Tindakan segera diperlukan untuk menangani isu kemiskinan dalam merangka Rancangan Malaysia ke-12

Banyak kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini telah mempersoalkan kadar 0.4% isi rumah yang hidup di bawah garis pendapatan kemiskinan (GPK) yang diterjemahkan kepada 27,000 daripada sejumlah 6.7 juta isi rumah dalam negara.

Anggaran ini telah dipersoalkan oleh ramai pihak yang memerhatikan realiti di kehidupan yang sangat berbeza; sama ada di kelompok kemiskinan bandar, komuniti luar bandar, ataupun di dalam kumpulan sosial di Sabah dan Sarawak.

Dalam kenyataan saya yang dikeluarkan pada 4 September yang lepas, saya telah mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat isu kemiskinan di dalam negara. Saya juga telah cadangkan nama beberapa individu yang terkenal dalam bidang ini sebagai ahli Suruhanjaya ini dan supaya Suruhanjaya ini diberikan terma rujukan yang luas.

Saya telah menerima beberapa maklumbalas mengenai cadangan saya. Walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai kesesuaian penubuhan RCI untuk menyelesaikan masalah ini, hampir semua maklumbalas bersetuju yang garis pendapatan kemiskinan memerlukan semakan semula sebelum Rancangan Malaysia ke-12 dirangka dan dibentangkan.

Semakan ini perlulah mengambil kira semua pandangan dan komen yang telah diberikan, yang pada masa yang sama menjadi peringatan kepada semua terhadap komitmen yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan mengenai isu ketelusan dan akauntabiliti.

Garis Kemiskinan

Penentuan garis kemiskinan adalah merupakan satu langkah yang penting untuk membuat anggaran jumlah penduduk yang berstatus miskin. Bahagian Statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah memberikan cadangan tentang bagaimana garis kemiskinan dapat ditentukan. Tiga kaedah mudah yang digunakan secara meluas untuk menentukan garis pendapatan kemiskinan adalah:

  1. Garis kemiskinan mutlak
  2. Garis kemiskinan mengikut persetujuan sosial
  3. Garis kemiskinan relatif

Garis kemiskinan mutlak

Kaedah ini mengenal pasti individu yang hidup di dalam isi rumah yang berisiko untuk menghadapi kemiskinan. Garis pendapatan kemiskinan mutlak adalah kos yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas kehidupan sesuatu isi rumah tersebut. Individu yang hidup di dalam isi rumah yang meraih pendapatan di bawah garisan pendapatan mutlak ini dianggap sebagai berisiko tinggi menghadapi kemiskinan.

Di dalam sesetengah perkiraan, had ini ditetapkan sebagai beberapa kali ganda harga bakul makanan asas bagi mengambil kira perbelanjaan bukan makanan. Bakul makanan ini boleh ditentukan pada asas per kapita (garis pendapatan kemiskinan untuk setiap individu) ataupun ditentukan secara khusus untuk setiap jenis isi rumah berdasarkan beberapa faktor seperti jumlah ahli keluarga dan sebagainya.

Bagi memastikan keberkesanan, garis kemiskinan mutlak ini perlu ditetapkan mengikut harga dan corak penggunaan semasa tempatan. Kandungan “bakul makanan” ini juga perlu dikemas kini dari masa ke masa mengikut perubahan masyarakat.

Garis kemiskinan mengikut persetujuan sosial

Kaedah ini menetapkan garis kemiskinan mengikut persetujuan sosial, di mana tinjauan dilakukan terhadap satu kumpulan masyarakat untuk menentukan kadar pendapatan minima yang mereka rasakan mencukupi untuk memenuhi keperluan asas kehidupan mereka dan purata daripada tinjauan ini dijadikan garis pendapatan kemiskinan yang dianggap bersesuaian untuk komuniti tersebut. Kaedah ini memberikan satu garis kemiskinan yang lebih telus tetapi pada masa yang sama lebih subjektif.

Garis kemiskinan relatif

Sementara garis kemiskinan berasaskan “bakul makanan” dipergunakan dengan meluas di negara yang sedang membangun, garis kemiskinan relatif lebih banyak digunakan di kalangan negara maju. Pendekatan relatif dalam mengukur garis kemiskinan ini menggunakan data agihan pendapatan dalam negara dan menetapkan garis kemiskinan sebagai sebahagian daripada taraf hidup.

Kaedah ukuran yang paling banyak digunakan adalah nisbah individu yang dikira berdasarkan nisbah individu yang berpendapatan di bawah suatu peratusan pendapatan median di negara tersebut. Peratusan ini berbeza mengikut negara, sebagai contoh, Eurostat mengklasifikasikan individu yang berpendapatan di bawah tahap 60% daripada pendapatan median sebagai miskin manakala OECD menggunakan tahap 50%.

Kebanyakan negara yang sedang membangun menggunakan ukuran mutlak ataupun “bakul makanan” untuk menentukan garis pendapatan kemiskinan. “Bakul makanan” ini ditetapkan mengikut corak penggunaan tempatan yang diukur melalui Tinjauan Pendapatan-Perbelanjaan Isi Rumah.

Pendekatan Malaysia dalam menentukan Garis Pendapatan Kemiskinan

Satu-satu penjelasan metodologi yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengukur tahap kemiskinan telah dijelaskan di dalam Rancangan Malaysia ke-9. Di dalam debat parlimen mengenai Rancangan tersebut, saya telah membangkitkan isu terhadap metodologi ini yang berbunyi seperti berikut:

“Terdapat satu masalah yang lebih mendalam dan membimbangkan berkenaan dengan kaedah perkiraan ini. Kotak 16.2 menunjukkan yang GPK ini terdiri daripada dua komponen — komponen makanan dan bukan-makanan.

“Rancangan ini juga menyatakan yang komponen makanan telah dikira berdasarkan nasihat daripada pakai pemakanan dan ahli perubatan.

“Masalahnya di sini ialah corak pemakanan SEBENAR yang diukur melalui Tinjauan Isi Rumah telah diabaikan dan digantikan dengan angka-angka yang dianggap ‘wajar’. Angka ini kemudiannya digunakan untuk menetapkan garis kemiskinan yang digunakan untuk menjangka jumlah penduduk miskin tegar.

“Impak pendekatan ini terhadap GPK adalah sangat besar dan ia menyebabkan kesalahan dalam anggaran jumlah sebenar penduduk miskin tegar. Ini adalah satu kecacatan yang besar dan pendekatan ini tidak dicadangkan atau digunakan oleh mana-mana pihak berkuasa yang lain untuk menetapkan GPK.”

Kebimbangan ini kemudiannya diabaikan dan pihak berkuasa berterusan menggunakan metodologi yang bermasalah ini yang tersimpang jauh daripada amalan terbaik antarabangsa.

Kini jelaslah penggunaan kayu ukur bermasalah yang telah memberikan kita anggaran isi rumah miskin yang tidak realistik ini tidak mempunyai kredibiliti.

Penyelidik bebas dalam bidang kemiskinan yang pernah cuba untuk mengkaji dan menganalisa masalah kemiskinan di negara ini telah lama menyatakan kekecewaan mereka terhadap kesukaran untuk mendapatkan data tinjauan asli yang disimpan seakan-akan ianya rahsia besar negara. Perkara ini bukanlah sesuatu yang biasa dilakukan di negara-negara maju.

Langkah seterusnya

Wacana baru-baru ini berkenaan isu kemiskinan telah membangkitkan isu kesilapan dalam angka anggaran isi rumah miskin tegar ini.

Anggaran 0.4 peratus isi rumah miskin tegar ini bersifat delusional dan mestilah tidak digunakan sebagai asas perancangan dan pengagihan kekayaan negara.

Metodologi sedia ada perlu digantikan selari dengan amalan terbaik antarabangsa dengan sesegera yang mungkin.

Pertama sekali, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Statistik haruslah menerbitkan data terpecah (selepas memadamkan maklumat peribadi individu) daripada Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah yang terbaru bagi membolehkan ahli akademik membuat kajiselidik bebas.

Penerbitan ini menjadi bukti komitmen kerajaan Pakatan Harapan terhadap ketelusan dan keterbukaan dalam berkongsi maklumat, selari dengan manifesto PH. Reformasi ini telahpun dijanjikan dan ia mestilah dipenuhi.

Penting untuk kita ingat kembali yang penerbitan maklumat-maklumat ini adalah satu perkara yang biasa dilakukan dan selari dengan Prinsip Statistik PBB. Tidak ada mana-mana negara yang matang dari segi statistik di dalam dunia ini yang menyorokkan datanya seperti Malaysia.

Walaupun penubuhan RCI mungkin ditangguhkan, penetapan semula GPK adalah satu isu teknikal yang tidak memerlukan penubuhan RCI dan boleh dijalankan secepat mungkin.

Terdapat pelbagai pilihan untuk digunakan sebagai metodologi pengiraan yang diterima pakai oleh pelbagai negara dan institusi yang boleh kita gunakan. Masalah kita selama ini adalah kengganan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini untuk menggunakan metodologi yang diterima pakai umum.

Bagi memperbetulkan yang salah, apa yang kita perlukan ialah penubuhan satu Kumpulan Pakar Teknikal yang bebas.

Perkara ini biasa dilakukan di negara maju apabila berdepan dengan masalah dalam perkiraan ukuran statistik yang penting dan sensitif.

Sudah tiba masanya untuk Malaysia maju ke hadapan ke arah pendekatan yang lebih telus dengan meninggalkan pendekatan yang hanya bertujuan untuk mewujudkan angka-angka yang membuatkan kita “rasa gembira”.

Menjadi satu kepentingan untuk kita menangani isu ini dalam kita melakukan persediaan untuk merangka Rancangan Malaysia ke-12 bagi membolehkan kita mencapai kemakmuran yang boleh dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia dan mencapai cita-cita menjadi negara maju.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 12 September 2019