PRK Tanjung Piai penentu hala tuju Malaysia

Semakin menghampiri hari mengundi bagi pilihanraya kecil Tanjung Piai, kita boleh simpulkan bahawa PRK ini akan diingati sebagai sesuatu yang paling memberi kesan dalam sejarah Malaysia.

Walaupun wujud pertandingan enam penjuru, pertembungannya adalah antara dua gabungan: Pakatan Harapan menghadapi Barisan Nasional-Muafakat Nasional.

Sejak PRU ke-14 pada Mei 2019, UMNO dan PAS terus menerus mencabar Pakatan Harapan dari lapangan politik identiti Melayu, manakala MCA pula menyerang dari sudut politik identiti bukan-Melayu.

Di lapangan politik Melayu, Pakatan Harapan digambarkan sebagai kerajaan yang tidak membela kepentingan Melayu, manakala di lapangan yang bukan-Melayu, ia didakwa tidak cukup mempertahankan kepentingan bukan-Melayu. Sentimen perkauman menjadi-jadi akibat dimainkan oleh pihak lawan.

Namun sambil kita menangani pilihan raya kecil di kerusi campuran seperti Tanjung Piai ini; UMNO, PAS dan MCA telah bergabung tenaga sebagai sebuah pasukan dengan harapan untuk menang, kerana hakikatnya tiada kumpulan etnik atau parti politik boleh menang secara sendirian tanpa rakan gabungan.

Saya tidak kisah menjadi orang paling awal mengakui bahawa Pakatan Harapan tidak sempurna. Saya akui kami sedang berusaha keras untuk tetap berada di jalan tengah, walaupun wujud begitu banyak provokasi daripada UMNO-PAS dan MCA dengan politik di jalan perkauman sempit.

Politik agama-kaum memberi definisi seseorang individu mengikut kumpulan etniknya. Oleh yang demikian, soal individu tidak timbul, sebaliknya semua orang dihukum berasaskan kaum. Kita mahu melihat sebuah Bangsa Malaysia yang baharu, di mana rasa empati, hormat dan belas-ihsan untuk setiap individu serta kumpulan etnik menjadi jalan ke hadapan untuk kita semua.

Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban; majoriti rakyat Malaysia inginkan keperibadian bermartabat sebagai warganegara dan turut merasa bimbang tentang isu-isu ekonomi – kos sara hidup, peluang pekerjaan, prospek perniagaan dan masa depan anak-anak kita.

Pakatan Harapan mementingkan kelangsungan hidup rakyat Malaysia – tentang peluang pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih baik, peluang perniagaan, dan pendidikan yang lebih berkualiti.

Masalah-masalah yang kita hadapi hari ini adalah disebabkan kelalaian bertahun lamanya. Contohnya, kos sara hidup bukannya baru sahaja meningkat dalam tempoh setahun setengah selepas Pakatan Harapan mengambil alih. Namun kerajaan sekarang berjaya mengawal keadaan. Berbeza dengan andaian ramai, kadar inflasi juga sebenarnya telah menurun.

Namun, kadar inflasi rendah ini tidak dirasai oleh semua, akibat kebekuan pendapatan selama hampir dua puluh tahun. Untuk bertahun lamanya, gaji tidak naik selaras dengan meningkatnya kos sara hidup. Jadi tidak kira betapa rendah pun kadar inflasi, ia tidak akan dirasai kerana gaji masih tidak mencukupi untuk ramai orang, bagi tempoh yang sangat lama. Ini adalah salah satu contoh pengabaian BN selama berdekad lampau, yang kini mereka cuba persalahkan sebagai kegagalan Pakatan Harapan.

Peluang pekerjaan juga berdepan situasi yang sama. Malaysia terus terperangkap dalam kitaran keadaan gaji rendah, kemahiran rendah dan produktiviti rendah. Untuk mengubahnya akan mengambil masa bertahun-tahun.

Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan segala janji dalam manifesto pilihan raya walaupun pembangkang terus menerus cuba menimbulkan sangkaan bahawa kita telah gagal.

Hakikatnya, Pakatan Harapan sedang bekerja keras untuk menunaikan segala janji dalam tempoh penggal lima tahun ini. Ianya tidak mudah berikutan kesan penyalahgunaan kuasa yang sudah begitu lama, selain korupsi dan pembaziran kerajaan terdahulu.

Untuk mencapai perubahan ini, Pakatan Harapan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau satu penggal yang lengkap untuk membina semula negara. Kami dalam proses untuk melaksanakan penambahbaikan institusi, biarpun perlahan, demi memastikan wujudnya sistem yang lebih baik untuk negara ini.

Kita boleh mulakan sekarang, dengan memilih calon Pakatan Harapan, Hj Karmaine Sardini, dalam PRK ini. Pilih keamanan, kestabilan dan kemajuan. Undilah Pakatan Harapan.

Pengerusi DAP Johor
Ucapan oleh Liew Chin Tong di Pekan Nanas pada hari Khamis, 14 November 2019