Perutusan Sambutan Perayaan Thaipusam oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Diraikan pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil, Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia sebagai tanda kemenangan kebaikan atas kejahatan serta kesedaran terhadap kebijaksanaan dan pengetahuan.

Di Pulau Pinang, Thaipusam merupakan salah satu sambutan paling penting dan lazimnya disambut secara besar-besaran oleh para penganut dengan lokasi tumpuan sudah tentunya di Kuil Hilltop Murugan, Jalan Kebun Bunga. Bukan sekadar upacara keagamaan, perayaan ini turut menjadi platform dan tarikan utama kepada pelancong tempatan serta antarabangsa untuk turut merasai keunikan dan kemeriahan perayaan yang penuh tradisi ini.

Perayaan Thaipusam adalah manifestasi kepada kebebasan beragama, kepelbagaian budaya dan adat resam serta memperlihatkan nilai perpaduan, toleransi, persefahaman dan lambang keterbukaan yang wujud dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini, selaras dengan falsafah pentadbiran Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip keadilan dan kesederhanaan, yang menjadi tonggak kepada keharmonian serta kesejahteraan rakyat.

Melalui pendekatan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri komited memastikan segala perancangan dan pembangunan negeri diselaraskan mengikut kesesuaian demi kelangsungan, kualiti kehidupan dan persekitaran fizikal rakyat yang lebih baik. Wawasan pembangunan masa depan Pulau Pinang menjelang tahun 2030 akan menjadi agenda terbaik tanpa sebarang pengecualian terhadap setiap lapisan masyarakat.

Dalam usaha untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini, pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) bagi melaksanakan pelbagai projek khas seperti keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Menerusi HEB juga, tanah-tanah perkuburan Hindu turut dipulihkan serta diguna pakai secara baik untuk keselesaan para penganut. Malah, sejak ditubuhkan, HEB telah memberi bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sebagai rekod, pada tahun 2019, HEB telah menyumbang sebanyak RM345,626.13 kepada 109 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di peringkat sijil, diploma serta ijazah yang mana 80 peratus daripadanya adalah membabitkan penuntut dalam bidang kemahiran serta teknikal.

Serentak itu, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Manakala bagi tadika di sekolah Tamil pula, peruntukan telah dinaikkan daripada RM100,000.00 kepada RM150,000.00; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000.00 kepada RM150,000.00) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000.00 kepada RM90,000.00). Turut tersenarai adalah sumbangan berjumlah RM200,000.00 kepada Kuil Arulmigu Balathandayuthapani Devasthanam atau ‘Waterfall Hilltop Temple’ sempena perayaan Thaipusam setiap tahun.

Sebagaimana ditekankan sebelum ini, bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri bakal menumpukan terhadap pelaksanaan projek-projek berskala besar serta program-program untuk rakyat mengikut 16 inisiatif strategik dalam Visi Penang2030. Secara keseluruhan, pembangunan projek-projek ini penting untuk dikecapi oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini dan adalah menjadi peranan Kerajaan Negeri bagi memastikan semua hasilnya dikongsi bersama. Malah, sebagai komitmen berterusan, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan dan telus bagi memastikan setiap projek atau pembangunan yang dirancang berjaya. Bagi memastikan setiap projek ataupun dasar itu berjaya, semuanya memerlukan sokongan, kefahaman dan penglibatan masyarakat keseluruhannya. Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang dilantik adalah komited menjalinkan kerjasama erat dengan semua pihak bagi memastikan projek yang dilaksana mendapat sokongan, persetujuan serta penglibatan rakyat secara menyeluruh.

Di sini, saya ingin terus menyeru seluruh rakyat berbilang etnik di negeri ini supaya menguatkan lagi muafakat bersama dengan menolak politik perkauman yang cuba disemarakkan oleh pihak-pihak tertentu kebelakangan ini. Diharapkan rakyat di semua peringkat adalah lebih matang dan jangan sesekali terpengaruh dengan permainan politik perkauman yang bukan hanya bakal menjejaskan keharmonian tetapi juga jalinan persefahaman yang sedia terjalin.

Umumnya, sebagai kerajaan kita perlu berani menghadapi pandangan atau reaksi rakyat supaya kita dapat mengambil tindakan bagi penambahbaikan terhadap segala kelemahan dalam keputusan telah dibuat. Malah, kita juga perlu berani berdepan dengan pandangan serta reaksi rakyat dalam apa jua keputusan yang dilakukan. Justeru, kita sebagai kerajaan dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri mempunyai banyak kerja untuk dilakukan kerana kita menjadi kerajaan adalah disebabkan sokongan dan keputusan yang dibuat oleh rakyat serta para pengundi. Kita perlu berusaha dengan lebih gigih bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri khususnya dalam memahami keperluan rakyat, mengotakan janji-janji yang dibuat serta membawa dasar-dasar yang boleh memanfaatkan semua pihak.

Bersempena sambutan penuh bermakna ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Thaipusam kepada seluruh masyarakat India yang beragama Hindu khususnya di Pulau Pinang. Marilah kita bersama-sama menyambutnya dengan penuh semangat Thaipusam serta membangunkan sebuah bangsa dan negeri yang lebih mampan demi kemakmuran serta kesejahteraan masa hadapan.

Selamat Menyambut Thaipusam! Vel! Vel!

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Perutusan Sambutan Perayaan Thaipusam oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Jumaat, 7 Februari 2020