Dapatkah Kongres Maruah Melayu menjadi perintis kepada sebuah kempen untuk mencapai Era Kegemilangan untuk Malaysia sebagai sebuah negara terunggul di mata dunia yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti

Saya telah ditanya: “Kenapa takut Melayu Bersatu?”

Saya tidak takut kepada Melayu Bersatu, jika perkara ini boleh menjadi perintis kepada satu kempen yang melingkumi semua rakyat Malaysia untuk mencapai satu Era Kegemilangan untuk Malaysia.

Sama ada Melayu Bersatu, Cina Bersatu, India Bersatu, Kadazan Bersatu, Dayak Bersatu, ataupun Orang Asli Bersatu sekalipun, saya akan berasa risau jika ia diasaskan kepada berita palsu dan ucapan kebencian yang bertujuan untuk menghasut polarisasi perkauman dan keagamaan atau lebih buruk lagi, keganasan perkauman. Terutamanya apabila terdapat sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan politik yang dengan secara terbukanya menyatakan kenyataan seperti “Rindu 13 Mei! Rindu darah!”.

Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, sepatutnya berasa bimbang dengan peningkatan berita palsu dan ucapan kebencian sehingga terdapat satu artikel diterbitkan yang bertajuk: “Remembering Nik Aziz as nation drowns in polemics of race and religion”.

Salah satu tugas terpenting dalam pembinaan negara adalah menyelamatkan Malaysia daripada ditenggelamkan di dalam polemik perkauman dan keagamaan, dan seperti yang diperkatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang LawAsia, pemimpin politik perlu cuba untuk mengubah topik percakapan negara daripada kerangka perkauman dan keagamaan kepada satu fokus terhadap kebajikan rakyat terpinggir.

Bersama dengan ahli akademik dan profesional, Anwar menjelaskan yang perkara ini adalah satu cara untuk menuntut semula naratif daripada “pentaksub”.

Kerana inilah, kita semua patut merenung semula kenyataan bekas presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia, A Vaithilingam yang mengatakan bahawa arwah Nik Aziz Nik Mat pastinya akan terkejut dengan penyebaran kata-kata yang bersifat rasis dan anti-agama yang kini tersebar luas di ruang siber di Malaysia.

Kerana inilah kita semua sebagai rakyat Malaysia tidak boleh membenarkan pihak oportunis ini berjaya kerana mereka hanya mahukan situasi dalam dunia sebenar kita menjadi seperti yang digambarkan melalui berita palsu dan ucapan kebencian yang disebarkan di media sosial.

Vaithilingam juga berkata bahawa Nik Aziz tidak akan bersetuju dengan kerjasama PAS bersama Umno kerana beliau adalah pemimpin Islamik yang berpandangan jauh yang sedar akan realiti masyarakat majmuk Malaysia.

Negara ini seakan-akan kehilangan arah.

Lima hari yang lepas, Republik Rakyat China telah menyambut ulang-tahunnya yang ke-70.

Empat puluh tahun yang lepas, apabila orang Cina Malaysia melawat China, dia dapat merasakan yang dia datang daripada sebuah negara yang maju ke sebuah negara yang miskin dan terkebelakang. Hari ini, perkara sebaliknya yang berlaku — kerana lawatan daripada Malaysia ke China kelihatan seperti satu lawatan ke sebuah negara yang lebih membangun, maju, dan makmur.

Dalam tempoh reformasi ekonominya selama 40 tahun, Bank Dunia melaporkan yang China telah berjaya mengeluarkan 850 juta rakyatnya daripada kepompong kemiskinan sementara KDNKnya meningkat sebanyak 24 kali.

Bagaimana Malaysia apabila dibandingkan dengan China, yang tidak mempunyai Dasar Ekonomi Baharu?

KDNK per kapita Malaysia telah meningkat sebanyak 8 kali ganda dalam tempoh empat dekad yang lepas, sementara itu, Pelapor Khas Kemiskinan Ekstrem dan Hak Asasi Manusia PBB, Profesor Philip Alston menyatakan baru-baru ini yang Malaysia telah mengurangkira jumlah rakyatnya yang berada di bawah paras kemiskinan. Di mana kadar 0.4% ataupun 27000 isi rumah berada di bawah pendapatan garis kemiskinan adalah satu anggaran yang terlalu rendah.

Minggu lepas, terdapat laporan yang mengatakan Malaysia ketinggalan di belakang Vietnam, yang KDNK per kapita-nya meningkat 20 kali ganda dalam tempoh empat dekad yang lalu.

Kita tidak boleh terus menerus dibelenggu oleh isu-isu palsu yang ditimbulkan melalui berita palsu dan ucapan kebencian. Kita harus mara dengan berani ke arah satu Malaysia Baharu, yang berdaya saing dengan seluruh dunia dan bukannya terus menerus bergaduh sesama sendiri dan sekaligus membuktikan kepada dunia yang Malaysia adalah satu kejayaan pertemuan empat peradaban terhebat dunia — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — dan bukanlah satu kegagalan konflik peradaban.

Dapatkah Kongres Maruah Melayu menjadi perintis kepada sebuah kempen untuk mencapai Era Kegemilangan untuk Malaysia sebagai sebuah negara terunggul di mata dunia yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Sabtu, 5 Oktober 2019