Apakah status MySalam untuk golongan M40?

MySalam ialah skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dahulu.

Sejak diperkenalkan, MySalam telah memberi perlindungan kepada 4.3 juta rakyat terhadap jangkitan penyakit kritikal atau kemasukan ke hospital. Mereka yang layak boleh menerima bayaran tunai sebanyak RM8,000 dan menuntut manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari.

Skim MySalam sepatutnya telah diperluaskan kepada golongan M40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000, pada tahun ini. Pendaftaran MySalam untuk M40 telah berlangsung awal tahun ini dan telah tutup pada 31 Mac 2020.

Akan tetapi, individu M40 yang telah mendaftar belum menerima sebarang maklumat lanjut walaupun sudah hampir 3 bulan pendaftaran tamat.

Website MySalam menyatakan bahawa inisiatif MySalam untuk M40 yang layak telah ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Saya menyeru kerajaan supaya menyatakan status terkini pelaksanaan MySalam, khasnya untuk golongan M40 yang sepatutnya telah dilaksanakan.

Adakah kerajaan yang baharu ini akan meneruskan skim MySalam atau menghentikannya?

Kelewatan atau keengganan kerajaan untuk memperluaskan MySalam kepada kumpulan M40 akan menafikan hak mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan apabila mereka jatuh sakit.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Koay Tiong di Melaka pada hari Khamis, 25 Jun 2020