Kerajaan Negeri Johor tidak ada perancangan setakat ini untuk memperkenalkan cukai katil kepada pelancong yang menginap di hotel-hotel di Johor

Kerajaan Negeri Johor tidak ada perancangan setakat ini untuk memperkenalkan cukai katil kepada pelancong yang menginap di hotel-hotel di Johor.

Ini kerana sudah ada kutipan cukai pelancongan (tourism tax) RM10 yang dikenakan ke atas pelancong luar negara yang menginap satu malam bagi setiap bilik di hotel penginapan.

Pada 27 Mac 2019, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah mengagihkan 50% daripada kutipan cukai pelancongan tahun 2018 kepada kerajaan negeri masing-masing.

Oleh demikian, negeri Johor menerima sejumlah RM7.99 juta sebagai hasil baharu kerajaan negeri, Agihan 50% hasil kutipan cukai pelancongan ini adalah sebagai satu pemberian baharu kepada kerajaan negeri dikenali sebagai ‘pemberian pelancongan’.

Kerajaan negeri akan mempertimbangkan dan memperhalusi pengenalan cukai katil sekiranya ada keperluan.

Sepanjang tahun 2017, negeri Johor telah menerima kehadiran pelawat seramai 14.44 juta orang manakala jumlah pelancong bermalam pula adalah seramai 7.41 juta orang; tahun 2018 kehadiran pelawat adalah seramai 15.84 juta orang manakala jumlah pelancong bermalam pula adalah seramai 7.62 orang. Statistik ini menunjukkan peningkatan antara 3% hingga 5% secara purata setiap tahun.

Menerusi kempen Tahun Melawat Johor 2020, kerajaan negeri juga telah menetapkan sasaran kehadiran pelawat seramai 18.4 juta orang dan 8.4 juta orang pelancong bermalam di negeri ini pada tahun depan.

Maka dengan sasaran kehadiran pelawat dan pelancong tersebut, kerajaan negeri juga telah menetapkan sasaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM27.32 bilion sepanjang tahun 2020.

Liow Cai Tung
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor
Kenyataan media oleh Liow Cai Tung di Johor Bahru pada hari Isnin, 25 November 2019