Kerajaan harus mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu para pekerja dan perniagaan seperti rancangan kerajaan UK untuk menanggung sehingga 80% gaji pekerja dalam menghadapi wabak Covid-19

Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu para pekerja dan perniagaan dalam menghadapi bencana yang diakibatkan oleh wabak Covid-19, seperti langkah yang diambil oleh Kerajaan UK yang merancang untuk menanggung sehingga 80% kos saraan pekerja.

Menteri Kewangan United Kingdom, Rishi Sunak telah berikrar untuk “membuat apa sahaja yang diperlukan” untuk menyelamatkan pekerjaan dan sumber pendapatan rakyat yang terkesan akibat daripada wabak coronavirus semasa beliau membentangkan pelan sokongan punca pendapatan dalam pakej ransangan Covid-19 beliau.

Beliau mengumumkan yang kerajaan UK akan menanggung sehingga 80 peratus gaji pekerja yang tidak bekerja, sehingga ke jumlah maksima 2,500 pound sterling sebulan.

Sunak mengatakan yang kerajaan akan membantu dan memastikan gaji para pekerja dibayar buat kali pertama dalam sejarah negara itu, sebagai sebahagian daripada Skim Pengekalan Pekerjaan yang terbuka kepada semua majikan dalam negara tersebut.

Selain daripada di China, wabak Covid-19 sedang tersebar dengan pantas di seluruh dunia, mencapai rekod baharu dalam 24 jam yang lepas dengan 30,000 kes baharu dan lebih daripada 13,000 kematian direkodkan.

Itali, Jerman, Amerika Syarikat, Sepanyol, Perancis, Switzerland, United Kingdom, dan Iran sedang bergerak dalam satu trajektori yang meningkat, dengan jumlah kes di Itali merekodkan peningkatan sebanyak 6,557 kes hanya dalam 24 jam yang lepas yang membawa kepada 53,578 kes secara keseluruhan di negara itu. Manakala Sepanyol telah merekodkan 3,986 kes baharu yang meningkatkan jumlah kes kepada 25,496 kes; Amerika Syarikah merekodkan 4,682 kes baharu, meningkatkan jumlah kes kepada 24,180 kes; Jerman merekodkan 3,204 kes baharu, meningkatkan jumlah kes kepada 22,364; dan Perancis merekodkan 1,847 kes baharu yang membawa jumlah kes di negara itu ke paras 14,459 kes.

Perkara yang pastinya menggusarkan rakyat Malaysia adalah kedudukan negara kita di tangga ke-23 dalam kategori peningkatan kes baharu dengan 153 kes direkodkan setakat semalam, mendahului China yang hanya merekodkan 46 kes baharu.

Malaysia juga berada di tangga ke-20 dalam kategori jumlah kes secara keseluruhan dengan 1,183 kes setakat semalam.

Terdapat kegusaran dalam kalangan rakyat yang wabak ini belum lagi mencapai kemuncaknya dan sama ada Malaysia bersedia untuk menghadapinya.

Oleh sebab itu, kesemua rakyat Malaysia haruslah bekerjasama dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19 ini dan dalam usaha “meratakan lengkungan” penyebaran virus dengan memastikan kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan melalui usaha untuk kekal berada di rumah masing-masing sehingga 31 Mac.

Melihat keruntuhan sistem kesihatan di utara negara Itali adalah satu perkara yang sangat menyayat hati, di mana para petugas kesihatan terpaksa mengorbankan kesihatan dan nyawa mereka dalam usaha untuk membendung penyebaran wabak ini. Sembilan peratus daripada mangsa Covid-19 di Itali terdiri daripada para petugas kesihatan.

Rakyat Malaysia wajib memberikan kerjasama dalam usaha ini bagi membantu usaha para petugas barisan hadapan — yang terdiri daripada doktor, jururawat, dan ahli farmasi yang menguruskan kes-kes Covid-19, klinik, Kementerian Kesihatan, anggota polis, imigresen, dan tentera — dengan mematuhi arahan PKP dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan dengan pendedahan kepada Covid-19 daripada petugas kesihatan.

Satu laporan mengenai keruntuhan sistem kesihatan di Itali melaporkan keadaan menyayat hati di hospital yang seperti berikut:

“Dengan hampir 70% katil unit jagaan rapi (ICU) dikhaskan untuk pesakit kritikal Covid-19, katil-katil ICU ini hanya diberikan kepada mereka “yang mempunyai kemungkinan untuk kekal hidup”, kerana doktor perlu melakukan pilihan dalam kalangan para pesakit dan memilih mereka yang mempunyai peluang yang tinggi untuk kekal hidup.

“Para pesakit tua tidak diselamatkan dan mati keseorangan tanpa sebarang jagaan akhir hayat, sementara waris hanya diberitahu mengenai kematian melalui telefon, kebiasaannya oleh doktor yang berniat baik, tetapi kepenatan dari segi fizikal dan emosi, yang tidak dikenali.”

Dalam beberapa hari yang lepas, sejumlah 40,000 petugas kesihatan daripada pelbagai kawasan di China telah dihantar pulang dengan penuh penghormatan dan diterima pulang oleh daerah mereka sebagai perwira.

Sudahkah rakyat Malaysia mempelajari sedikit sebanyak daripada Itali dan China?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media (2) oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 22 Mac 2020