Kenyataan Najib terhadap saya mahupun parti DAP adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan merupakan satu perbuatan fitnah jahat

Merujuk kepada kenyataan FB Dato Seri Najib bahawa ada laman web kononnya bergelar nama “Nga Kor Ming Super Fans Page” yang memuat kandungan palsu berkenaan dengan isu nama jalan bahasa Mandarin di negeri Selangor.

Saya mengulangi bahawa kenyataan Najib terhadap saya mahupun parti DAP adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan merupakan satu perbuatan fitnah jahat kerana Facebook posting tersebut jelas dimuat naik oleh pihak ketiga, iaitu page bernama “Yu Xi Wan Yak. “

Setelah carian dibuat atas talian, kini telah didapati terdapat sekurang-kurangnya dua “mirror page” yang sama bergelar kononnya “ Nga Kor Ming Super fans page”. Adalah jelas kandungan page-page palsu tersebut telah wujud sejak November, 2018 & Ogos 2019. Terbukti kini terdapat konspirasi politik jahat yang cuba mencemar nama baik saya mahupun parti DAP sehingga sanggup membuat fitnah kononnya saya cuba bangkit perasaan tidak puas hati terhadap DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Selangor. Ini adalah tohmahan yang tidak masuk akal & muslihat politik kotor yang menjijikkan.

Saya memandang serius fitnah jahat ini, oleh itu saya telah mengarahkan setiausaha Sulit kanan saya, Encik Tan Tiong Yih untuk membuat laporan polis di ibu pejabat polis Ipoh pada hari ini serta membekalkan bukti-bukti keterangan membongkarkan konspirasi jahat tersebut untuk membantu siasatan polis.

Satu laporan juga akan dibuat kepada SKMM. Tindakan undang-undang yang wajar juga akan diambil.

Saya nasihatkan pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti segera dengan kempen fitnah yang berdusta besar. Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh bersama kerajaan menolak perbuatan fitnah dan berita palsu yang sedang cuba merosakkan hubungan kaum dan ketenteraman negara kita yang tercinta ini.

Nga Kor Ming
PENGERUSI DAP PERAK
Kenyataan media oleh Nga Kor Ming di Ipoh pada hari Rabu, 2 Oktober 2019