Status negara maju boleh dicapai jika rakyat bersatu padu

Tahun 2020, tahun yang istimewa. Sewaktu saya di bangku sekolah lagi Tahun 2020 telah menjadi satu penanda harapan. Tun Dr Mahathir yang juga merupakan Perdana Menteri ketika itu telah melancarkan Wawasan 2020 iaitu Malaysia mencapai tahap negara maju. Saya pernah menghafal cabaran-cabaran yang telah digarisksn untuk mencapai wawasan tersebut. Satu wawasan yang telah membina landasan ke arah status negara maju. Sasaran 30 tahun ini dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 1991ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam.

Hari ini adalah hari pertama, kita melangkah masuk ke tahun 2020. Malaysia, sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian dan perbezaan dari segi demografi dan antropologi, telah berjaya mencapai status negara membangun. Walaupun kita masih belum mencapai status negara maju, tetapi pencapaian negara dalam pelbagai sektor pembangunan adalah amat membanggakan. Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi sebuah negara maju. Tempoh untuk mencapai tahap itu ridak jauh daripada pandangan kita.

Jika setiap orang rakyat mempunyai visi yang sama, perkara ini tidak mustahil dicapai oleh negara kita. Tetapi, kebelakangan ini tetlalu banyak isu berkaitan dengan perkauman telah melanda di negara kita. Politik perkauman yang kotor telah menjadi lumtah dalam kehidupan harian kita. Media cetak dan media sosial begitu ghairah menyebarkan isu-isu perkauman sengaja mengungkitkan perasaan benci membenci antara kaum. Ahli-ahli politik pula seolah-olah akan ‘terhenti nafas’ jika tidak ‘main cucuk’ soal sentimen perkauman. Inilah politik Malaysia yang kita hadam setiap hari.

Apakah untungnya politik perkauman ini kepada negara? Sebenarnya politik perkauman ini hanya menguntungkan ahli politik dan parti-parti politik perkauman. Politik perkauman akan membinasaksn negara. Rakyat akan menderita. Politik perkauman ini tidak berbeza dengan dasar pecah dan perintah yang amat merugikan rakyat dan negara. Oleh yang demikian, isu semangat perkauman ini adalah bertentangan dengan semangat patriotisme. Sesiapa sahaja yang membangkitkan soal perkauman secara fanatik adalah tidak patriotik kepada tanahair ini.

Tahun 2020 akan membawa makna yang cukup besar kepada lembaran baru negara ini jika setiap orang rakyat sanggup menggugurkan semangat perkauman. Marilah kita sama-sama mengukir Malaysia bsru yang bebas daripada belenggu perkauman. Malaysia hanya boleh mencapai status negara maju jika rakyat bersatu padu, hidup secara harmoni, aman dan damai. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

V. Sivakumar
TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BATU GAJAH
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Majlis Count Down 2020’ Papan, Batu Gajah pada hari Rabu, 1 Januari 2020