Mengecam sekeras-kerasnya pihak Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia yang mengeluarkan kenyataan mengajak untuk mengulangi peristiwa 13 Mei 1969 jika Dong Zong meneruskan Kongres Pertubuhan Cina

Kami ingin mengecam sekeras-kerasnya pihak Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia yang mengeluarkan kenyataan mengajak untuk mengulangi peristiwa 13 Mei 1969 jika Dong Zong meneruskan Kongres Pertubuhan Cina.

Kami melihat bahawa kenyataan tersebut adalah satu bentuk ugutan dan hasutan yang boleh mengancam keharmonian negara. Hal ini menunjukkan pihak GAMIS tidak pernah menghargai keharmonian dan kesejahteraan Malaysia yang kita nikmati selama ini.

Adalah sangat menyedihkan juga apabila golongan muda dan mahasiswa terjebak mengikut jejak langkah politikus yang bersifat populisme dan suka memainkan sentimen perkauman demi kepentingan sendiri.

Pihak berkuasa perlu menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh GAMIS dan mengambil tindakan yang bersesuaian. Tindakan yang tegas harus diambil dan dijadikan sebagai satu amaran dan pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba menghasut dan mencetus kebencian antara satu sama lain untuk mengelakkan perpecahan kaum dan menjejaskan keharmonian negara.

Berdasarkan kenyataan yang diberikan, jelas sekali pihak GAMIS telah mengambil pendirian ke atas isu ini tanpa memahami konteks dan perkara secara keseluruhannya. GAMIS juga cuba untuk mengelirukan pihak awam dengan menggambarkan satu mesyuarat tertutup sebagai satu bentuk demonstrasi bantahan.

Mesyuarat tertutup yang akan diadakan pada 28hb adalah satu bentuk mesyuarat libaturus yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan NGO bagi mengumpul pendapat-pendapat daripada masyarakat sivil supaya dapat mencapai satu konsensus ke atas perlaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK(C) dan SJK(T).

Mesyuarat libaturus ini harus dipandang sebagai perbincangan normal di dalam masyarakat sivil dan tujuan ia dilakukan adalah untuk membantu mencari penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak.

Mesyuarat tertutup itu bukanlah satu demonstrasi bantahan. Mesyuarat tertutup itu juga bukan pertembungan antara Melayu dan Cina dan India. Mesyuarat tertutup ini tidak harus disalahtafsirkan sebegitu oleh mana-mana pihak.

Akhir sekali, kami mendesak agar pihak GAMIS menarik balik kenyataan mereka yang tidak bertanggungjawab ini dan memohon maaf secara terbuka kepada semua warga Malaysia.

Kami juga menyeru kerajaan Kementerian Pendidikan dan pihak berkepentingan di dalam hal perlaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK(C) dan SJK(T) dapat bertemu dan berdialog dengan segera supaya hal ini boleh diselesaikan dengan aman, rasional, tuntas dan berhemah.

Kenyataan bersama daripada:

1. Young Syefura Othman (ADUN Ketari)
2. Chow Yu Hui (ADUN Tras)
3. Lee Chin Chen (ADUN Bilut)
4. Kamache Doray Rajoo (ADUN Sabai)
5. Chiong Yoke Kong (ADUN Tanah Rata)
6. Woo Chee Wan (ADUN Mentakab)
7. Leong Yu Man (ADUN Triang)

ADUN DAP Pahang
Kenyataan media bersama oleh ADUN DAP Pahang pada hari Khamis, 26 Disember 2019