Hentikan pendudukan haram rejim Israel di Tebing Barat

“Di Palestin setiap hari macam PKP”, inilah kata-kata Saudara Muslim Imran, seorang warga Palestin kepada saya baru-baru ini.

Dalam kita melawan Covid-19, saya berharap kita jangan lupa tanggungjawab kemanusiaan negara kita yang sekian lama digalas oleh Tun Dr Mahathir Mohammad iaitu pembebasan bumi Palestin.

Saya menyahut seruan enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin yang telah membuat rayuan kepada kerajaan Malaysia untuk menyuarakan bantahan terhadap rancangan Israel untuk mengilhakan (annex) sebahagian besar kawasan Tebing Barat. Menurut laporan media, rancangan ini akan dimulakan seawal bulan Julai tahun ini.

Di kala dunia sedang menghadapi situasi pandemik COVID-19, rejim Israel pula giat berusaha menyempurnakan rampasan kuasa, hak dan negara rakyat Palestin di Tebing Barat.

Pendudukan haram rejim Israel di Tebing Barat mendapat tentangan bukan sahaja daripada rakyat Palestin malah sudah lama dikecam masyarakat antatabangsa.

Saya menggesa supaya Kerajaan Malaysia menyahut rayuan enam NGO Palestin tersebut dan mengambil tindakan tegas membantah rancangan Israel sebelum terlambat.

Steven Sim Chee Keong
AHLI PARLIMEN BUKIT MERTAJAM
Kenyataan media oleh Steven Sim Chee Keong di Bukit Mertajam pada hari Isnin, 18 Mei 2020