Seruan untuk pembebasan segera Gunasekaran dan Saminathan serta lima yang lain yang ditahan kerana disyaki cuba untuk menghidupkan semula LTTE harus dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah supaya mereka mempunyai peluang untuk membela diri

Seperti yang ditegaskan oleh 16 Ahli Parlimen dan ADUN dari Pakatan Harapan dalam satu kenyataan bersama semalam berhubung penahanan dua ADUN DAP dan lima yang lain oleh pihak polis atas dakwaan mereka mempunyai kaitan dengan LTTE adalah di luar pemahaman, kerana LTTE sebagai sebuah gerakan pembebasan Tamil telahpun terhapus di Sri Lanka selepas berakhirnya perang saudara yang berlarutan selama 26 tahun pada tahun 2009, di mana ketua LTTE Vellupillai Prabhakaran terbunuh.

Lebih daripada 10 tahun sudah berlalu dan amatlah tidak masuk akal untuk membayangkan kebangkitan semula LTTE dari Malaysia, apatah lagi membabitkan pemimpin-pemimpin DAP.

Selama 53 tahun, DAP komited terhadap perjuangan politik yang aman dan demokratik dalam membawa perubahan, sekaligus menolak sebarang bentuk keganasan – apatah lagi terorisme.

Saya sendiri pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dihapuskan atas dakwaan menganggu-gugat keselamatan negara, dan amatlah penting, terutamanya sejak perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018 yang lalu, untuk strategi dan pemikiran polis berhubung soal perbezaan pendapat yang sah dan apa yang dimaksudkan sebagai ancaman kepada keselamatan negara, perlu melalui berubah dengan sewajarnya.

Ini antara sebab mengapa Pakatan Harapan berjanji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu untuk menghapuskan akta-akta yang menindas, terutamanya peruntukan yang bersifat drakonian dalam Akta SOSMA 2012.

Selagi perkara ini belum dilaksanakan, perlu wujud satu mekanisme semak dan imbang yang berkesan bagi memastikan semangat janji Pakatan Harapan untuk melahirkan sebuah Malaysia Baharu dihormati dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa menggunakan peruntukan bersifat drakonian dalam akta-akta yang menindas yang masih berkuat kuasa ini.

Justeru itu, P. Gunasekaran, Adun DAP Seremban Jaya; G. Saminathan, EXCO Melaka dan Adun Gadek dan lima yang lain yang ditahan kerana disyaki cuba untuk menghidupakan semula LTTE harus dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah supaya mereka mempunyai peluang untuk membela diri.

Parlimen telah membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Pihak polis harus hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas ini bagi menjelaskan, secara umum, bagaimana polis akan menjalankan tugasnya di bawah Kerajaan Pakatan Harapan selari dengan komitmen PH yang mahu mentadbir secara telus dan bertanggungjawab, khususnya dengan penahanan terbaharu ini, serta bagaimana pihak polis akan mematuhi komitmen PH untuk tidak menyalahgunakan kuasa mengikut peruntukan drakonian dalam akta-akta yang menindas sehingga ia dimansuhkan.

Saya yakin bahawa Gunasekaran dan Saminathan komited terhadap prinsip DAP yang berteraskan perjuangan demokratik, menolak sebarang bentuk keganasan atau terorisme.

Saya akan melawat keluarga Gunasekaran dan Saminathan di Seremban dan Melaka pada hari Ahad ini.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 11 Oktober 2019