Muhyiddin harus mengguna pakai motto baharu “Bertindak pantas dan lakukan apa sahaja” dan mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif pada hari Jumaat ini, bukan Isnin depan bagi menunjukkan keseriusan dan kebolehan kerajaan dalam menangani bencana ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19

Perdana Menteri perlu mengguna pakai motto baru “Bertindak pantas dan melakukan apa sahaja” dan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif pada hari Jumaat ini dan bukan pada hari Isnin depan seperti yang diumumkan melalui sidang media secara langsung pada hari Isnin yang lepas untuk menunjukkan keseriusan dan kebolehan kerajaan dalam menangani bencana ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

Muhyiddin telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac; Kabinet besar beliau dibentuk pada 9 Mac dan bermesyuarat buat pertama kalinya pada 11 Mac. Beliau telah membuat siaran langsung pada 16 Mac untuk mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac.

Sudah tentu sebulan, bahkan tiga minggu atau sekurang-kurangnya sembilan hari adalah satu tempoh yang cukup lama untuk kerajaan merancang satu pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif bagi menangani bencana ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19 yang menimbulkan krisis eksistensial dalam sejarah negara ini?

Kita sedang menghadapi kelumpuhan sistem ekonomi pada satu skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya menyeru Muhyiddin untuk mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif pada hari Jumaat dan bukannya pada Isnin depan untuk menunjukkan keseriusan, kecekapan dan kesungguhan kerajaan dalam menangani bencana ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19 ini!

Apa yang diumumkan Muhyiddin dua hari yang lepas dalam sidang media yang disiarkan secara langsung, terutamanya berhubung cadangan untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan mendatang bermula 1 April adalah satu kesilapan yang serius, kerana ia menjejaskan keyakinan orang ramai dan kepercayaan pada kepimpinan beliau pada waktu yang amat penting ini.

Inilah sebabnya kesatuan sekerja di Sarawak dan Sabah telah mengkritik langkah itu sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “salah dari segi moral” dan telah menasihatkan pencarum KWSP supaya tidak membuat pengeluaran bulanan kerana tiada siapa yang boleh menjaga mereka pada usia tua kelak.

Hampir 33% pencarum KWSP aktif mempunyai kurang daripada RM6,000 dalam Akaun 2 mereka setakat Disember 2018 manakala 28% mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Kebanyakan kumpulan B40 berada di dalam kategori ini.

Muhyiddin perlu mengadakan siaran langsung hari ini untuk menarik balik cadangan tersebut dan menggantikannya dengan pemberian wang tunai bukan sahaja kepada 12 juta pencarum KWSP, tetapi juga kepada sejumlah besar tenaga kerja di Malaysia yang tidak mencarum kepada KWSP.

Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan langkah-langkah untuk membantu perniagaan dan pekerja seperti rancangan Kerajaan UK untuk menampung 80 peratus gaji pekerja, sehingga 2,500 pound sebulan, ketika negara tersebut menghadapi wabak Covid-19.

Menteri Kewangan UK Rishi Sunak berjanji untuk melakukan “apa sahaja yang diperlukan” untuk menyelamatkan nyawa, pekerjaan dan mata pencarian rakyat semasa wabak koronavirus ketika beliau mengumumkan sistem sokongan pendapatan yang belum pernah dilakukan sebelum ini sebagai sebahagian daripada pakej penyelamatan COVID-19 UK.

Atau seperti Denmark, yang telah mengumumkan salah satu rancangan ekonomi paling radikal di dunia – di mana kerajaan membayar perniagaan untuk mengekalkan pekerja mereka.

Untuk mengurangkan jumlah pemberhentian besar-besaran, kerajaan akan membayar majikan sehingga 90 peratus daripada gaji pekerja yang berada di rumah dan tidak bekerja. Rancangan itu memerlukan kerajaan untuk membelanjakan hampir 13 peratus daripada KDNK negara sepanjang tempoh tiga bulan, — rancangan ini setara dengan pakej rangsangan yang bernilai $ 2.5 trilion di Amerika Syarikat tetapi hanya untuk tempoh 13 minggu.

Muhyiddin perlu mempertimbangkan nasihat Menteri Pekerjaan Denmark, Peter Hummelgaard: “Bertindak pantas. Jangan tunggu… Pelihara pendapatan dan pekerjaan untuk pekerja biasa, dan pelihara perniagaan kecil. ”

Kerajaan Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada nasihat pakar ekonomi dunia yang mendesak kerajaan untuk menggunakan “artileri besar” untuk melawan kejatuhan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

Ini adalah masa untuk dasar yang tidak konvensional seperti “wang helikopter”, di mana semua rakyat mendapat wang bantuan tanpa syarat dan bank pelaburan negara menyediakan pinjaman kecemasan tanpa had kepada perniagaan.

Ini adalah untuk mengurangkan kadar muflis peribadi dan korporat, memastikan rakyat mempunyai wang untuk kekal berbelanja walaupun mereka tidak bekerja, dan meningkatkan pelaburan awam dan perbelanjaan penjagaan kesihatan.

Dalam hal ini, arahan Bank Negara kepada pihak bank untuk memberikan moratorium selama enam bulan secara automatik terhadap semua pembayaran pinjaman dan pembiayaan, kecuali baki kad kredit, mulai 1 April, amatlah dialu-alukan.

Muhyiddin perlu memastikan semua Menteri dan penasihat dasar beliau membaca e-buku terbaru dari Centre for Economic Policy Research (CEPR) sebelum merumuskan satu pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif.

Mereka mesti mendahului — untuk berfikir ke hadapan mengenai dasar perubatan dan ekonomi yang akan diperlukan dalam era pasca-Covid-19.

Lebih daripada 40 ahli ekonomi berprofil tinggi, termasuk ketua ekonomis IMF Gita Gopinath dan penasihat ekonomi bekas Presiden Barack Obama, Jason Furman, telah menyumbangkan idea untuk e-buku tersebut yang menggesa kerajaan untuk bertindak dengan pantas dan melakukan apa sahaja untuk menjaga kelangsungan hidup rakyat.

Di dalam e-buku yang bertajuk “Mitigating the Covid Economic Crisis: Act Fast and Do Whatever it Takes”, ahli ekonomi dunia terkemuka menasihatkan kerajaan untuk menggunakan “senjata berat” fiskal untuk satu tindak balas ekonomi “tanpa had” terhadap krisis COVID-19.

Walaupun ahli ekonomi mengatakan sekarang masih terlalu awal untuk menganggar skala kerosakan ekonomi yang disebabkan oleh wabak ini, mereka percaya skalanya besar — wabak ini sedang memusnahkan kehidupan dan mata pencarian di seluruh dunia.

Langkah-langkah yang diperlukan untuk membendung penyebaran virus ini — kuarantin, penjarakan sosial, penutupan sekolah, universiti dan pusat jagaan kanak-kanak, penutupan perniagaan yang tidak penting, dan langkah bekerja dari rumah — meperlahankan ekonomi negara.

“Kita sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah moden”, tulis Pierre-Olivier Gourinchas dari University of California, Berkeley, dalam satu bab tentang cara meratakan lengkungan sebaran jangkitan dan kegawatan ekonomi.

Tetapi terdapat dasar-dasar fiskal yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk menghalang atau mengehadkan keruntuhan ini, yang dikatakan oleh Gourinchas adalah seperti “unit rawatan intensif, katil dan ventilator kepada sistem ekonomi.” Sebagai contoh, bank pusat boleh menyediakan kecairan kecemasan kepada sektor kewangan.

Untuk mengelakkan kerosakan mendalam terhadap ekonomi, kerajaan perlu mengurangkan jumlah kebankrapan peribadi dan korporat, memastikan rakyat mempunyai wang untuk mengekalkan perbelanjaan walaupun mereka tidak bekerja, dan meningkatkan pelaburan awam serta perbelanjaan penjagaan kesihatan, tambah penulis itu lagi.

Mereka perlu bertindak sekarang untuk “mengurangkan pengumpulan tisu parut ekonomi”.

“Ini adalah masa untuk membawa keluar artileri besar; bukan masanya untuk menjadi penakut, tetapi untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan, dengan pantas,” tulis mereka lagi.

Muhyiddin harus mempertimbangkan nasihat pakar ekonomi dunia yang terkemuka ini, dan tidak menjadi takut untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan, dengan pantas.

Beliau harus memastikan semua isi rumah yang berpendapatan rendah yang terdedah kepada impak ekonomi Covid dibantu.

Tan E Hun dan Ivy Kwek, dalam artikel REFSA yang bertajuk “We need to ‘flatten the curve’ of economic recession, now”, telah menyeru untuk satu “bantuan besar-besaran” bernailai kira-kira RM150 bilion untuk mengelakkan keruntuhan ekonomi negara.

Tiga ahli ekonomi Malaysia telah mengkritik Muhyiddin kerana mengheret kakinya dalam peperangan menentang pandemik Covid-19, mengkritik kerajaannya sebagai mempunyai kekurangan kepimpinan dan lebih peduli mengenai pelabur daripada rakyat.

Dalam satu surat terbuka bersama kepada Perdana Menteri, tiga ahli ekonomi, Muhammed Abdul Khalid, Nungsari Ahmad Radhi dan Hamdan Abdul Majeed mengkritik Muhyiddin yang masih bimbang tentang belanjawan seimbang, dan bukannya untuk bertindak balas dengan segera.

Mereka berkata Muhyiddin gagal menunjukkan kepimpinan pada waktu di mana perpaduan negara adalah satu kepentingan utama, dan tidak berkesan dalam menangani krisis ini.

Mereka berkata; “Kami sangat bimbang dengan kekurangan inisiatif yang jelas dan koheren oleh Kerajaan dalam menangani krisis yang semakin menggusarkan ini.

“Kami terkejut dengan perspektif belanjawan seimbang tradisional Perbendaharaan memandangkan negara lain, terutamanya di Asia Timur, mengambil tindakan yang drastik dan mengakui bahawa sekarang adalah waktu yang berbeza.”

Mereka menegaskan bahawa kerajaan yang diketuai oleh Muhyiddin mesti menyedari bahawa negara ini sedang berada dalam situasi yang unik yang hampir sama dengan “waktu peperangan”, dan ia mesti melakukan “apa sahaja yang diperlukan” untuk mengatasi bencana wabak ini, termasuklah untuk berbelanja besar bagi menopang ekonomi negara.

Seperti yang dikatakan mereka:

“Pertimbangan biasa — pengurusan kekangan fiskal, defisit belanjawan, siling hutang, sasaran pertumbuhan atau agensi penarafan – tidak lagi terpakai buat waktu ini.

“Rakyat Malaysia perlu diutamakan. Kita harus menggerakkan semua sumber negara untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan.”

Adakah Muhyiddin akan menjemput ahli ekonomi ini, Muhamad, Nungsari, Hamdan, Tan E Hun dan Ivy Kwek untuk membantu dalam merumuskan dasar rangsangan ekonomi yang komprehensif untuk melawan bencana ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19 ini?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 25 Mac 2020