Pengumuman pakej rangsangan ekonomi komprehensif yang lebih prihatin rakyat pada Jumaat ini tanpa menunggu sehingga hari Isnin depan dialu-alukan

Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam siaran langsung beliau tengahari tadi bahawa satu pakej rangsangan ekonomi komprehensif yang prihatin rakyat akan diumumkan pada hari Jumaat ini dan kita semua tidak perlu untuk menunggu sehingga Isnin depan.

Muhyiddin mengatakan “tidak ada yang akan ditinggalkan” sama ada “pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, goreng pisang, mahupun burger, ataupun pekerja harian”, dan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan semua mendapat bantuan.

Hari Jumaat ini akan menjadi satu ujian untuk Muhyiddin.

Saya telah cadangkan pagi tadi untuk Muhyiddin mengguna pakai motto baharu “Bertindak pantas dan melakukan apa sahaja” dalam merumus satu pakej rangsangan ekonomi baharu yang menyeluruh untuk melawan bencana Covid-19.

Apa yang diumumkan Muhyiddin dua hari yang lepas dalam sidang media yang disiarkan secara langsung, terutamanya berhubung cadangan untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan mendatang bermula 1 April adalah satu kesilapan yang serius, kerana ia menjejaskan keyakinan orang ramai dan kepercayaan pada kepimpinan beliau pada waktu yang amat penting ini.

Inilah sebabnya kesatuan sekerja di Sarawak dan Sabah telah mengkritik langkah itu sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “salah dari segi moral” dan telah menasihatkan pencarum KWSP supaya tidak membuat pengeluaran bulanan kerana tiada siapa yang boleh menjaga mereka pada usia tua kelak.

Hampir 33% pencarum KWSP aktif mempunyai kurang daripada RM6,000 dalam Akaun 2 mereka setakat Disember 2018 manakala 28% mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Kebanyakan kumpulan B40 berada di dalam kategori ini.

Muhyiddin perlu menarik balik cadangan tersebut dan menggantikannya dengan pemberian bantuan wang tunai bukan sahaja kepada 12 juta pencarum KWSP, tetapi juga kepada sejumlah besar tenaga kerja di Malaysia yang tidak mencarum kepada KWSP.

Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan langkah-langkah untuk membantu perniagaan dan pekerja seperti rancangan Kerajaan UK untuk menampung 80 peratus gaji pekerja, sehingga 2,500 pound sebulan, ketika negara tersebut menghadapi wabak Covid-19.

Atau seperti Denmark, yang telah mengumumkan salah satu rancangan ekonomi paling radikal di dunia – di mana kerajaan membayar perniagaan untuk mengekalkan pekerja mereka.

Untuk mengurangkan jumlah pemberhentian besar-besaran, kerajaan akan membayar majikan sehingga 90 peratus daripada gaji pekerja yang berada di rumah dan tidak bekerja. Rancangan itu memerlukan kerajaan untuk membelanjakan hampir 13 peratus daripada KDNK negara sepanjang tempoh tiga bulan, — rancangan ini setara dengan pakej rangsangan yang bernilai $ 2.5 trilion di Amerika Syarikat tetapi hanya untuk tempoh 13 minggu.

Muhyiddin perlu mempertimbangkan nasihat Menteri Pekerjaan Denmark, Peter Hummelgaard: “Bertindak pantas. Jangan tunggu… Pelihara pendapatan dan pekerjaan untuk pekerja biasa, dan pelihara perniagaan kecil. ”

Kerajaan Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada nasihat pakar ekonomi dunia yang mendesak kerajaan untuk menggunakan “artileri besar” untuk melawan kejatuhan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

Ini adalah masa untuk dasar yang tidak konvensional seperti “wang helikopter”, di mana semua rakyat mendapat wang bantuan tanpa syarat dan bank pelaburan negara menyediakan pinjaman kecemasan tanpa had kepada perniagaan.

Ini adalah untuk mengurangkan kadar muflis peribadi dan korporat, memastikan rakyat mempunyai wang untuk kekal berbelanja walaupun mereka tidak bekerja, dan meningkatkan pelaburan awam dan perbelanjaan penjagaan kesihatan.

Dalam hal ini, arahan Bank Negara kepada pihak bank untuk memberikan moratorium selama enam bulan secara automatik terhadap semua pembayaran pinjaman dan pembiayaan, kecuali baki kad kredit, mulai 1 April, amatlah dialu-alukan.

Muhyiddin perlu memastikan semua Menteri dan penasihat dasar beliau membaca e-buku terbaru dari Centre for Economic Policy Research (CEPR) sebelum merumuskan satu pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif.

Mereka mesti mendahului — untuk berfikir ke hadapan mengenai dasar perubatan dan ekonomi yang akan diperlukan dalam era pasca-Covid-19.

Lebih daripada 40 pakar ekonomi berprofil tinggi, termasuk ketua ekonomis IMF Gita Gopinath dan penasihat ekonomi bekas Presiden Barack Obama, Jason Furman, telah menyumbangkan idea untuk e-buku tersebut yang menggesa kerajaan untuk bertindak dengan pantas dan melakukan apa sahaja untuk menjaga kelangsungan hidup rakyat.

Di dalam e-buku yang bertajuk “Mitigating the Covid Economic Crisis: Act Fast and Do Whatever it Takes”, ahli ekonomi dunia terkemuka menasihatkan kerajaan untuk menggunakan “senjata berat” fiskal untuk satu tindak balas ekonomi “tanpa had” terhadap krisis COVID-19.

Walaupun pakar ekonomi mengatakan sekarang masih terlalu awal untuk menganggar skala kerosakan ekonomi yang disebabkan oleh wabak ini, mereka percaya skalanya besar — wabak ini sedang memusnahkan kehidupan dan mata pencarian di seluruh dunia.

Langkah-langkah yang diperlukan untuk membendung penyebaran virus ini — kuarantin, penjarakan sosial, penutupan sekolah, universiti dan pusat jagaan kanak-kanak, penutupan perniagaan yang tidak penting, dan langkah bekerja dari rumah — meperlahankan ekonomi negara.

“Kita sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah moden”, tulis Pierre-Olivier Gourinchas dari University of California, Berkeley, dalam satu bab tentang cara meratakan lengkungan sebaran jangkitan dan kegawatan ekonomi.

Tetapi terdapat dasar-dasar fiskal yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk menghalang atau mengehadkan keruntuhan ini, yang dikatakan oleh Gourinchas adalah seperti “unit rawatan intensif, katil dan ventilator kepada sistem ekonomi.” Sebagai contoh, bank pusat boleh menyediakan kecairan kecemasan kepada sektor kewangan.

Untuk mengelakkan kerosakan mendalam terhadap ekonomi, kerajaan perlu mengurangkan jumlah kebankrapan peribadi dan korporat, memastikan rakyat mempunyai wang untuk mengekalkan perbelanjaan walaupun mereka tidak bekerja, dan meningkatkan pelaburan awam serta perbelanjaan penjagaan kesihatan, tambah penulis itu lagi.

Mereka perlu bertindak sekarang untuk “mengurangkan pengumpulan kerosakan ekonomi”.

“Ini adalah masa untuk membawa keluar artileri besar; bukan masanya untuk menjadi penakut, tetapi untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan, dengan pantas,” tulis mereka lagi.

Muhyiddin harus mempertimbangkan nasihat pakar ekonomi dunia yang terkemuka ini, dan tidak menjadi takut untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan, dengan pantas.

Beliau harus memastikan semua isi rumah yang berpendapatan rendah yang terdedah kepada impak ekonomi Covid dibantu.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media (2) oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 25 Mac 2020