Perutusan Sambutan Perayaan Ponggal oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Ponggal kepada seluruh masyarakat India di negeri ini khasnya dan rakyat Malaysia amnya. ‘Ponggal Nal Valthukal!’.

Belumpun selesai meraikan kedatangan Tahun Baru 2020, kini kita sudah bersedia untuk mengalu-alukan perayaan Ponggal, yang juga dikenali sebagai ‘Tamizhar Thirunaal’ iaitu amalan tradisi masyarakat India bagi meraikan hari menuai. Ketibaan bulan yang meriah dan penuh hikmah yang dikenali sebagai bulan ‘Thai’ dalam kalender Tamil menandakan tibanya perayaan ‘Ponggal’ iaitu simbol kepada suatu permulaan baru dalam kehidupan.

Setiap kali menyambut Hari Ponggal, masyarakat India akan meluahkan rasa kesyukuran atas rezeki serta kebaikan yang diperoleh serta memperbaharui azam untuk terus maju dalam kehidupan pada tahun-tahun yang akan datang. Ponggal dalam bahasa Tamil membawa erti melimpah-ruah. Bak simboliknya susu yang melimpah dari tempayan yang melambangkan kekayaan melimpah ruah, harap rezeki negeri Pulau Pinang bagi tahun 2020 juga bakal melimpah ruah apabila kita berusaha dengan gigih dan penuh ketekunan.

Di sini, saya juga ingin melahirkan kesyukuran kerana negeri Pulau Pinang telah berjaya mencapai pelbagai kemajuan sepanjang tahun 2019 yang mana membawa negeri kita ke tahap pertumbuhan yang lebih baik, sama ada dari segi budaya mahupun ekonomi. Semua kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa gandingan mantap dan kerjasama padu antara pemimpin dan rakyat di negeri ini.

Di bawah satu tonggak pemerintahan sama di peringkat negeri dan Pusat kini, ia memberi lebih peluang kepada Kerajaan Negeri menggunakan sumber serta kekuatan yang ada bagi membantu Pulau Pinang mencapai kemajuan yang lebih baik. Justeru, semua pihak seharusnya gunakan kebijaksanaan serta menjalinkan pertalian erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan hasil-hasil perlu membawa lebih limpahan kepada Pulau Pinang.

Pulau Pinang merupakan sebuah negeri matang dan sentiasa mendahului dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif, justeru saya menyeru semua pihak agar memberikan sepenuh usaha serta kerjasama bagi menyahut penanda prestasi yang telah digariskan dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang dua kali ganda lebih bersih, hijau, sihat, selamat dan gembira berbanding kini.

Malah, turut digariskan adalah beberapa tumpuan Kerajaan Negeri bagi tahun 2020 yang perlu dititikberatkan iaitu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP); digitalisasi Pulau Pinang; pelaburan; urus tadbir dan kewangan serta kesejahteraan yang menuntut pelbagai usaha dan perlu dilipatgandakan demi menjana kewangan mencukupi bagi membiayai serta merancakkan lagi pembangunan di Pulau Pinang demi dikongsi bersama-sama rakyat secara menyeluruh.

Sejajar dengan perayaan Ponggal yang menyeru untuk meninggalkan keburukan dan berusaha ke arah kemakmuran, adalah menjadi hasrat saya agar seluruh rakyat negeri ini sentiasa bersatu-padu, berganding bahu serta saling hormat-menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain. Sesungguhnya, keharmonian serta persefahaman yang dikecapi oleh rakyat ketika ini adalah sangat ternilai harganya dan kesinambungan ini wajib dipertahankan sampai bila-bila.

Pendirian sedemikian adalah amat penting pada masa kini demi memupuk kemajuan serta perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa. Sekiranya kita semua menggembleng tenaga dengan berasaskan prinsip kesederhanaan dan kebebasan, pastinya kita akan dapat menjamin kemakmuran serta keadilan yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Semoga dengan kehadiran bulan baru ‘Thai’ ini, Kerajaan Negeri dapat mencapai impiannya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang makmur dari segi ekonomi dan sosial, gembira serta harmoni selaras Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Semoga tahun ini turut menjadi tahun yang sejahtera dan makmur serta permulaan kepada Pulau Pinang yang lebih mampan dan berjaya.

Selamat Hari Ponggal dan ‘Ponggal Valtukkal’ kepada mereka yang berketurunan India di Pulau Pinang.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Sambutan Perayaan Ponggal oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Selasa, 14 Januari 2020