Politik pembohongan, perkauman dan lidah bercabang Barisan Nasional

Dalam kempen pilihanraya kecil Tanjung Piai, Presiden MCA Wee Ka Siong menuduh DAP yang mempunyai 42 orang Ahli Parlimen lemah di Dewan Rakyat manakala pimpinan UMNO-PAS pula mendakwa DAP menguasai segala-galanya dalam kerajaan.

Inilah politik lapuk BN sejak ia berkuasa sehinggalah ia ditumbangkan oleh rakyat dalam PRU yang lalu. Kini politik kotor ini dimainkan bersama oleh MCA yang bersekongkol dengan PAS.

MCA yang telah lama berada dalam BN serta tidak berani menegur UMNO yang korup dan perkauman sejak dahulu, kini cuba memfitnah DAP juga berkelakuan seperti mereka.

Ini bermakna MCA mahu DAP menjadi parti juara satu kaum sahaja dalam Pakatan Harapan seperti mana peranannya dalam kerajaan BN dahulu. Melalui provokasi jahat sebegini, MCA dengan merasa diri pandai menuduh DAP berdiam diri seperti mereka dahulu jika DAP tidak mengikut telunjuk MCA untuk menjerit menjadi juara perkauman.

PAS-UMNO juga menggunakan taktik yang serupa untuk mendesak PPBM (Bersatu) menjadi juara satu kaum sahaja. Sekiranya pemimpin PPBM tidak tunduk dengan tekanan mereka, PAS-UMNO menuduh Bersatu tunduk kepada DAP.

Hakikatnya, semua parti komponen dalam Pakatan Harapan mempunyai perjuangan yang jauh lebih berprinsip berbanding Barisan Nasional. Memang Pakatan Harapan masih baru sebagai kerajaan dan ada sedikit-sebanyak kelemahan tetapi dari segi prinsip, ia adalah gabungan pelbagai kaum, dan bukannya juara kaum masing-masing.

Paling penting sekali, struktur Pakatan Harapan langsung tidak sama dengan struktur Barisan Nasional, iaitu dalam BN, hanya ada satu parti yang menjadi “taiko” menguasai semua parti lain. Kekuatan Harapan ialah perkongsian kuasa demi kemakmuran bersama untuk rakyat pelbagai kaum dan agama.

Prinsip Pakatan Harapan ialah membina masyarakat Malaysia yang berkongsi kemakmuran. Malaysia merupakan sebuah negara masyarakat majmuk kaya dengan pelbagai kebudayaan. Visi kita ialah rakyat Malaysia hidup bersama tanpa ada sesiapa yang akan dipinggirkan, tidak kira kaum dan agama.

Ini kerana kekuatan Malaysia ialah kemajmukan rakyat kita. Kita seharusnya meraikan kepelbagaian serta menolak sebarang provokasi berbentuk perkauman daripada Barisan Nasional.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pakatan Harapan tidak akan terperangkap dalam kerangka politik perkauman Barisan Nasional.

Kita tahu bahawa ada Ahli Parlimen UMNO menuduh Kerajaan Harapan berpihak kepada masyarakat Cina dalam soal peruntukan pendidikan Belanjawan 2020. Pada masa yang sama Senator MCA Ong Chong Swen menuduh Kerajaan Harapan berat sebelah kerana mengutamakan kaum Cina, khususnya apabila peruntukan lebih banyak diberikan kepada institusi pendidikan Bumiputera seperti MARA.

Saya yakin pengundi Tanjung Piai bijak untuk menilai dan memahami permainan politik BN tersebut.

Pilihan di depan kita adalah di antara calon Pakatan Harapan yang membawa perjuangan kemakmuran bersama, atau politik pembohongan, perkauman dan lidah bercabang BN.

Wong Shu Qi
Ahli Parlimen Kluang
Kenyataan media oleh Wong Shu Qi di Tanjung Piai pada hari Sabtu, 9 November 2019