PASNO, Sokong atau kecam boikot bukan Muslim?

Apabila ditanya mengenai gerakan boikot produk dan perniagaan bukan Bumiputera, pemimpin PAS dan UMNO hanya mampu menyatakan sokongan kepada produk Muslim. Mereka elak menjawab soalan sebenar seolah-olah alah dan pantang untuk mengkritik gerakan dan penggerak itu.

Pasangan mempelai UMNO dan PAS yang baru rasmi bernikah ini perlu menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong atau mengecam gerakan boikot tersebut, dan tidak berdolak-dalih dalam isu boikot yang boleh memecah-belahkan masyarakat kita.

Jika dicermati sirah Nabi Muhammad SAW, Madinah yang dipimpin oleh Baginda sendiri membenarkan kaum Yahudi berniaga dan berjual beli dengan orang Islam. Penggerak serta pengikut boikot ini harus mengambil iktibar dan pengajaran besar dari akhlak dan tauladan baik seperti ini.

Masyarakat dari negara yang kaya dengan kepelbagaian latar belakang seperti Malaysia tidak boleh memboikot sesuatu produk secara melulu hanya berdasarkan perbezaan agama. Kemajmukan ini merupakan aset yang seharusnya kita terus pertahankan dan raikan.

Memboikot produk oleh bukan Islam secara taksub dan melulu adalah bertentangan dengan norma masyarakat berbilang keturunan di negara kita. Boikot tidak akan membantu ekonomi, malah
memerangkap pengguna dengan permainan politik yang merugikan serta menggugat perpaduan negara.

Gerakan boikot memboikot yang dangkal ini hanya akan menyemai kebencian dan perpecahan sesama rakyat. Selain tidak produktif, ia jelas mempunyai agenda politik yang bertujuan memecah-belahkan masyarakat.

Beberapa hari yang lalu, kita melihat bagaimana Econsave Cash & Carry Sdn Bhd menjadi mangsa apabila pasar raya tersebut dituduh tidak lagi menjual barangan keluaran Bumiputera Muslim. Setelah laporan polis dibuat, pemfitnah tersebut tampil membuat permohonan maaf atas kesilapan fakta. Ini adalah satu contoh bagaimana kempen boikot didorong oleh manipulasi fakta yang melampau tanpa keabsahan fakta.

Amat dukacitanya, pemfitnah tersebut merupakan sebuah kelab sukan memanah yang beroperasi di Negeri Perak. Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang diamanahkan menjaga pembangunan sukan, saya akan aturkan satu pertemuan dengan pengurusannya demi menjaga nama baik persatuan sukan negeri Perak.

Pesan saya, marilah kita pandang ke hadapan untuk melihat gambaran yang lebih besar iaitu kemakmuran bersama. Usah keruhkan keadaan dengan mainan politik yang cetek. Usaha bina semula negara kita tidak boleh hanya dalam sidang dewan atau pejabat kerajaan, ia juga harus dipupuk di kejiranan kita dan tabiat kita di alam maya.

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Kenyataan media oleh Howard Lee Chuan How di Ipoh pada hari Khamis, 5 September 2019