Kerajaan perlu mengedarkan 10 juta topeng muka yang diberikan oleh kerajaan China kepada rakyat Malaysia secara percuma dengan memberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan yang sedang memerangi wabak Covid-19

Kerajaan perlu mengedarkan 10 juta topeng muka yang diberikan oleh kerajaan China kepada rakyat Malaysia secara percuma dengan memberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan yang sedang memerangi wabak Covid-19

Selepas diedarkan kepada petugas barisan hadapan, iaitu mereka yang mengendalikan kes-kes Covid-19, pihak klinik, Kementerian Kesihatan, anggota polis, tentera, dan pegawai imigresen, baki topeng muka ini haruslah dibahagikan sama rata kepada semua rakyat Malaysia melalui pejabat ahli parlimen tanpa mengira parti politik.

Dalam memerangi wabak ini, kita perlu bertindak sebagai satu negara, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun latar belakang politik.

Dengan pengedaran topeng muka secara percuma ini kepada rakyat Malaysia, kejadian di mana orang awam diarahkan pulang daripada jabatan kerajaan kerana tidak memakai topeng muka tidak patut lagi berlaku.

Perkembangan global mengenai wabak ini terus menjadi semakin suram dan pada masa yang sama menimbulkan persoalan sama ada Malaysia dan dunia bersedia untuk menghadapi penularan di peringkat yang lebih teruk yang akan mendatang.

Di peringkat antarabangsa lebih daripada 300,000 kes yang disahkan telahpun dilaporkan, dan kes-kes ini hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar kes. Dengan korban nyawa terkini yang telah mencecah paras 13,000 nyawa, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyatakan yang satu kemelesetan global pada skala yang tidak pernah dilihat sedang menghampiri kita.

Namun begitu, selain daripada di China, terdapat kekurangan yang ketara untuk suatu “tindakan polisi yang terancang, tegas, dan dikoordinasi dengan baik” daripada negara-negara yang Guterres jangkakan bakal menghadapi kemelesetan ini.

Semalam Itali telah melaporkan 793 kematian baharu, rekod tertinggi kematian dalam masa sehari yang telah meningkatkan jumlah korban keseluruhan negara tersebut kepada 4,825 nyawa ataupun 38.3 peratus jumlah kematian yang direkodkan di seluruh dunia.

Negara Mediterranian yang mempunyai penduduk seramai 60 juta itu telah mengatasi kedudukan China sebagai tumpuan global dalam penyebaran Covid-19 pada hari Khamis lepas.

Itali kemudiannya melaporkan 1,420 kematian baharu pada hari Jumaat dan Sabtu yang meningkatkan jumlah kematian keseluruhan di negara tersebut kepada satu paras yang lebih tinggi daripada jumlah yang dilaporkan oleh China dan Iran.

Kadar jangkitan di Itali meningkat daripada 6,557 kes kepada 53,578 kes. Jumlah kematian di daerah Lombardy sekitar Milan adalah 3,095 kematian dengan 25,515 kes positif.

Angka yang tidak menyenangkan di Itali ini menunjukkan yang wabak ini mampu mengatasi pelbagai langkah pengasingan dan penjarakkan sosial yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Itali dan wabak ini kekal tidak dapat dibendung sekaligus membawa kepada kegagalan sistem kesihatan sedia ada, terutamanya di bahagian selatan negara tersebut.

Adakah Malaysia akan mengikut langkah Itali, ataupun China, yang kini melaporkan tidak sebarang kes-kes jangkitan baharu tempatan untuk tiga hari berturut walaupun negara tersebut masih menghadapi peningkatan ketara kes Covid-19 daripada luar negara?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 22 Mac 2020