Adakah Hadi sedang cuba membalas dendam dan menfitnah DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu kerana DAP tidak menyokong cita-citanya untuk menjadi calon perdana menteri Pakatan Rakyat pada tahun 2013?

Penyertaan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang ke dalam arena politik Sarawak dimotivasikan oleh kebencian dan kegagalan beliau untuk menerima hakikat kehidupan.

Apakah perkara yang berjaya mengubah seorang individu yang pernah menyatakan kesyukurannya kepada DAP kerana bersolidariti dengan PAS semasa kejatuhan kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1977 kepada seorang individu yang penuh kebencian yang gemar mengeluarkan berita palsu dan ucapan kebencian seperti yang dikatakan beliau di Bintulu pada Hari Malaysia?

Di Bintulu, Hadi telah membuat berita palsu dengan mengatakan DAP berhasrat untuk memberikan kuasa dan kekayaan negeri kepada orang Cina dan ucapan kebencian ini bertujuan untuk menyebarkan ketakutan, kerisauan, dan kebencian di kalangan orang Melayu dan Islam terhadap DAP, kononnya DAP merupakan pemimpin terbesar dalam Pakatan Harapan untuk memastikan “kekayaan hanya untuk orang Cina, bukan untuk semua; orang lain ditinggalkan di belakang” apabila tuduhan ini hanyalah penipuan semata-mata.

Adakah Hadi sedang cuba membalas dendam dan menfitnah DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam kerana DAP tidak menyokong cita-citanya untuk menjadi calon perdana menteri Pakatan Rakyat dalam tahun 2013?

Seperti yang saya dedahkan pada bulan Januari tahun ini, cubaan menjadikan Hadi sebagai calon perdana menteri Pakatan Rakyat adalah satu operasi yang sangat licik tanpa menyebut mana-mana nama langsung.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Hadi melalui pimpinan PAS telah mendekati saya untuk berbincang mengenai isu calon perdana menteri, mengatakan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah seorang calon yang sesuai.

Tindakan pimpinan PAS yang tidak mencalonkan Hadi, sebaliknya mencalonkan ahli politik veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah agak bijak.

Apabila DAP membantah and berpegang kepada pandangan kami yang Anwar patut terus menjadi calon perdana menteri Pakatan Rakyat dan kami tidak mencadangkan langsung supaya Hadi dipertimbangkan untuk menggantikan Anwar, pimpinan PAS dapat mengetahui yang DAP tidak akan menyokong Hadi sebagai calon perdana menteri dan tidak cuba lagi untuk menjayakan rancangan ini.

Apakah yang terjadi jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 dengan majoriti tipis, dengan PAS, jumlah ahli parlimen yang diperlukan untuk memilih di antara Anwar ataupun Datuk Seri Najib Razak boleh diteka oleh semua.

Saya telah katakan pada bulan Januari yang lepas yang Hadi tidak boleh dipercayai kerana mempunyai kekurangan sifat peribadi yang serius sebagai seorang pemimpin politik Malaysia, tidak seperti para pemimpin PAS yang lain seperti Fadzil Noor dan Nik Aziz.

Kerana inilah DAP boleh menerima Fadzil Noor dan Nik Aziz sebagai calon perdana menteri untuk Malaysia tetapi bukan Hadi Awang.

Perkara ini dapat dilihat dalam ucapan Hadi yang penuh kebencian di Bintulu, yang bertujuan untuk membolehkan PAS memasuki Sarawak, di mana seorang individu yang pernah bersyukur kepada DAP kini boleh berubah sepenuhnya sehingga sanggup menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian terhadap DAP.

Saya pasti arwah Fadzil Noor ataupun arwah Nik Aziz tidak akan melakukan perkara seperti itu.

PAS telah meletakkan 11 calon di Pilihan Raya Negeri Sarawak yang ke-11 pada tahun 2016 dan kesemua calon mereka telah kalah teruk dengan hampir 60 peratus calon mereka kehilangan deposit.

Saya puji Ketua Pemuda DAP Serian, Brolin Nicholsion, seorang Bidayuh, yang telah menegur tindakan Hadi di Bintulu yang boleh memecah belahkan negara dan tidak diterima di Sarawak.

Semalam, Hadi telah berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha beliau untuk menceburi politik negeri Sarawak.

Adakah fitnah beliau ini akan menjadi pembuka jalan untuk PAS berkerjasama dengan GPS di Sarawak, selepas bermuafakat dengan UMNO?

Hadi telah mengambil kesempatan kemenangan Barisan Nasional di Sarawak pada bulan Mei 2016 untuk mendapatkan persetujuan Perdana Menteri ketika itu untuk memberikan keutamaan kepada RUU Hudud beliau di Parlimen. Apakah taktik yang beliau cuba gunakan kali ini?

Brolin telah mengatakan yang Pakatan Harapan Sarawak telah bersetuju untuk memberikan jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada seorang Dayak jika PH membentuk kerajaan negeri Sarawak. Adakah Hadi bersetuju dengan pelantikan seorang Dayak sebagai Ketua Menteri Sarawak?

Mari saya ingatkan Hadi apa yang telah saya katakan selepas kekalahan DAP dalam PRN Sarawak 2016:

“DAP tidak boleh takut untuk kalah dalam pilihan raya kerana kita mesti belajar daripada kekalahan kita di pilihan raya negeri Sarawak semalam supaya kita boleh menjadi lebih kuat untuk berjuang demi keadilan, kebebasan, dan pemerkasaan manusia untuk semua rakyat Sarawak dan Malaysia.

“Ujian untuk satu pergerakan politik yang berteraskan idea keadilan, kebebasan, dan pemerkasaan manusia terletak kepada kebolehannya untuk tidak dileraikan oleh satu kekalahan, tetapi untuk bangkit semula dengan lebih kuat dan komited untuk memperjuangkan idea kita.

Saya tambah lagi:

“Masalah dalam perjuangan hidup bukanlah kejatuhan, tetapi kebolehan untuk bangkit semula selepas jatuh, tidak kiralah teruk mana pun kejatuhan itu, dan untuk terus berjuang demi keadilan, kebebasan, dan pemerkasaan manusia.

“Walaupun menghadapi kesukaran dan kekecewaan, DAP tidak akan terpesong daripada matlamatnya untuk memastikan semua calonnya daripada pelbagai latar belakang, Cina, Dayak, dan Melayu berjaya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“DAP telah berusaha selama 18 tahun untuk dipilih ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dan DAP Sarawak bersedia untuk perjalanan yang berliku bersama dengan rakyat Sarawak untuk mencapai matlamat seterusnya, untuk membentuk Kerajaan Negeri yang baharu di Sarawak yang akan memberikan keutamaan kepada keperluan dan hak rakyat Sarawak, bukan kroni kepada pihak yang berkuasa selama ini.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Rabu, 18 September 2019