Perutusan Tahun Baru Cina oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Mewakili seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua yang berketurunan Cina di Negeri Pulau Pinang khasnya. Menelusuri sejarah, sambutan Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting bagi masyarakat Cina yang mana ia melambangkan titik permulaan dalam kehidupan masing-masing.

Mengikut kalendar masyarakat Cina yang terbahagi kepada 12 kitaran tahun, tahun 2020 merupakan tahun Tikus yang membawa pengertian serta tuahnya yang tersendiri. Sebagaimana signifikan sambutan Tahun Baru Cina yang disambut dengan penuh tradisi dan adat resam berteraskan nilai positif yang terjalin melalui elemen kekeluargaan sebagai wadah utama, adalah wajar dijadikan pegangan untuk merapatkan lagi ikatan ukhuwah serta silaturahim sedia ada antara satu sama lain secara menyeluruh.

Prinsip dan kepelbagaian agama serta budaya yang sering menjadi isu hangat masa kini perlu ditangani dan diuruskan sebaik mungkin bagi mengelakkan tercetusnya sebarang perkara yang tidak diingini. Justeru, semua pihak harus meneruskan perjuangan memikul amanat agar perpaduan serta kehidupan yang harmoni di Pulau Pinang terus terpelihara dan seterusnya dapat diwarisi serta dirasai oleh generasi masa hadapan. Umumnya, masyarakat yang harmoni dan bermuafakat di Pulau Pinang telah memberi asas yang kukuh kepada Kerajaan Negeri untuk terus memperjuangkan segala kebaikan dalam memenuhi keperluan serta kebajikan rakyat di negeri ini.

Di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, penekanan terhadap pembentukan, pemerkasaan dan pembekalan secara berterusan modal insan sentiasa dijadikan keutamaan. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap perkembangan pendidikan semua jenis aliran di Pulau Pinang. Justeru, berlandaskan prinsip ini, sebanyak RM12 juta diperuntukkan setiap tahun kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Cina Persendirian, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Tamil di negeri ini. Malah, pada tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyalurkan peruntukan RM5 juta bagi pembangunan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menenengah Kebangsaan (SMK). Lebih menggembirakan adalah Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah meluluskan pembinaan SJKC Tun Dr. Lim Chong Eu di Alma, Bukit Mertajam melalui sepucuk surat kepada pihak Kerajaan Negeri pada 10 Januari 2020.

Serentak itu, melalui Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan pengenalan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Kafe Sains Pulau Pinang (PSC), Tech Dome Pulau Pinang (TDP), Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) dan @CAT Penang yang telah didedahkan seawal usia kanak-kanak sehingga golongan belia, inisiatif program pembangunan modal insan ini telah berjaya memupuk keyakinan pelabur terhadap sumber tenaga buruh mahir mencukupi di Pulau Pinang. Saya percaya bahawa usaha menarik lebih ramai pelabur serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi tahun 2020 akan mengukuhkan lagi kemakmuran ekonomi rakyat serta keharmonian sesama kaum di negeri ini.

Sebagaimana ditekankan berhubung komitmen Kerajaan Negeri, tahun 2020 menyaksikan beberapa projek infrastruktur berskala besar bakal direalisasikan. Antaranya, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Pakej 2); projek pembinaan Kereta Api Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas – Komtar; projek Gurney Wharf dan diharapkan juga projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR) menunjukkan kemajuan. Meskipun masih ada projek di peringkat perjanjian dan pemberian tender, namun Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa Pulau Pinang berada di landasan kemajuan yang tepat dan setara dengan impian berasaskan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Sebagai tambahan, pengumuman lima (5) finalis Pertandingan Pelan Rekabentuk Induk (MDC) bagi projek Penang South Islands (PSI) pada 16 Januari lalu yang melibatkan peserta dari seluruh pelosok dunia turut meletakkan keyakinan kepada Kerajaan Negeri bahawa PSI merupakan inisiatif strategik yang menjadi pemangkin terhadap agenda sosial, ekonomi serta keterangkuman ke arah mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam jangka masa pendek dan panjang.

Melangkaui zaman serba moden ini, kepesatan teknologi maklumat yang selari dengan IR4.0 memberikan cabaran baru kepada semua sektor supaya melaksanakan transformasi digital dalam usaha untuk terus kekal berdaya saing sekaligus merancakkan lagi kemajuan landskap dunia moden. Kerajaan Negeri komited untuk terus memacu Pulau Pinang mengikut kesesuaian dan bersedia untuk terus menyelami transformasi digital demi memastikan 1.76 juta penduduk negeri ini dapat menikmati kehidupan yang berkualiti serta mampan. Ini termasuk perkhidmatan dompet elektronik (e-wallet) yang menjadi trend masa kini telah memberikan pengalaman baru, bukan sahaja kepada pengguna dan pengendali hotel serta restoran berskala besar tetapi juga melibatkan penjaja tempatan dan peniaga kecil-kecilan. Kerajaan Negeri berharap inovasi ini mampu membantu industri perniagaan terus kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran semasa.

Melalui komitmen, kesungguhan dan kesepaduan antara rakyat dan pemimpin, Pulau Pinang mampu membuktikan prestasi yang jauh lebih cemerlang berbanding pentadbiran sebelum ini. Oleh itu, adalah tidak mustahil untuk kita semua meneruskan tradisi kegemilangan ini pada masa akan datang demi Pulau Pinang yang dua kali ganda lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Dalam memacu ke arah kemajuan ini, sekali lagi saya menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang supaya meletakkan semangat perpaduan sebagai latar belakang dan panduan dalam semua aspek tindakan kehidupan kita. Ayuh, marilah kita bersama-sama menghargai nilai perpaduan serta keharmonian yang telah kita peroleh sejak merdeka! Jangan sesekali kita memperlekehkan nilainya sehingga kita kehilangannya.

Selamat Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Tahun Baru Cina oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Khamis, 23 Januari 2020