Parlimen sepatutnya menggunakan teknologi untuk bersidang bagi menjaga kepentingan rakyat

Sesi persidangan Parlimen pertama kerajaan Perikatan Nasional akan berlangsung pada hari Isnin 18 Mei 2020, hanya sehari, tanpa sesi soal jawab, tanpa usul, tanpa perbahasan ataupun undian. Sejak penubuhan kerajaan pintu belakang, Covid-19 telah dijadikan alasan gah oleh kerajaan PN untuk tidak mengadakan sesi Parlimen atau mesyuarat jawatankuasa Parlimen selaras dengan amalan demokrasi.

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN begitu yakin dengan sokongan majoriti dan tidak gentar berhadapan dengan “check-and-balance” oleh Ahli Parlimen pihak pembangkang, terdapat berbagai penyelesaian teknologi bagi membolehkan Parlimen beroperasi – secara maya, fizikal atau kombinasi kedua-duanya. Peraturan-peraturan boleh dipinda bagi membenarkan perubahan ini, jika perlu.

Mengapakah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang mempromosi penggunaan teknologi dalam “contact-tracing”, fasiliti ujian, dan penjagaan pesakit, begitu ketara menyepi dalam menyokong penggunaan teknologi untuk Parlimen bersidang?

Malah tidak perlu pun sains roket untuk membolehkan parlimen bersidang secara maya. Zoom, Google dan Microsoft dan lain-lain syarikat teknologi telahpun ada penyelesaian digital. Parlimen di kebanyakan negara di dunia ini telah beroperasi secara maya (secara sepenuhnya atau separa) bukan sahaja negara-negara maju seperti United Kingdom, Kanada, Belgium, Perancis, New Zealand and Luxembourg malah negara-negara membangun juga seperti Poland, Maldives, Brazil, Angola dan banyak lagi[1].

Dengan teknologi kini yang sedia ada terdapat seribu satu cara bagi membolehkan parlimen terus berfungsi sebagai mekanisma semak dan imbang bagi kuasa eksekutif sekalipun dalam pandemik Covid-19.

Kesan dan akibat daripada Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini. Rakyat memerlukan segala yang ada untuk keselamatan, kelangsungan hidup, dan kesihatan mereka diambil peduli oleh kerajaan, walaupun kerajaan ini bukannya kerajaan yang mereka undi. Persidangan kali ini kritikal untuk rakyat, mana-mana kerajaan sekalipun akan bertindak wajar dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya untuk bermesyuarat dan berbincang mengenai tindakan selanjutnya dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan. Bukankah kita, pertama sekali, wakil rakyat untuk menyuarakan keresahan mereka dan Parlimen lah tempat kita bersidang?

Pakar-pakar dari seluruh dunia bersetuju secara amnya bahawa dunia perlu menghadapi normal baharu Covid-19 sehingga vaksin wabak ini ditemui, yang secara optimisnya dijangka dalam 12 ke 18 bulan akan datang. Adakan kerajaan PN akan terus menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk mengelak dari membuktikan sokongan majoriti di parlimen sekaligus mengelak dari bersemuka dengan suasana semak dan imbang dari pihak pembangkang? Atau adakah kita akan melihat penyelesaian teknologi segera dari Khairy Jamaluddin agar Covid-19 tidak lagi menjadi alasan untuk meneruskan persidangan Parlimen seperti yang sepatutnya?

Yeo Bee Yin
AHLI PARLIMEN BAKRI
Kenyataan media oleh Yeo Bee Yin di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 15 Mei 2020