Perutusan Hari Malaysia oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar, George Town

Tarikh 16 September adalah catatan sejarah bagi negara kita iaitu tarikh keramat untuk memperingati penubuhan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Penyatuan ini sekaligus memperkukuhkan cita-cita dalam meneruskan Malaysia yang demokrasi, aman dan sejahtera. Tahun ini genap 56 tahun pembentukan negara Malaysia.

Dalam masyarakat majmuk yang diwarnai dengan kepelbagaian budaya serta latar belakang, kita sama sekali perlu menolak titik perselisihan yang boleh merosakkan hubungan yang erat terjalin ini.

Hakikat bahawa arus teknologi dalam zaman serba canggih ini sedikit-sebanyak mempengaruhi corak dan gaya hidup kita, revolusi ini perlulah ditangani dengan bijak agar kesepaduan sosial dapat terus diperkukuhkan.

Dengan pelbagai propaganda yang ingin melihat robohnya perpaduan negara, ternyata kita perlu bijak menanganinya bagi terus memastikan semangat patriotism terus utuh dalam diri setiap rakyat Malaysia terutamanya kita sebagai anak-anak Pulau Pinang.

Sebagaimana saya nyatakan bahawa Pulau Pinang adalah amat unik kerana masyarakat di sini adalah terdiri daripada rakyat berbilang kaum yang mempunyai kepercayaan serta tradisi tersendiri. Ini termasuk mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang kini turut bersama dalam revolusi pembangunan negeri. Selain Sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan yang turut diraikan menerusi peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang saban tahun, mereka juga tidak pernah dikecualikan dalam segala pelaksanaan program Kerajaan Negeri.

Pada tahun ini, sambutan Hari Malaysia turut melakar sejarah tersendiri kepada negeri Pulau Pinang apabila Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut diiktiraf sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Ini bermakna, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri telah berstatus sebagai ‘Bandaraya’. Pengiktirafan ini secara tidak langsung menyediakan sebuah platform yang kukuh kepada Pulau Pinang dalam mencapai status negeri pintar selaras dengan Visi Penang2030: Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Bersempena sambutan ini juga, saya terus menanam harapan agar hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan akan terus erat terutamanya dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur negeri demi percambahan ekonomi masa depan Pulau Pinang. Perjuangan dalam membekalkan kemudahan infrastruktur serta pengangkutan; pemilikan perumahan; perkhidmatan kesihatan efisien; keselamatan umum yang optimum; penduduk berkerjaya dan berpendapatan tinggi; tahap pendidikan yang baik sebagai jaminan modal insan berkekalan; perjuangan kesaksamaan gender; perkongsian intipati pelancongan; persekitaran hijau dan sihat tanpa mengenepikan nilai-nilai warisan sedia ada adalah memerlukan gandingan mantap daripada kedua-dua pihak.

Justeru, melalui tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”, umumnya ia cukup menggambarkan harapan kita semua untuk melihat aspek perpaduan sebagai teras utama terus diperkukuh serta diperkasakan demi pembangunan sebuah negara dan negeri yang bersih, sihat serta mantap.

Hari ini, marilah kita sama-sama menghayati dan meneladani sejarah pembetukan negara kita Malaysia sebagai pemangkin serta pembangkit semangat ke arah pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang terus cemerlang serta gemilang.

Selamat Menyambut Hari Malaysia!

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Hari Malaysia oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Isnin, 16 September 2019