Lantikan Terus TCSens Kontrak RM149 juta – Wee Jeck Seng sila jawab sebelum raih sokongan pengundi

Saya menyeru Wee Jeck Seng, calon pilihan BN dalam PRK Tanjung Piai untuk memberi penjelasan atas penglibatannya dalam isu kontrak VEP. Wee sebagai calon PRK wajar memberi penjelasan atas cara perolehan kontrak VEP oleh syarikat pegangannya sebelum meminta sokongan daripada pengundi.

Selaras dengan tindakan membuat laporan polis yang dilakukan oleh pengerusi dan setiausaha Bilik Gerakan PRK PH , saya menyeru Wee Jeck Seng untuk berterus terang dengan pegundi tentang kronologi isu VEP tersebut. Beliau menasihatkan Wee supaya jangan cuba berdolak dalik dalam menjawab isu tersebut dengan memberikan alasan seperti “bukan lagi pengarah syarikat tersebut”.

Menurut Laporan Audit 2017, Siri 2, Wee Jeck Seng memegang 25% saham syarikat TCsens. Pada tahun 2015, akaun bank syarikat tersebut hanya mempunyai RM 35.54. Namun demikian, syarikat tersebut tetap diberikan kontrak yang bernilai RM 149,450,000 secara lantikan terus.

Semasa kontrak lantikan terus tersebut dilakukan, Wee Jeck Seng merupakan Timbalan Setiausaha Agung MCA manakala Pengerusi MCA, Liow Tiong Lai pula memegang jawatan Menteri Pengangkutan pada masa itu. Mengapakah kontrak yang bernilai sebesar ini langsung tidak melalui proses tender terbuka? Apakah penjelasan Wee? Adakah Wee tidak mengenali Liow?

Fakta di hadapan kita adalah bahawasanya, Presiden MCA pada ketika itu yang menjawat Menteri Pengangkutan, telah melantik secara rundingan terus syarikat yang dimiliki oleh Timbalan Setiausaha Agong MCA sebuah Kontrak bernilai RM149 juta. Perkara ini wajib dijawab oleh Wee.

Penyelewengan tadbir urus oleh pentadbiran lepas dalam 10 tahun yang terdekat ini, merupakan punca utama kesengsaraan hidup rakyat. Isu VEP Wee Jeck Seng ini hanyalah sebahagian kecil daripada bencana tadbir urus tersebut. Pengundi haruslah berfikir wajar dan rasional. Pentadbiran yang korup seperti Barisan Nasional tidak harus diberikan lagi peluang untuk menyusahkan hidup rakyat.

Saya menyeru pengundi Tanjung Piai supaya melihat jelas keadaan politik yang sedia ada, dan mengundi kepada Pakatan Harapan yang memeluk budaya keterbukaan dan kemajmukan. Beliau menegaskan bahawa usaha Arwah Datuk Dr Md Farid Md Rafik, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri haruslah dipertahankan dengan memastikan calon PH menang dalam PRK ini.

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Kenyataan media oleh Howard Lee Chuan How di Tanjung Piai pada hari Rabu, 6 November 2019