Kebebasan bersuara mahasiswa bukan untuk menggugat ketenteraman negara – PDRM dipohon siasat kenyataan GAMIS

Tahun lalu, pada tanggal 10 Disember 2018 sejarah tercipta apabila berlaku pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimana ia dipersetujui sebulat suara oleh Dewan Rakyat. Pindaan ini adalah bertujuan untuk memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar dalam bersuara dan berpolitik di dalam kampus.

Namun begitu, pemansuhan ini bukanlah lesen untuk persatuan mahasiswa seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) untuk melemparkan kenyataan dengan mengaitkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 terhadap mana-mana kaum dan pertubuhan. Seharusnya peristiwa tersebut menjadi iktibar, bukan digunakan sebagai alat untuk mengapi-apikan lagi sentimen perkauman.

Amat dikesali apabila GAMIS sengaja menggunakan tajuk provokatif untuk menarik minat orang ramai membaca kenyataan mereka. Walaupun ia tidak mengejutkan, tetapi sikap dan sifat begitulah yang membawa fitnah bahawa anak muda tidak layak dan mampu berpolitik secara matang kepada anak muda dan mahasiswa secara amnya. Tambahan lagi, pesanan tersurat dan tersirat mereka jelas berbaur hasutan lalu secara langsung menggugat ketenteraman negara.

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa, GAMIS sepatutnya lebih bersikap matang dan kritis. Pindaan AUKU 1971 telah memberikan mahasiswa seluas-luas ruang untuk bersuara, namun kebebasan tersebut sudah pasti disertakan dengan sikap tanggungjawab.

Peristiwa 13 Mei tidak pernah dan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. GAMIS boleh merujuk kembali pelbagai laporan rasmi kerajaan dan keratan-keratan akhbar yang tersimpan di Arkib Negara. Kehilangan nyawa dan kerosakkkan harta benda akibat peristiwa tersebut telah mencalar keharmonian antara kaum di negara kita.

GAMIS boleh sahaja untuk mengambil pendekatan yang lebih sederhana seperti yang dilakukan oleh ‘abang besar’ dalam gerakan Islam iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Baru-baru ini, ABIM bersama-sama Dong Zong telah berjaya menganjurkan Kem Muhibah. Seramai 76 pelajar dari latar belakang pendidikan dan kaum yang berbeza telah berjaya dikumpulkan di kem tersebut dengan tujuan mengatasi rasa kecurigaan antara kaum. Pendekatan sederhana seperti ini sudah tentu dapat melahirkan sifat empati tulen antara kaum.

Namun GAMIS memilih untuk diperangkap dalam naratif politik yang sempit yang hanya melihat dari satu sudut pandang sahaja. Kebebasan bersuara yang dinikmati oleh mahasiswa pada hari ini sepatutnya digunakan dengan hikmah dan bijaksana.

Sebagai sebuah badan mahasiswa, GAMIS perlu mengambil tanggungjawab atas kenyataan yang telah mereka lontarkan ini. Kebebasan bersuara ini sudah semestinya tertakluk kepada undang-undang negara. Saya berharap agar pihak polis menyiasat kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan seperti ini.

Kepada mahasiswa-mahasiswi seluruh pelusuk tanah air, ayuh kita hindari naratif sempit seperti ini. Kita buka ruang dan jalan dialog, berhujah dengan fakta dan bertukar-tukar pandangan. Malaysia ini negara kita semua, milik kita bersama.

Howard Lee Chuan How
KETUA DAPSY KEBANGSAAN & ADUN PASIR PINJI
Kenyataan media oleh Howard Lee Chuan How di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 26 Disember 2019