Muhyiddin perlu memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet untuk mengubah cadangannya untuk membenarkan pengeluaran awal simpanan KWSP kepada pemberian bantuan wang tunai daripada rizab kerajaan

Cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan yang akan datang bermula daripada 1 April adalah satu cadangan yang mengecewakan kerana ia bukanlah satu cadangan yang baik untuk membantu para pekerja yang terjejas dengan Covid-19.

Kerana itulah beliau telah menerima kritikan dari semua pihak.

Perdana Menteri perlu memanggil satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet untuk mengubah cadangannya untuk membenarkan pengeluaran awal simpanan KWSP bagi membantu para pekerja dalam menghadapi bencana Covid 19. Sebaliknya beliau harus mengumumkan — melalui satu siaran langsung hari ini — kesediaan kerajaan untuk menyediakan bantuan sokongan wang tunai daripada rizab kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas

Saya bersetuju dengan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan sepatutnya menggunakan rizab negara ataupun meningkatkan hasil sumbangan daripada industri minyak dan gas negara melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan bukannya dengan menggunakan dana di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membantu mereka yang memerlukan.

Kerajaan harus memberi pertimbangan serius terhadap cadangan sekretariat Pakatan Harapan supaya dana kecemasan diedarkan kepada penerima BSH, bermula dengan bayaran RM1,000 untuk bulan Mac dan sekali lagi untuk bulan April.

Kerajaan perlu menggunakan rizabnya untuk membiayai cadangan ini, yang akan menelan kos kira-kira RM8.2 bilion.

Majlis Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menghentam cadangan Muhyiddin untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan akan datang mulai 1 April sebagai satu langkah yang terkebelakang yang hanya akan mengurangkan simpanan jangka panjang pencarum KWSP.

Semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung MTUC, J Solomon yang mengadu pada ketika MTUC memohon kerajaan untuk menyuntik dana bagi membantu jutaan pekerja di negara ini yang secara langsung terjejas dengan kemusnahan yang disebabkan wabak Covid-19, kerajaan sebaliknya menyuruh rakyat untuk menggunakan simpanan hari tua mereka.

Ini adalah satu lagi kesilapan Muhyiddin, jemaah menteri dan penasihat tertinggi beliau dan mereka harus kembali ke meja perbincangan untuk merancang satu pakej rangsangan kewangan yang benar-benar dapat membantu para pekerja dan direka untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan dan pekerjaan.

Adalah teramat penting untuk pihak kerajaan bertindak dengan profesionalisme, kecekapan dan ketangkasan dalam mengemukakan cadangan yang sesuai dan berpatutan bagi membantu semua sektor di Malaysia yang terjejas dengan krisis Covid-19 ini, memandangkan peningkatan 212 kes baharu Covid-19 dalam 24 jam yang lepas — peningkatan harian tertinggi sejak permulaan penyebaran wabak ini pada akhir Januari — menunjukkan bahawa kita belum lagi mencapai kemuncak wabak Covid-19 atau sebarang petanda yang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan pada 31 Mac.

Ramai rakyat Malaysia masih tidak menyedari sepenuhnya tentang sebab dan tujuan PKP dan mengapa perlunya ada penjarakan sosial. Saya harap dua contoh yang berikut akan membantu untuk memujuk lebih ramai rakyat Malaysia untuk kekal di rumah.

Pertama, terdapat video di media sosial mengenai Pesakit #31 di Korea Selatan, seorang wanita berusia 35 tahun yang tidak mempunyai sebarang simptom tetapi telah menyebabkan kira-kira 1,200 kes Covid-19 daripada sejumlah 8,961 kes yang disahkan di Korea Selatan — menunjukkan kepentingan penjarakan sosial untuk memecahkan rangkaian jangkitan virus Covid-19.

Kedua, semalam Greece telah mengenakan sekatan ke atas pergerakan dengan hanya beberapa pengecualian untuk memerangi penyebaran coronavirus.

Greece berada jauh di belakang Malaysia dari segi jangkitan Covid-19 – merekodkan 624 kes, 15 kematian dan peningkatan sebanyak 94 kes dalam 24 jam terakhir hari Ahad lepas berbanding 1,306 kes, 10 kematian dan peningkatan 123 kes sehari di negara kita.

Berikut adalah ucapan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, ketika mengumumkan perintah kawalan pergerakan dalam siaran langsung beliau pada hari Ahad:

“Di Itali, satu nyawa terkorban setiap dua minit dan keadaan ini menjadi semakin teruk di seluruh dunia. Adalah menjadi kewajipan saya untuk tidak membenarkan negara kita melalui pengalaman yang sama.”

Merujuk kepada pilihan tragis untuk doktor yang sudah kehabisan katil hospital di Itali, beliau berkata: “Kita tidak boleh sampai ke tahap di mana kita perlu memutuskan siapa yang akan hidup dan siapa yang akan mati, saya hanya memilih satu perkara: kehidupan dan kesihatan rakyat Greece. ”

Di seluruh dunia, berita mengenai pandemik Covid-19 kekal suram, dengan United Kingdom hari ini menyertai negara lain dengan mengumumkan perintah berkurung.

Itali melaporkan 602 kematian baru coronavirus pada hari Isnin, dengan jumlah kes baru meningkat sebanyak 6,077 di negara tersebut, membawa jumlah keseluruhan Itali kepada 63,928.

Namun begitu, kematian yang dilaporkan di Itali telahpun menurun untuk hari kedua berturut-turut, selepas mencapai kemuncak 793 kematian pada hari Sabtu lepas.

Dengan sejumlah 63,928 kes, Itali kini menghampiri jumlah 81,093 kes di positif di China — perkara yang sangat serius memandangkan Itali mempunyai penduduk yang jauh lebih kecil, sekitar 60 juta berbanding 1.4 bilion penduduk di negara China.

Di UK, korban nyawa COVID-19 meningkat sebanyak 54, membawa jumlah keseluruhan kematian di negara tersebut kepada 335 dengan 6,650 kes positif.

Di Amerika Syarikat pula, jumlah kes melonjak melepasi paras 35,000, dengan 495 kematian, menurut data daripada Universiti John Hopkins.

Lebih daripada 15,400 orang telah meninggal dunia dari COVID-19 di seluruh dunia. Dianggarkan 100,000 daripada 362,000 orang yang telah didiagnosis dengan virus ini di seluruh dunia telahpun pulih, menurut data yang dikumpulkan oleh Universiti John Hopkins.

Pada hari Isnin, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran yang “wabak ini sedang memecut” di mana ia mengambil 67 hari untuk kes mencapai 100,000 kes di seluruh dunia, 11 hari untuk kes mencapai 200,000 kes dan hanya empat hari untuk kes mencapai 300,000 kes.

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa mereka boleh memainkan peranan dalam peperangan global terhadap Covid-19 ini dan bertekad bahawa Malaysia tidak akan mengambil jalan yang telah dilalui oleh Itali, Amerika Syarikat, Sepanyol, Perancis, Iran atau Jerman. Tetapi akan memenangi perang melawan Covid-19 dengan meratakan lengkungan edaran jangkitan dan kematian, dengan semua rakyat kekal berada di rumah untuk memutuskan rangkaian jangkitan virus ini.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 24 Mac 2020