PAS harus berhenti bermain soal halal dan haram

Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan yang mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan parti DAP.

Cadangan ini amat menghairankan kerana datang daripada parti pembangkang yang mahu kerajaan mengharamkan parti komponen kerajaan sendiri. Malah cadangan ini berdasarkan kepada tuduhan yang tidak berasas. Bukan merujuk kepada agenda dan ideologi sesebuah parti tetapi hanya bermain persepsi. Gesaan dibuat semata-mata bersandarkan kes beberapa ahli parti yang belum dibuktikan bersalah oleh badan kehakiman dan kesilapan seorang individu yang bukan ahli parti. PAS melalui Timbalan Presidennya menuduh tanpa ‘tabayyun’ terlebih dahulu bukanlah sesuatu yang baru, akan tetapi logik yang diguna pakai beliau juga luar biasa anehnya.

Namun cadangan PAS ini tidaklah begitu mengejutkan kerana sememangnya sejak dari dahulu PAS sering menjadi Polis Halal dan Haram. Apabila sesuatu pihak dan situasi merugikan mereka, cepatlah mereka akan mengharamkan sesuatu perkara. Dan sekiranya menguntungkan, boleh menjadi halal. Misalnya tindakan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengaku berbohong suara dalam rakaman audio mengenai penerimaan wang dari UMNO itu bukan suaranya adalah atas permintaan dan keputusan parti. Berbohong boleh menjadi halal, masakan parti musuh tidak boleh dihukumkan haram.

Jelas pendirian haram mereka sentiasa berubah-rubah mengikut pemimpin mereka. Oleh itu sudah pasti pertimbangan PAS kali ini juga tidak lari daripada sekadar satu lagi drama politik mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Eloklah mereka berhenti daripada terus mempermainkan halal haram ini sebelum terpesong jauh dan mungkin memakan diri.

Pembatalan keabsahan bagi sesuatu parti politik haruslah bersandarkan kedaulatan undang-undang dan bukannya ikut selera ahli politik. Pengharaman parti politik di atas kemungkinan kesalahan individu adalah seperti membuang setandan pisang walaupun hanya sebiji dua sahaja yang busuk. Atau marahkan nyamuk kelambu dibakar. Ini kerana tiada sebab sesebuah organisasi itu harus diharamkan sekiranya agenda, pergerakan dan pengurusannya tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan. Agenda, pergerakan dan pengurusan parti DAP tidak pernah menyalahi atau bercanggahan dengan mana-mana undang-undang. Malah DAP sentiasa menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan tertinggi.

PAS seharusnya insaf, jika tiada lagi parti DAP nanti, siapa lagi PAS dan UMNO mahu jadikan modal untuk fitnah terutamanya melibatkan kaum dan agama? Saya harap PAS dan sekutunya UMNO tidak begitu terdesak untuk menjadi Kerajaan melalui pintu belakang, membelakangkan rakyat dan mendahului takdir tuhan.

Untuk sekian kali, saya ingin mengingatkan PAS bahawa parti DAP adalah masih parti yang sama dengan DAP yang suatu masa dahulu halal di mata PAS sewaktu di dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif. Yang berbeza kini hanyalah kompas moral PAS, bak peribahasa menyebut neraca palingan bungkal, sentiasa berubah-ubah.

Agenda DAP adalah berlandaskan Perlembagaan negara yang dijunjung sepanjang masa, bukan dijunjung hanya apabila bersesuaian dengan kepentingan sendiri. DAP tidak pernah menuduh Perlembagaan Persekutuan seperti mana yang Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang pernah sebut sebagai, “Perlembagaan penjajah, undang-undang kafir.”

Asas negara ini dibina atas kesederhanaan, perundingan dan tolak-ansur dan ini adalah prinsip yang dipegang DAP. Saya tidak pasti adakah ini juga pegangan PAS.

Edry Faizal Eddy Yusof
Ahli Jawatankuasa DAPSY & ADUN DUSUN TUA
Kenyataan media oleh Edry Faizal Eddy Yusof di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 27 Oktober 2019