Sebuah pengajaran tentang identiti nasional Malaysia

Kejadian malang dan menyedihkan di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta malam tadi — di mana tiga rakyat Malaysia telah tercedera selepas peminat bola sepak Malaysia dibaling dengan objek logam dan botol air dan gas pemedih mata selepas Harimau Malaya menjaringkan gol kemenangan terhadap Indonesia dalam Perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia Zon Asia — dapat memberikan kita pengajaran penting tentang identiti nasional Malaysia.

Pengajaran ini amat berguna dan tepat pada masanya kerana sejak dua bulan lalu, media sosial Malaysia dikuasai oleh berita palsu dan ucapan kebencian yang melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama, malah membangkitkan prasangka antara kaum dan agama, rasa sangsi, permusuhan, ketakutan dan kebencian bagi mewujudkan fobia bahawa setiap etnik kononnya berdepan krisis eksistensial budaya dan pegangannya.

Ia merupakan suatu peringatan bahawa orang Melayu, Cina dan India di Malaysia, yang merupakan anak watan Malaysia, mempunyai banyak persamaan antara satu sama lain berbanding orang Indonesia di Indonesia, orang Cina di China dan orang India di India.

Adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bersifat jahat untuk sesuatu pihak cuba menuduh bahawa kononnya orang India di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India Narendra Modi daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, begitu juga dengan dakwaan bahawa orang Melayu kononnya menganggap Joko Widodo atau Jokowi sebagai Presiden mereka atau orang Cina di Malaysia menganggap Xi Jinping sebagai Presiden mereka sedangkan semua rakyat Malaysia taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong, sistem monarki berpelembagaan dan Perlembagaan Persekutuan.

Saya masih ingat pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad pada September tahun lalu, di mana beliau terkenang mengenai lawatan kerja pertamanya ke China sebagai Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan pada bulan sebelumnya, di mana terdapat ramai rakyat Malaysia bertemu dengan beliau dalam satu perjumpaan di Beijing, termasuklah mereka yang telah menetap di negara China selama lebih daripada 10 tahun.

Saya menyatakan kepada beliau bahawa orang Cina Malaysia ini bukan orang Cina China dan walaupun mereka telah bekerja di China untuk tempoh 10 atau 20 tahun, jiwa dan hati mereka tetap pada Malaysia, kerana mereka tetap menjadi rakyat Malaysia, menganggap Malaysia adalah rumah mereka, dan bukannya China.

Pun begitu, sejak dua bulan yang lalu, media sosial memberikan gambaran yang salah tentang Malaysia, kononnya negara ini kini diambang perpecahan kaum dan agama, dengan berita palsu dan ucapan kebencian disebarkan secara meluas menjadi-jadi untuk mengipas bara api perkauman dan keagamaan dengan membuatkan setiap etnik membenci etnik lain hanya kerana khabar-khabar angin palsu yang tidak berasas bahawa mereka kononnya berdepan krisis eksistensial — sedangkan apa yang berlaku di peringkat akar umbi menyerlahkan suasana yang sebaliknya di mana rakyat pelbagai kaum kekal hidup dengan semangat muhibah, persefahaman, toleransi dan harmoni.

Tetapi, jika racun berita palsu dan ucapan kebencian ini tidak ditangani, kehidupan realiti Malaysia akan turut teracun dan terikut-ikut dengan suasana “media sosial Malaysia” yang toksik, menjerumuskan negara ke dalam lembah perpecahan antara kaum dan agama.

Kabinet harus diberikan pujian atas usaha mereka menolak agenda gerakan boikot barangan keluaran orang bukan Islam dan mengajak semua rakyat menyokong barangan buatan Malaysia.

Kita tidak harus termakan umpan pihak yang mahu melihat Malaysia berpecah, yang mencari-cari jalan untuk menghasut rakyat Malaysia supaya berpecah-belah.

Ini sebabnya mengapa rakyat Malaysia harus berusaha untuk mencapai perpaduan, kesefahaman dan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia dan meninggalkan permusuhan dan perpecahan antara kita.

Mereka yang menyokong bahawa orang Islam harus undi dan sokong pemimpin Islam sahaja, meskipun mereka korup bukan sahaja menentang ajaran Islam, malah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan lima prinsip Rukun Negara khususnya “Kedaulatan Undang-undang” serta “Kesopanan dan Kesusilaan”.

Justeru itu, adalah menjadi kebimbangan apabila terdapat pengumuman beberapa hari yang lalu yang berlawanan dengan penekanan terhadap perpaduan nasional, sebaliknya berpotensi mewujudkan perpecahan yang lebih besar, yang mana perlu dipertimbangkan semula.

Saya bersetuju bahawa perbuatan berdoa bersama penganut berlainan agama di atas satu pentas yang sama bukanlah satu cubaan untuk mencapur-adukkan agama. Sebaliknya, perbuatan ini adalah untuk mencari semangat solidariti dan persaudaraan sesama manusia atas nama cinta, belas kasihan dan keadilan bersama.

Baru-baru ini, masyarakat pelbagai agama di Malaysia bersama-sama berdoa bagi memperingati tragedi MH370 dan MH17, dan tragedi serangan keganasan di New Zealand dan Sri Lanka.

Sebagai sebuah negara yang menjadi tempat tertumpunya empat tamadun agung dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat – kita haruslah memanfaatkan nilai-nilai terbaik daripada setiap tamadun ini untuk membina sebuah bangsa dan negara Malaysia — yang boleh dijadikan contoh kepada dunia sebagai bukti kejayaan Perikatan Peradaban.

Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak serta Sultan Selangor dalam titahnya menekankan kepentingan perpaduan nasional dan risiko penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian.

Marilah semua rakyat Malaysia mempertahankan perpaduan nasional dan mengutuk penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian yang direka untuk mewujudkan prasangka, rasa curiga, permusuhan, ketakutan dan kebencian antara kaum dan agama.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Jumaat, 6 September 2019