Mana rancangan keluar yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” daripada peperangan melawan wabak Covid-19?

Banyak perkara dapat dikatakan mengenai persidangan Parlimen sehari semalam, daripada Titah Diraja terpendek hinggalah kepada bagaimana Malaysia telah melakarkan sejarah dunia dengan persidangan selama sehari sahaja di mana Ahli Parlimen memakai topeng muka bukan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga melawan Covid-19 tetapi juga sebagai petanda tanggungjawab mereka untuk meneliti dan menyemak imbang kerajaan yang telah digantung bertentangan dengan perlembagaan negara.

Tetapi, satu benda dapat dilihat dengan ketara — Kerajaan Perikatan Nasional masih tidak menunjukkan kebolehan mereka mentadbir.

Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong telah menyatakan kegusaran baginda mengenai polarisasi perkauman, dan ramai pengamal politik kebencian, perkauman, dan keagamaan ini sedang menduduki jawatan tertinggi negara.

Baginda juga merujuk kepada prinsip-prinsip Rukunegara sebagai asas pembinaan negara, tetapi di dalam kerajaan masa ini, terdapat beberapa menteri yang tidak percaya kepada prinsip-prinsip Rukunegara ini.

Baginda juga memberikan amaran, yang negara kita tidak akan berjaya jika kita terus dibelenggu dengan masalah rasuah, pada waktu di mana keyakinan negara dan dunia terhadap usaha-usaha membanteras rasuah yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan berada di paras yang rendah. Dengan tawaran rayuan di mana Riza Abdul Aziz dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram — yang melibatkan ASD248 juta (RM1.08 bilion) yang berkaitan dengan dana 1MDB — sebagai ganti kepada pemulangan ASD107.3 juta (RM465.3 juta).

Yang di Pertuan Agong juga bertitah mengenai membawa Malaysia ke kemuncak yang lebih tinggi, serta kepentingan kejujuran dan kepercayaan rakyat. Tetapi sehari selepas titah baginda, parti politik yang kononnya telah bersetuju untuk menubuhkan Perikatan Nasional kini menafikan sebarang persetujuan sedemikian.

Titah Ucapan Yang di Pertuan Agong ini adalah kenyataan dasar dan rancangan-rancangan kerajaan untuk tahun tersebut.

Apa yang jelas kehilangan daripada ucapan ini adalah rancangan untuk negara kita keluar daripada peperangan melawan wabak Covid-19 ini. Rancangan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”, dengan Parlimen memainkan peranannya dalam meneliti dan menyemak imbang tindakan kerajaan untuk memastikan kejayaan negara dalam memenangi peperangan ini dan pada dalam masa yang sama mengelakkan penularan semula wabak ini dan melonjakkan semula ekonomi negara, sama ada dalam tempoh dua tahun atau pun lima tahun, sehinggalah satu vaksin yang berkesan dicipta dan tersedia meluas.

Ke manakah hala tuju kita, Malaysia?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 19 Mei 2020