Tindakan penggantungan terhadap guru-guru yang tidak beretika harus dipandang serius dalam usaha membantu pelajar-pelajar yang mengalami kemurungan dan yang menunjukkan simtom-simtom cubaan membunuh diri

4 hari yang lepas seorang pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah aliran agama telah meluahkan perasaan sedih dan putus asa apabila apa yang dikongsi dengan guru kaunseling mengenai kemurungan (depresi) dan kebimbangan yang beliau alami diambil ringan, dan lebih teruk lagi apabila masalah dikongsi oleh guru kaunseling dengan tidak bertanggungjawab di kalangan guru-guru yang lain.

Pelajar yang kenali dengan nama Jah ini diberikan diagnosis mengidap depresi, kebimbangan dan gangguan dismorfik tubuh (body dysmorphic disorder) pada April tahun lepas dan sedang mendapat bantuan rawatan dari doktor psikiatri.

Saya memuji keberanian Jah untuk mendapat rawatan untuk masalah beliau memandangkan umur beliau yang muda. Beliau mencederakan diri beliau semasa di Tingkatan 4 dan telah berjumpa dengan guru kaunseling diatas nasihat rakan-rakan. Walau bagaimanapun, tidak disangka tempat mengadu Jah menjadi bahan perbualan dan beliau dihakimi tanpa simpati.

Sangatlah mendukacitakan apabila guru kaunseling telah mengkhianati amanah dan kepercayaan yang telah diberikan dengan menyebarkan masalah Jah dikalangan guru-guru dan pelajar yang lain.

Jah telah dimalukan dan diguris perasaannya apabila ustazah minta untuk dia membuat pengakuan bahawa beliau telah mencederakan dirinya.

Mengapa ustazah tersebut bertindak demikian? Sebagai seorang pendidik, tidakkah beliau tahu akan impak mendalam kepada seseorang pelajar yang mengalami kemurungan yang setiap hari berlaga dengan dirinya akan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Dimana perginya naluri pendidik untuk melindungi pelajar-pelajarnya yang seumpama anak-anaknya sendiri? Kata-kata dan tindakan ustazah tersebut seolah-olah seperti memberikan dorongan kepada Jah untuk terus mencederakan dirinya.

Insiden tersebut membuatkan rakan-rakannya menjauhkan diri daripadanya dan akhirnya beliau mengambil keputusan bertukar sekolah ke sekolah aliran biasa.

Adakah guru kaunseling yang bermulut tempayan tersebut, dan ustazah yang berhati batu itu diambil apa-apa tindakan disiplin atau tindakan undang-undang? Dimanakah keadilan buat Jah, dan ramai lagi pelajar yang mengalami masalah seperti Jah? Mengapa pelajar ini yang terguris emosinya, terpaksa bertukar sekolah walhal guru-guru yang tidak beretika ini tiada apa-apa tindakan?

Apakah mesej akan ingin disampaikan kepada pelajar-pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental jika kepercayaan mereka dikhianati seperti ini? Dimanakah lagi mereka akan mengadu jika bukan kepada guru atau ibubapa?

Saya menggesa pihak sekolah dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menetapkan satu polisi apabila berdepan dengan situasi guru-guru yang menyalahgunakan kedudukan istimewa sebagai pendidik masa depan negara dengan tidak beradab langsung dalam isu kesihatan mental pelajar-pelajar sekolah dalam membincangkannya secara terbuka yang akan membawa padah kepada keyakinan diri dan kawalan emosi mereka. Sekolah yang menutup isu-isu berkepentingan umum dan melindungi guru-guru yang tidak layak dipanggil pendidik ini wajib diambil tindakan juga.

Guru-guru seperti ini harus digantung dan diberikan kaunseling dan dipantau tindak-tanduk mereka supaya perkara ini tidak berlaku lagi.

Syabas saya ucapkan kepada adik Jah diatas keberanian beliau berdepan dengan masalah kesihatan mental beliau kepada dan semua pelajar yang mengalami masalah yang sama yang sedang menerima rawatan. Keberanian anda memberikan harapan kepada kami untuk terus memberikan kepentingan kepada kesihatan mental pelajar-pelajar di sekolah.

https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2020/01/11/guru-kaunseling-tak-amanah?fbclid=IwAR3LSjedPUgl4080OZL0sm1HHCrpDxIZ5h-QHHkYsLbAdK6gedryeNB8Sco

Kasthuri Patto
SETIAUSAHA ANTARABANGSA WANITA DAP, Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen bagi Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender & AHLI PARLIMEN BATU KAWAN
Kenyataan media oleh Kasthuri Patto di Batu Kawan pada hari Rabu, 15 Januari 2020