Adakah empat universiti awam yang akan menganjurkan Kongres Maruah Melayu pada Ahad ini sudi untuk menganjurkan Kongres Maruah Cina Malaysia, Kongres India Malaysia, Kongres Maruah Kadazan, Kongres Maruah Dayak, Kongres Maruah Orang Asli dan paling penting Kongres Maruah Rakyat Malaysia?

Empat universiti awam, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menganjurkan Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati di Shah Alam pada Ahad ini.

Adakah empat universiti awam tersebut sudi mengadakan kongres yang sama untuk kaum-kaum lain di Malaysia, sebagai contoh; Kongres Maruah Cina Malaysia, Kongres Maruah India Malaysia, Kongres Maruah Kadazan, Kongres Maruah Dayak, Kongres Maruah Orang Asli, dan yang paling penting, Kongres Maruah Rakyat Malaysia?

Ini antara persoalan yang dibangkitkan rakyat Malaysia sebagai reaksi terhadap penganjuran Kongres Maruah Melayu pada Ahad nanti.

Maruah Malaysia akan terpelihara sekiranya maruah setiap kumpulan etnik dan agama di negara ini turut terpelihara — iaitu dengan berpegang teguh terhadap prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Adakah Kongres Maruah Melayu ini akan menegaskan semula prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, dan mengecam prinsip memecah-belah dan membinasakan yang bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, contohnya, pendirian yang mengatakan seseorang itu harus mengundi calon yang beragama Islam meskipun dia adalah seorang kleptokrat atau pendirian yang mengatakan orang Melayu hanya boleh menyokong calon yang beragama Islam!

Adakah Kongres Maruah Melayu ini akan merangka sebuah strategi untuk rakyat Malaysia membina sebuah keyakinan diri yang baharu untuk “mengapai bintang di langit”, sebuah semangat “Malaysia Boleh” yang baharu, bagi melenyapkan pelbagai momokan dan ketakutan yang diada-adakan, direka-reka serta tidak berasas, supaya Malaysia mampu meraih kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi manusia bagi mencapai zaman keemasan Malaysia?

Malaysia telah mengalami kegagalan, keaiban dan kezaliman yang tidak pernah berlaku sebelum ini setelah dikecam oleh dunia sebagai sebuah kleptokrasi global di mana Malaysia diletakkan di dalam kalangan kleptokrat utama dunia. Apakah sumbangan yang boleh dibuat oleh Kongres Maruah Melayu untuk menebus semula kehormatan, maruah, reputasi dan nama baik Malaysia, di dalam negara dan di arena antarabangsa?

Malaysia kini berada di kedudukan 61 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (TI) terkini. Sekiranya Malaysia mahu mengubah dirinya untuk menjadi sebuah negara yang berintegriti di dunia, ia sepatutnya memasang cita-cita untuk berada di antara 30 negara teratas dalam TI CPI 2030. Adakah Kongres Maruah Melayu akan menyokong objektif ini dan mempunyai sebarang idea tentang bagaimana Malaysia boleh mencapainya?

Penglibatan empat universiti awam dalam menganjurkan Kongres Maruah Melayu meletakkan pendidikan di barisan hadapan agenda tersebut. Apakah strategi yang dicadangkan penganjur untuk merevolusikan pendidikan bagi memastikan semua rakyat Malaysia menikmati pendidikan yang berkualiti, bukan sahaja untuk memastikan bahawa universiti-universiti Malaysia berada di kalangan universiti terkemuka di dunia tetapi murid-murid di sekolah di Malaysia juga berada dalam pendahulu satu pertiga dalam ujian antarabangsa untuk matematik dan sains bukannya diturunkan ke negara pendahulu satu pertiga di kedudukan di bawah.

Adakah Kongres Maruah Melayu menyokong visi Malaysia menjadi negara terkemuka bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan dan integriti?

Malaysia kini berada dalam keadaan di mana setiap komuniti, sama ada Melayu, Cina atau India, dibelenggu dengan rasa ketakutan, kesangsian dan kebencian sehingga mereka percaya mereka berdepan ancaman eksistensial terhadap hak, kedudukan dan masa depan di Malaysia.

Ini disebabkan oleh penyebaran ucapan kebencian dan berita palsu khususnya di media sosial bagi mengapi-apikan perpecahan dan permusuhan antara kaum dan agama di negara ini.

Adakah Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan pada Ahad ini akan memulakan kempen literasi media bagi menyahaktifkan bom jangka pembinaan negara yang hanya akan membawa bencana kepada keamanan, toleransi, harmoni dan kecemerlangan dalam sebuah Malaysia yang majmuk?

Adakah Kongres pada Ahad ini akan melahirkan garis masa dan visi untuk Malaysia menjadi contoh kejayaan Perikatan Peradaban di mata dunia dan bukan kegagalan kerana konflik peradaban, kerana Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat?

Saya berharap jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan ini boleh temui dalam Kongres Maruah Melayu pada Ahad ini.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Jumaat, 4 Oktober 2019