Menyokong seruan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk isu kemiskinan di Malaysia

Dalam menghampiri ulang tahun ke-56 penubuhan Malaysia pada 16 September 2019 ini, kita boleh renung semula beberapa perkara yang dapat kita syukuri bersama.

Walaupun menghadapi ketidaktentuan global, KDNK untuk suku kedua negara meningkat sebanyak 4.9%, satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mana pertumbuhan KDNK suku keduanya lebih tinggi daripada suku pertama.

Dalam separuh pertama tahun 2019, pelaburan asing yang telah diluluskan, dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, dan industri utama meningkat sebanyak 97.2% kepada RM49.5bn daripada jumlah RM25.1bn pada separuh tahun pertama 2018. Kadar pengangguran kekal pada kadar yang rendah setakat 3.3% pada Jun 2019.

Namun begitu, dalam kegembiraan kita meraikan pelbagai berita baik ini, marilah kita beringat kepada saudara kita yang kurang bernasib baik. Kemiskinan dan golongan yang kurang bernasib baik ini tidak hilang begitu sahaja selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada Mei 2018.

Kumpulan ini adalah satu peringatan yang jelas, mengenai tugas yang perlu kita pikul untuk menaikkan taraf hidup mereka dan anak-anak mereka.

Mereka adalah keluarga berempat yang tinggal di pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur dengan pendapatan sekeluarga yang tidak lebih daripada RM2000. Mereka adalah ibu tunggal di Lumut yang menjaga dan membesarkan empat orang anak selepas kehilangan suaminya dalam kemalangan motosikal. Mereka adalah keluarga FELDA di Rompin, yang pendapatannya telah jatuh selari dengan kejatuhan harga minyak sawit. Mereka adalah keluarga bekas penoreh getah yang kini sedang cuba untuk mencari punca pendapatan di dalam bandar baru yang telah dibangunkan di sekitar mereka. Mereka adalah keluarga Orang Asli di Gua Musang yang punca pendapatannya kini terancam dan tidak menentu akibat pencerahan hutan dan pembalakan haram yang telah mengancam akses mereka kepada sumber makanan dan rezeki daripada hutan.Mereka adalah orang Penan di Sarawak yang kehilangan tanah dan gaya hidup mereka kepada jual beli tanah yang korup. Mereka adalah anak-anak Bajau Laut di Lahad Datu yang berhadapan dengan masa depan yang gelap kerana tidak mempunyai kerakyatan yang mengurangkan akses persekolahan mereka.

Berdasarkan pemerhatian peribadi sahaja, saya pasti ramai Ahli Parlimen di Malaysia tidak merasakan yang kadar kemiskinan di negara ini telah jatuh ke kadar 0.4% seperti yang dilaporkan. Di mana pendapatan 27000 isi rumah yang berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan daripada sejumlah 6.7 juta isi rumah dalam negara. Secara puratanya, ini bermakna hanya 121 isi rumah miskin tegar dalam setiap 222 kawasan parlimen. Jika kita lihat kepada jumlah orang yang datang ke pusat khidmat rakyat untuk meminta bantuan kewangan, kadar kemiskinan yang dilaporkan ini tidak mencerminkan realiti yang dihadapi.

Keperluan untuk mengkaji semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ini adalah sesuatu yang telah disokong oleh Ahli-ahli Parlimen dan parti komponen PH sebelum PRU14.

Institut Rakyat, sebuah institusi kaji selidik PKR, pernah mencadangkan kepada kerajaan yang lepas untuk bertukar kepada konsep kemiskinan relatif dan bukannya bergantung kepada konsep kemiskinan absolut yang diasaskan oleh PGK.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago juga pernah menimbulkan isu mengenai garis kemiskinan ini seawal 2008 lagi.

Pada tahun 2014, Ahli Parlimen Lembah Pantai buat masa itu, Nurul Izzah telah menyeru kepada kerajaan untuk menggunakan Indeks Kemiskinan Multidimensi untuk membolehkan kerajaan mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kadar kemiskinan di negara ini. Indeks ini kemudiannya diperkenalkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Dalam ucapan debat parlimen saya sendiri pada bulan April 2006 mengenai Rancangan Malaysia Ke-9, saya juga telah menekankan mengenai perlunya satu cara yang lebih baik untuk mengukur kadar kemiskinan dalam negara.

Komuniti akademik dan penyelidikan di Malaysia telah lama memberikan cadangan untuk mendapatkan pemahaman dan ukuran yang lebih baik berkaitan kemiskinan.

Professor Ragayah Haji Mat Zain, seorang sarjana yang berkecimpung dalam bidang kemiskinan di Malaysia telah menekankan kepentingan untuk mengemas kini ukuran kadar kemiskinan termasuklah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dalam kaji selidik beliau.

Baru-baru ini, Khazanah Research Institute telah menekankan keperluan untuk mengukur kadar kemiskinan relatif, bagi menambahbaik kadar kemiskinan absolut yang diukur di dalam negara.

Pada Februari 2018, satu kajiselidik yang diterbitkan oleh UNICEF dan DM Analytics mendapati hampir semua kanak-kanak yang tinggal di pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur hidup dalam kemiskinan relatif dan sejumlah 7% kanak-kanak secara amnya hidup dalam kemiskinan relatif.

Kadar kebantutan di kalangan kanak-kanak ini, yang menjadi kayu ukur kekurangan akses kepada makanan yang sihat dan mencukupi, berada pada tahap 20%. Ketua Penyelidik kajiselidik ini, Dr Muhammed Abdul Khalid yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, menyatakan yang perkara ini sekarang berada di tahap kritikal.

Saya juga membaca kolum Dr Muhammed dalam Sinar Harian baru-baru ini yang menyeru supaya ukuran kadar kemiskinan kita dikemas kini dengan memasukkan ukuran indeks kemiskinan multidimensi dan kadar kemiskinan relatif.

Dibaca di dalam konteks ini, komen yang dibuat Pelapor Khas UN untuk Kemiskinan Ekstrem dan Hak Asasi Manusia, Professor Philip Alston, pada 23 Ogos 2019 — yang mengatakan Malaysia telah mengurangkan kiraan rakyat miskin — tidaklah mengejutkan sama sekali.

Seruan supaya lebih banyak penerbitan dan perkongsian data pada tahap mikro mengenai kaji selidik isi rumah yang berguna dalam pengajian isu kemiskinan bukanlah satu perkara yang baru. Seorang lagi serjana dalam bidang kajian kemiskinan Professor Martin Ravallion yang memegang jawatan Pengerusi Kajian Kemiskinan Professor Diraja Ungku Aziz di Universiti Malaya juga telah membuat pemerhatian yang sama awal tahun ini.

Saya berbesar hati dengan kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa kerajaan akan mengkaji dengan teliti laporan yang diterbitkan oleh Pelapor Khas UN tersebut dan kerajaan akan mengkaji semula cara pengukuran kadar kemiskinan jika perlu.

Akhirnya, sebarang perubahan dalam cara kita mengukur kadar kemiskinan mestilah tidak berakhir hanya sebagai satu perbuatan teknikal. Ukuran ini perlu dikemas kini supaya kita dapat menggunakannya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik ini, terutamanya komuniti B40. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas sekali oleh Christopher Choong, seorang pakar ekonomi di Khazanah Research Institute.

Berita baiknya, kerajaan PH telahpun fokus kepada keperluan golongan B40 dan telah memperkenalkan beberapa polisi baharu dalam tahun yang lepas untuk mereka.

Ini termasuklah Skim Perlindungan Sosial Automatik MySalam, Skim Kesihatan Peka B40, caruman KWSP i-Suri untuk surirumah B40 dan lain-lain lagi.

Saya pasti, polisi-polisi yang boleh disasarkan dengan lebih baik akan dapat dilaksanakan dengan ukuran kadar kemiskinan yang dikemas kini. Seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk fokus kepada “Kemakmuran Bersama” juga konsisten dengan fokus untuk menaikkan taraf kehidupan golongan B40.

Sudah semestinya kita perlu sentiasa peka dengan cubaan pihak tertentu untuk menyalahkan kerajaan PH keatas sebarang peningkatan kadar kemiskinan jika PGK dan indeks kemiskinan multidimensi ini diselaraskan semula dan jika ukuran kemiskinan relatif diperkenalkan. Dalam era berita palsu masa kini, tidak mengejutkan jika DAP dipersalahkan untuk perkara ini!

Tetapi kita tidak harus gentar dengan cabaran ini. Seperti yang dikatakan oleh Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia, Kenneth Simler “keberanian politik dan komunikasi yang baik akan diperlukan untuk menaikkan taraf kemiskinan rasmi Malaysia” walaupun “sudah pasti sesetengah pihak dengan silap akan berkata, yang kadar kemiskinan sudah meningkat”.

Sehingga hari ini, saya sokong seruan daripada beberapa NGO dan individu untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk meneliti kandungan laporan Pelapor Khas UN dan memberikan cadangan untuk menambah baik ukuran kadar kemiskinan di Malaysia. Saya juga mencadangkan individu tersebut sebagai ahli kepada Suruhanjaya ini:

  1. Tan Sri Dr Kamil Salih, pengerusi Malaysian Institute of Economic Research yang merupakan seorang ahli akademik yang dihormati sebagai pengerusi Suruhanjaya ini;
  2. Datuk Dr Denison Jayasooria — seorang professor di IKMAS UKM yang mempunyai latar belakang dan pengalaman akademik dalam kajian kemiskinan dan hubungan antara etnik;
  3. Dr Lee Hwok Aun — Penyelidik di Yusof Ishak Institute of Southeast Asian Studies dan salah seorang penulis Laporan Pembangunan Malaysia 2013;
  4. Professor Madya Dr Madeline Burma — Pesuruhjaya SUHAKAM dan pengarah di Tun Fatimah Hashim Women’s Leadership Center di UKM;
  5. Seorang wakil daripada World Bank Research Group di Kuala Lumpur;
  6. Seorang wakil daripada UNICEF Malaysia.

Saya harap rakyat Malaysia dapat memberikan cadangan mana-mana individu yang apolitikal dan boleh memberikan pengalaman teknikal dan lapangan dalam bidang kajian dan polisi kemiskinan.

Apabila kumpulan yang kurang bernasib baik ini dapat menyertai visi kemakmuran bersama kita, barulah dapat kita meraikan Hari Malaysia di masa hadapan yang lebih bermakna!

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Ucapan oleh Lim Kit Siang di Retreat DAP Johor di Hotel Crystal Inn, Batu Pahat pada hari Sabtu, 7 September 2019 pukul 10 pagi