Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menyiasat penglibatan syarikat perunding asing, Cambridge Analytica, dalam Pilihanraya Umum ke-14

Pendedahan dokumen dalaman syarikat perunding British, Cambridge Analytica (CA) telah menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut dalam kempen Pilihanraya Umum ke-14.

Syarikat tersebut kini telah ditutup kerana terlibat dalam skandal manipulasi pilihanraya negara lain serta penyalahgunaan data peribadi atas talian dalam operasi mereka.

Perkara ini perlu dipandang serius. Pihak berkuasa perlu menyiasat secara terperinci bagi mengenalpasti sejauh mana pengaruh pihak asing dalam menjejaskan pilihan raya negara kita serta sama ada wujud unsur khianat dan salahguna kuasa dalam operasi Cambridge Analytica di Malaysia.

Pada 3 Januari, bekas pegawai CA, iaitu Brittany Kaiser telah mendedahkan dokumen dalaman termasuk emel antara pegawai CA dengan wakil tempatan.

Pendedahan ini sebenarnya tidak memeranjatkan kerana perkara ini telahpun seringkali dibangkitkan oleh pihak pembangkang semasa BN masih berkuasa, iaitu Barisan Nasional menggunakan taktik kotor untuk memanipulasi keputusan pilihan raya negara kita.

Setelah skandal salahguna data peribadi oleh Cambridge Analytica terbongkar di Amerika Syarikat dan United Kingdom pada awal tahun 2018, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg dipanggil ke prosiding siasatan Kongres Amerika Syarikat. Akhirnya beliau telah meminta maaf atas salahguna data peribadi dalam Facebook dan pada Julai 2019, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (Federal Trade Commission) Amerika Syarikat telah mendenda Facebook sebanyak USD5 bilion.

Selain Kongres Amerika Syarikat, Cambridge Analytica turut disiasat oleh Parlimen UK.

Dalam prosiding siasatan di Parlimen kedua-dua negara tersebut, taktik yang digunakan oleh Cambridge Analytica Analytica telah dikenalpasti sebagai taktik peperangan psikologi. Taktik peperangan ini diguna untuk memghapuskan musuh negara. Justeru, pihak yang menggunakan perkhidmatan Cambridge Analytica untuk menang dalam pilihan raya adalah seumpama memerangi rakyat sendiri. Ini adalah satu manipulasi serius dalam sistem demokrasi kita.

Justeru, demi kedaulatan negara, keutuhan sistem demokrasi kita dan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia, saya menggesa Parlimen Malaysia segera menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menyiasat penglibatan Cambridge Analytica dalam PRU ke-14 atas arahan Barisan Nasional.

Wong Shu Qi
Ahli Parlimen Kluang
Kenyataan media oleh Wong Shu Qi di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 5 Januari 2020