Dato’ Shahrul Zaman bin Dato’ Yahya mengenai apa yang berlaku di DUN Perak adalah satu pembohongan dan dilakukan dengan niat untuk menyesatkan orang ramai

Sebagai kerajaan yang tidak menghormati Dewan Undangan Negeri Perak tetapi telah melakukan serangan penuh terhadap persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada 12 Mei 2020, pembohongan daripada kerajaan seperti itu memang dijangkakan.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Dato’ Shahrul Zaman bin Dato’ Yahya, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perikatan Nasional Perak yang dikeluarkan pada 14 Mei 2020 adalah satu pembohongan yang bertujuan untuk menyesatkan orang ramai.

Saya ingin menjelaskan bahawa sebagai Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Perak, saya hanya menetapkan tiga perkara sebagai agenda untuk prosiding Persidangan DUN Perak pada 12 Mei 2020. Perkara pertama adalah pembentangan surat-surat Dewan Negeri (laporan audit jabatan dan agensi kerajaan), yang kedua adalah Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan akhir sekali ucapan/pengumuman peletakan jawatan saya.

Pada akhir ucapan/pengumuman peletakan jawatan saya, saya mengumumkan persidangan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan ke tarikh lain untuk pemilihan Yang di-Pertua baru berdasarkan Perintah Tetap 4, Perintah-Perintah Tetap DUN Perak.

Kenyataan media Dato’ Shahrul memberi gambaran bahawa saya enggan mengundurkan diri. Itu adalah satu pembohongan. Percubaan untuk mengusir saya dari DUN adalah kerana mereka enggan mengizinkan saya mengundurkan diri secara terhormat tetapi bertegas saya mesti disingkirkan melalui usul tidak percaya yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu. Saya percaya niat mereka adalah untuk memalukan saya dengan berbuat demikian.

Saya telah menjelaskan bahawa di bawah Perkara XXXVIA (2), Bahagian 1 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, saya dibenarkan meletak jawatan pada bila-bila masa. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah undang-undang tertinggi di Perak, lebih tinggi daripada enakmen negeri dan peraturan subsidiari seperti Perintah Tetap DUN. Usul tidak percaya terhadap saya tidak timbul sama sekali dan ia juga tiada dalam agenda persidangan 12 Mei 2020.

Setelah saya meletak jawatan sebagai Yang di-Pertua, Perkara XXXIA (1), Bahagian 1 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada urusan dewan undangan negeri yang boleh dijalankan sehingga Yang di-Pertua baru dipilih.

Dalam ucapan/pengumuman peletakan jawatan, saya telah menjelaskan bahawa persidangan baru hendaklah ditetapkan untuk pemilihan Yang di-Pertua baru kerana Perintah Tetap 4, Perintah-Perintah Tetap DUN Perak menetapkan bahawa notis sekurang-kurangnya 7 hari mestilah diberikan kepada setiausaha DUN untuk penamaan calon bagi jawatan Yang di-Pertua yang baru.

Salah juga Dato’ Shahrul untuk menyatakan bahawa penangguhan DUN perlu dilakukan melalui usul. Dewan Undangan Negeri akan ditangguhkan apabila agenda hari itu selesai. Tidak ada usul diperlukan. Ini adalah logik asas yang malangnya Dato’ Shahrul tidak dapat memahami.

Setelah sidang Dewan Undangan Negeri berakhir, adalah jelas apa-apa prosiding selepas itu adalah batal dan tidak sah. Yang di-Pertua Parlimen, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah menetapkan hanya satu (1) perkara dalam agenda persidangan Parlimen esok (18 Mei 2020) iaitu Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong. Selepas titah diraja, beliau akan menangguhkan persidangan ke tarikh yang lain.

Adakah Kerajaan PN Perak berpandangan bahawa setelah Yang di-Pertua menangguhkan Parlimen, ahli-ahli Parlimen masih boleh berkumpul untuk memutuskan usul yang telah mereka kemukakan? Bolehkah mereka terus memutuskan usul oleh Datuk V. K. Liew, Ahli Parlimen Batu Sapi yang mencadangkan agar sesi Parlimen berlangsung selama 8 hari? Bolehkah ahli-ahli Parlimen membuat keputusan mengenai usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Adalah jelas setelah persidangan Parlimen atau DUN berakhir, tidak ada lagi urusan yang boleh dijalankan.

Saya yakin orang ramai tidak akan disesatkan dengan pembohongan Dato’ Shahrul dan Kerajaan PN Perak.

Ngeh Koo Ham
Ahli Parlimen Beruas
Kenyataan media oleh Ngeh Koo Ham di Ipoh pada hari Ahad, 17 Mei 2020