UiTM patut memecat bekas KPN Musa Hassan daripada jawatan pensyarahnya di Pusat Pengajian Media dan Peperangan Maklumat (CMIWS) yang kini telah menjadi “ikon” penipuan, berita palsu dan ucapan kebencian

UiTM patut memecat bekas KPN Musa Hassan daripada jawatan pensyarahnya di Pusat Pengajian Media dan Peperangan Maklumat (CMIWS) jika Pusat Pengajian ini beraspirasi untuk menjadi pusat kajian terulung memandangkan beliau kini telah menjadi “ikon” penipuan, berita palsu dan ucapan kebencian.

Oktober lalu, Musa telah memalukan dirinya apabila beliau memperlihatkan kepada seluruh dunia yang beliau tidak tahu bahawa laman web The Onion adalah laman web berita satira apabila beliau mempertahankan komentarnya terhadap artikel lama The Onion pengganas Osama Bin Laden dan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), yang berjudul “CIA Memohon Maaf kepada Osama Bin Laden Selepas Kemunculan Bukti-bukti Baru Menafikan Penglibatan Beliau Dalam Serangan 9/11”.

Baru-baru ini, Musa sekali lagi memperbodohkan dirinya dengan cubaan untuk meracuni minda anak muda Malaysia dengan mendakwa bahawa DAP mempunyai agenda untuk menulis semula sejarah dengan membawa ideologi komunis.

Dengan berbuat demikian, Musa seakan-akan menunjukkan yang Cawangan Khas (Special Branch) PDRM sebagai satu bahagian yang tidak berguna dan tidak cekap, walaupun pada hakikatnya Cawangan Khas PDRM adalah salah satu yang terbaik di dunia.

Sepanjang lima dekad yang lalu, Cawangan Khas PDRM tidak pernah menemui sebarang hubungan di antara DAP dengan pergerakan komunis, tetapi Musa, yang merupakan IGP kelapan dari 2006 hingga 2010, kini mendakwa bahawa DAP mahu menghidupkan semula ideologi komunis!

Adakah Musa cuba mengatakan yang pihak Polis patut menahan Menteri-Menteri, Timbalan Menteri dan Anggota Parlimen DAP yang kononnya sedang mencuba untuk “menghidupkan semula ideologi komunis”, sedangkan perkara ini langsung tidak berasas dan tidak benar dan hanyalah khayalan Musa?

CIMWS UiTM sepatutnya menjadi salah satu agensi yang berada di barisan hadapan untuk mempromosikan kecelikan media di Malaysia dalam persekitaran masa kini — yang berhadapan dengan peningkatan penipuan, berita palsu dan ucapan kebencian yang bertujuan untuk menghasut kebencian dan konflik antara kaum dan antara agama di Malaysia — bagi membolehkan semua rakyat Malaysia membezakan kebenaran dalam lautan penipuan dan fitnah.

Dr Nuurrianti Jallin, seorang felo CIMWS, dalam artikelnya dalam satu penerbitan media tempatan hari ini mencadangkan penubuhan sebuah agensi pemeriksa fakta untuk melawan kecelaruan maklumat dalam masyarakat kita. Tetapi CIMWS akan menghadapi kesukaran untuk mempertahankan kredibilitinya dalam memainkan peranan untuk mempromosikan kecelikan media di Malaysia sedangkan pensyarah utama pusat kajian itu adalah “ikon” untuk penipuan, berita palsu dan ucapan kebencian?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 2 Februari 2020