Malaysia milik kita bersama

“Anak muda hendaklah memahami dan menghayati pentingnya faktor perpaduan, dan pentingnya setiap kaum menghargai dan menghormati kehadiran masing-masing, dan pentingnya mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menggores perasaan, menidakkan hak sesuatu kaum atau melanggar perkara-perkara asas yang telah dipersetujui semasa penggubalan Perlembagaan Merdeka.”

Demikianlah titah DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah beberapa bulan lepas kepada graduan Politeknik Ungku Omar.

Apabila Baginda Sultan Perak menitahkan supaya kita kekalkan keamanan, kerukunan dengan menjaga perasaan dan menjamin hak semua warga negara kita, ia amat menyedihkan apabila seorang ahli akademik yang bertugas di negeri pemerintahan Tuanku, menghasut kebencian terhadap warga negara bukan Melayu pada ucapannya waktu Kongres Maruah Melayu kelmarin.

Saya tidak sanggup menyebut namanya mahupun berulang hujahnya. Hanya hendak tegaskan dan tegakkan bahawa, bumi yang dipijak dan tanah tumpahnya darahku ini – Malaysia adalah tanah milik semua rakyat Malaysia.

Dengan hujahnya yang terpesong lagi memesongkan, pensyarah tersebut bukan sahaja meggoreskan hati anak Malaysia berketurunan bukan Melayu, malah ramai anak Melayu tersinggung. Kita marah kerana Identiti negara bangsa kita yang – mendapat kekuatan daripada kemajmukan kita- dicabuli atas nama pertahanan maruah.

Pensyarah itu harus sedar bahawa kebanyakan orang Melayu berperibadian dan bersikap Malaysia Majmuk dan tidak punya maruah dan hati kaca. Beliau telah membawa fitnah kepada orang Melayu kerana memberi gambaran seolah-olah maruah Melayu hanya boleh dipertahankan dengan memijak maruah bukan Melayu.

Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia, termasuk Datuk Lee Chong Wei, Dato’ Nicol David, Leong Mun Yee – tokoh-tokoh tahap lagenda sukan yang ratusan kali mengharumkan nama tanah air Kita ini di peringkat tertingga sukan masing masing. Mereka bukan melayu; bukankah bumi Malaysia ini tanah mereka juga?

Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia, termasuk Tan Sri Tony Fernandez yang telah merevolusikan industri penerbangan dan memarhaenkan pengangkutan udara, serta mewujudkan ribuan pekerjaan bagi rakyat Malaysia semua keturunan. Beliau bukan Melayu; bukankah bumi Malaysia ini tanah beliau juga?

Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia, termasuk Mantan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Toh Choon Siang yang bertempur melawan komunis di hutan Gunung Korbu di Perak dan berkhidmat dalam angkatan Tentera Malaysia selama 42 tahun. Beliau bukan melayu; bukankah bumi Malaysia ini tanah beliau juga?

Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia, termasuk 75.6 peratus daripada 2.6 juta rakyat Sarawak dan 2.5 juta daripada 3.5 juta penduduk Sabah yang bukan Melayu, yang sama-sama dengan orang Melayu Sabah dan Sarawak ‘memiliki’ lebih 60 peratus daripada keseluruhan keluasan Tanah Malaysia. Bukankah bumi Malaysia ini tanah air mereka juga?

Tun Dr Ismail, yang mewakili Malaya ke Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) sejurus selepas kita Merdeka, pernah melafazkan janji janji Bangsa kita kepada dunia sempena penyertaan baru Malaya dalam badan antarabangsa tersebut.

“Walaupun kekayaan harta dan taraf hidup kita boleh tahan sekiranya dibandingkan dengan banyak bangsa-bangsa lain di dunia sekarang, sebagai negara kecil, kekuatan asas kita tidak terletak pada perkara-perkara harta ini, tetapi ada pada keperibadian moral dan hasrat rakyat kita. Di Malaya, kita punya tiga kumpulan kaum utama: orang Melayu, Cina dan India, yang telah hidup bersama selama bertahun-tahun dalam keadaan aman dan harmoni.”

“Baik perbezaan agama dan latar belakang budaya, mahupun perbezaan status ekonomi dan sosial mereka, tidak menjadi halangan yang tidak dapat diatasi, ke arah perpaduan kebangsaan antara kaum-kaum ini. Hasrat kami adalah untuk memiliki hak dan nasib baik untuk hidup sebagai bangsa bebas, merdeka dan bersatu di kalangan bangsa-bangsa bebas di dunia. Capainya keinginan ini, melalui cara yang damai dan berperlembagaan, melalui rundingan yang mesra dan semangat kompromi, adalah hasil dari kekuatan moral yang merupakan fitrah dalam setiap tiga masyarakat kaum yang hidup dalam Malaya hari ini. “

Jelas, dalam janji Malaya kepada dunia tersebut, Negara kita didirikan bersama oleh dan terdiri daripada kumpulan kaum utama Melayu, Cina, India serta kaum-kaum minoriti. Adakah pensyarah UPSI itu lebih tahu tentang perlembagaan persekutuan kita daripada Tun Dr Ismail?

Kemudiannya, Malaysia didirikan bersama oleh dan terdiri daripada orang Malaya, Sabah dan Sarawak. Tiada penyertaan Sabah dan Sarawak, tidak wujudnya Malaysia. Adakah Sabah dan Sarawak juga merupakan tanah Melayu? Adakah pensyarah itu tidur terlampau lama dalam gua sehingga sanggup mencabuli sosial kontrak (perlembagaan persekutuan) menidakkan kepentingan dan kedudukan sah kaum bukan Melayu dan anak Negeri?

Saya cadangkan kepada pensyarah tersebut, teladanilah nasihat tersurat dan tersirat daripada yang orang Melayu ulung yang bermaruah yang juga berucap di kongres tersebut. Belajarlah daripada yang bermaruah bagaimana menegakkan maruah.

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Rencana oleh Howard Lee Chuan How di Ipoh pada hari Jumaat, 11 Oktober 2019