bahawa majoriti rakyat Malaysia, tak kira kaum, agama atau wilayah, ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Rabu, 4 September 2019